Sabtu, 29 Oktober 2016

Permit memburu buaya akan dikeluarkan

Sibu: Jabatan Hutan Sarawak akan mengeluarkan permit untuk memburu dan memusnahkan buaya liar dan ganas di 13 sungai di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya Sapuan Ahmad berkata, penduduk setempat akan diberi keutamaan bagi memohon serta mendapatkan permit memburu dan memusnahkan buaya liar di sungai kawasan masing-masing.

Menurutnya, antara sungai yang mempunyai populasi buaya liar tertinggi di Sarawak iaitu sekitar 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer ialah di Batang Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Batang Salak.

“Berdasarkan bancian, ada kira-kira 20,000 buaya liar di sungai di Sarawak,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sini malam tadi.

Kebenaran memburu buaya itu berikutan keputusan persidangan saintis di Afrika Selatan baru-baru ini, yang menurunkan taraf perlindungan buaya di Sarawak kerana mengancam manusia.

Ini bermakna buaya-buaya liar di negeri itu kini boleh diburu dan dimusnahkan manakala kulit dan daging pula boleh dijual untuk eksport ke pasaran antarabangsa.

Harga produk siap kulit buaya liar seperti beg tangan, kasut dan tali pinggang boleh mencecah sehingga RM5,000, manakala dagingnya boleh dijual dengan harga sekitar RM38 sekilogram.

Sapuan berkata, pihaknya tidak menetapkan kaedah pemburuan tetapi terpulang kepada pemegang permit sama ada menggunakan pancing atau senjata api dan mereka perlu mencari sendiri pembeli buaya yang ditangkap atau dibunuh.

Menurutnya, jabatan hanya membenarkan aktiviti pemburuan buaya liar di sungai yang mempunyai populasi 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer.

Pertambahan populasi buaya liar di negeri ini boleh mencecah sehingga 500 ekor dalam tempoh enam tahun memandangkan seekor buaya boleh menghasilkan sebanyak 80 telur.

Sebagai contoh, pada 2008 ada 313 ekor di Kuching Woodland tetapi pada 2014 populasi buaya liar meningkat kepada 800 ekor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan