Khamis, 6 Oktober 2016

Pelajar terpaksa berhenti sekolah kerana tidak memiliki MyKad

KUCHING: Seorang pelajar sekolah menengah, Rika Herline yang berusia 17 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana tidak memiliki MyKad, meskipun dia adalah warganegara Malaysia dalam sijil lahirnya.

Dia yang cuba membuat permohonan dua kali iaitu pada 2013 dan 2015 tetapi hanya sia-sia sahaja sehingga menyebabkan gadis itu berada dalam situasi itu kini.

Ketika ditemui di pekarangan Bangunan Tuanku Haji Bujang di sini semalam, Herline yang dilahirkan pada 31 Ogos 1999 berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa meninggalkan sekolahnya, iaitu SMK Tebakang di Serian kerana tidak mempunyai MyKad setiap kali diminta pihak sekolah berbuat demikian.

Berasal dari Kampung Mongkos di Tebakang, Herline ditemani bapanya Ji-in Ngampu.

Menurut Ji-in yang isterinya warga Indonesia, dua anak lagi anak mereka mempunyai MyKad, berbeza dengan Herline yang merupakan anak sulungnya.

Kehadiran mereka di pekarangan bangunan berkenaan diketuai kumpulan daripada S4S dan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), semalam yang mengadakan demonstrasi aman kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi menjelaskan kepada jabatan tentang kesengsaraan dihadapi kanak-kanak di seluruh negeri, yang menjejaskan komuniti luar bandar.

Aktivis hak asasi manusia Peter John Jaban ketika ditemui pemberita berkata gadis itu dinafikan kad pengenalan walaupun bapanya warga Sarawak.

“Ibu bapanya berkahwin mengikut adat Bidayuh pada tahun 1998 sebelum dia (Herline) dilahirkan dan mempunyai sijil lahir sebagai bukti,” katanya sambil memberitahu bahawa pasangan itu mempunyai sijil perkahwinan sivil.

John menjelaskan, JPN telah mengeluarkan sijil lahir kepada Herline yang menunjukkan dia adalah warganegara Malaysia dengan nombor MyKad.

John percaya terdapat beberapa kes yang sama dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Sementara itu dalam kenyataan yang diedarkan kepada media semalam, John menyatakan SADIA dan S4S kini dalam usaha membantu dengan membawa perkara itu melalui tindakan undang-undang terhadap JPN.

Kes berkenaan di bawah peguam bela Simon Siah, Chua dan Chow untuk mendapatkan keputusan agar JPN mesti mengiktiraf perhubungan keluarga yang ditadbir oleh adat.

Sementara itu Siah berpendapat, adat mempunyai kuasa undang-undang di Sabah dan Sarawak, “Namun JPN tidak menegakkan kedua-duanya kerana kejahilan di Putrajaya atau kerana dasar untuk memadamkan adat, tetapi kita tidak pasti.

“Hasilnya, kita melihat banyak kes di mana penduduk luar bandar Sarawak tidak dapat mendaftar anak mereka hanya kerana mereka mengikut adat mereka yang sekian lama wujud, sedangkan ia adalah hak mereka di bawah undang-undang Malaysia dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan