Jumaat, 26 Ogos 2016

Lelaki Rogol Kanak-Kanak Berusia 5 Tahun Ditahan Polis

Kuching: Seorang lelaki ditahan polis di Jalan Matang, Padawan tengah hari semalam kerana disyaki merogol kanak-kanak lembam berusia lima tahun, Rabu lalu.

Suspek berusia 24 tahun yang juga jiran mangsa ditahan kira-kira 12 tengah hari selepas keluar dari hutan berdekatan rumahnya kerana bersembunyi selepas mengetahui dirinya diburu polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, sebelum kejadian suspek dikatakan membawa mangsa keluar ke kedai runcit berdekatan dan mendapat keizinan daripada ibu bapa kanak-kanak itu.

Menurutnya, namun sebaik pulang mangsa menangis selain mengadu sakit pada kemaluan menyebabkan ibu bapanya membuat laporan polis pada hari yang sama.

"Pemeriksaan kesihatan di Hospital Umum Sarawak mengesahkan mangsa dirogol dan usaha memburu suspek dijalankan.

"Suspek akhirnya ditahan ketika mahu pulang ke rumahnya untuk mendapatkan makanan kerana kelaparan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Khamis, 25 Ogos 2016

POLIS RAMPAS 7 SENJATA API MILIK DATUK DI MIRI

MIRI, 25 Ogos 2016 -- Polis merampas 7 senjata api milik seorang ‘Datuk’ yang juga disyaki dalang utama pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong Jun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata rampasan sepucuk pistol jenama Glock, sepucuk rifle jenama Ruger Ranch Rifle .223 dan 5 senapang patah dilakukan mulai 10.40 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

“Senjata api yang dirampas ini tiada kaitan dengan kes pembunuhan Bill Kayong pada 21 Jun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Dev berkata rampasan senjata api berkenaan dibuat di kediaman ‘Datuk’ berusia 45 tahun itu di sini.

“Turut dirampas ialah 416 butir peluru, 206 peluru senapang patah dan sebutir peluru GFL 9MM Luger,” katanya.

Beliau berkata 2 pistol yang dirampas itu dimiliki ‘Datuk’ berkenaan untuk keselamatan diri dan lesen dikeluarkan polis manakala 5 senapang patah untuk digunakan oleh polis bantuan dengan lesen dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Miri.

“Tujuan kita merampas senjata api itu atas faktor keselamatan memandangkan suspek menghilangkan diri sejak 3 Julai 2016 dan tiada kawalan ke atas pemiliknya,” katanya sambil menambah polis masih menunggu maklumat Interpol berkaitan lokasi terkini suspek yang dipercayai masih berada di Australia.

Dev berkata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor sedang dalam proses membatalkan lesen dua senjata api yang dikeluarkan polis iaitu sepucuk pistol jenama Glock dan sepucuk rifle jenama Ruger Ranch Rifle.

“Polis akan menulis surat kepada Pejabat Daerah Miri untuk membatalkan lesen lima senapang patah,” katanya.

Mengenai senapang patah yang digunakan untuk membunuh Bill Kayong, beliau berkata polis masih menunggu keputusan Jabatan Forensik kerana ia tidak mempunyai nombor siri untuk menentukan sama ada senjata itu buatan sendiri atau senjata lama.

Sabtu, 20 Ogos 2016

Penganggur direman 7 hari rogol adik ipar

MIRI: Seorang penganggur ditangkap kerana disyaki menculik dan merogol adik iparnya berusia 11 tahun diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tujuh hari membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat ASP Soliment Nyian dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Soliment memberitahu pada 16 Ogos lalu, seorang lelaki telah membuat laporan polis berhubung kehilangan adik perempuannya yang berusia 11 tahun.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 12.30 tengah hari, 16 Ogos lalu, dia telah meminta tolong sepupunya untuk pergi menjemput adiknya balik dari sekolah.

Setiba di sekolah, sepupu pengadu tidak menjumpai adiknya walaupun telah mencari di sekitar kawasan sekolah dan sehingga laporan polis dibuat, pengadu masih gagal menemui adiknya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.20 petang, 18 Ogos lalu, sepasukan polis diketuai ASP Nagulan Maniam telah menahan seorang lelaki di sebuah lot di Lorong Tanjung 4J Pujut Tanjung Batu di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Soliment memberitahu reman selama tujuh hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek berusia 36 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah) dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol).

Mahkamah membenarkan reman itu dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 25 Ogos ini untuk sebutan kes.

Sumner: The Borneo Post

Jumaat, 19 Ogos 2016

Lapan pelajar balik kelab malam kemalangan dinihari

KUCHING: Kegembiraan sekumpulan pelajar selepas dikatakan berhibur di sebuah kelab malam di pusat bandar raya berakhir tragedi apabila kereta jenis Toyota Alphard dinaiki mereka terbabas di jejambatSimpang Tiga, semalam.

Menurut sumber, kejadian berlaku semasa kelapan-lapan pelajar berusia 20 tahun itu dipercayai dalam perjalanan pulang apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) tersebut hilang kawalan lalu terbabas sekitar jam 4 pagi.

“MPV tersebut dilihat berpusing beberapa kali sehingga tiga daripada pelajar iaitu seorang lelaki dan dua wanita dikatakan tercampak keluar dari dalam kenderaan.

“Lima lagi daripada mereka yang turut mengalami kecederaan telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk mendapatkan rawatan,” kata sumber.Difahamkan, ketiga-tiga pelajar tercampak keluar dilaporkan mengalami patah tulang dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

Hadir sama menyalurkan bantuan di tempatkejadian ialah anggota paramedik dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).Sehingga berita ini ditulis, kesemua mangsadilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.

Sumber: The Borneo Post

Khamis, 18 Ogos 2016

Pandelela Tidak Kecewa

RIO DE JANEIRO: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengakui dia tidak kecewa sekalipun gagal memenangi pingat dalam acara 10 meter platform, pagi tadi. Penerjun kelahiran Sarawak berusia 23 tahun itu berkata dia sudah melakukan segala yang termampu dalam acara yang pernah menjulang namanya selepas meraih gangsa di London 2012.

"Walaupun saya gagal mengulangi pencapaian 2012 tetapi saya tidak kecewa dan sedih. "Ini kerana saya sudah memenangi perak dalam acara 10 meter platform seirama bersama Cheong Jun Hoong, 9 Ogos lalu. "Pada saya kejayaan di Rio 2016 lebih baik dan membanggakan," katanya yang sekadar menamatkan saingan di tangga ke-11 daripada 12 penerjun Pada aksi final di Pusat Akuatik Maria Lenk.

Seorang lagi wakil negara, Nur Dhabitah Sabri bagaimanapun menduduki tempat lebih baik apabila menamatkan cabaran di tempat kesembilan.

Hina Sarawak : Khai Bahar Mohon Maaf Dan Ini Surat Terbuka Buat Beliau

Viral di Hari ini apabila Khai Bahar mengatakan Sarawak merupakan tempat yang tiada apa-apa. Kenyataan ini membuat orang sarawak marah dan bengang apabila negeri mereka di kutuk sebegitu rupa. Menurut khai , dia tersasul bercakap sebegitu dan tiada niat untuk menghina sarawak

'Assalamualaikum.. pertama skali khai nk minta maaf sangat2 kepada warga sarawak. memang salah khai sbb trsasul smpai mcm tu skali. khai tak ada niat nk ckp macam tu. khai syg sarawak. bnyak kengan di sana,cuma sedih bila dianggap itu satu hinaan. khai tak ada niat nk hina. khai bukan nk tutup salah, khai akan terima korang semua nk banned khai. khai nk minta maaf sngat2..."

Walaupun status permohonan maaf di memuat naik oleh khai, orang sarawak masih lagi marah dan sukar untuk memaafkan beliau... dan ini surat terbuka buat khai bahar

"Dipetik Dari Fb Pages Bila Cikgu Emmet Menulis"

"Dik...jangan cakap macam tu dik.. kita merantau ke tempat orang..kita cari lah nilai yang baik untuk kita ketengahkan.. saya dah lama dah duduk sarawak ni.. kalau saya kata disini takde apa2 dah lama saya balik...tapi saya masih pulang ke sini walaupun sudah pernah balik ke kampung halaman sendiri. Semua tempat ada keistimewaan masing masing dik. Silap adik ialah adik dah sentuh hati orang sarawak.. 8 bulan kat sini rupanya adik tak kenal.hati budi masyarakat disini. 8 bulan adik di sini adik tak faham sensitiviti orang orang sarawak ni. Bukan saya nak backing sangat..dimana mana pun kita boleh jumpa kelemahan orang. Orang sarawak pun ada kelemahannya..tapi tak perlu lah nak up dalam media sosial atau media massa. Ye adik mungkin exicted sebab baru jadi ghetis (cakap peyrock dah keluo) baru keluar TV3...but please jangan lah keluarkan kenyataan menyinggung rasa. Bukan saya nak mengajar adik.. cuma keterlanjuran kata kata adik ni membuatkan orang Malaya yang cari nafkah disini kena sindir. Dik..Sarawak bukan macam di semenanjung..perpaduan mereka melangkaui batas kaum dan agama. Bukan macam kita di semenanjung..orang johor kena kutuk...orang pahang tak terasa pun..orang kelantan kena hina orang kedah buat tak tahu je...tapi di sarawak lain dik.. kalau orang limbang kena kutuk...dari lawas sampai lah ke tanjong datu sematan.. marah...tak kira lah iban melayu bidayuh cina semua akan terasa.. so dik khai..please... cakap yang baik baik..pamer yang baik baik..adik nak jadi artis kena berkawan dengan semua orang.. sekian nasihat cikgu pada khai..."

Lebih menarik satu kenyataan dari Kawan rapat khai bahar yang menyelar tindakan pengkutuk yang mengutuk khai bahar.. katanya bukan kita tentukan dosa pahala seseorang...

I'm the closest friend to him. I know khai mcm mana. And aku pelik mcm mana, orang lain walaupun tk kenal,, kau still nak sibuk judge pahala dosa orang lain padahal diri sendiri tk terurus. Semua orang buat salah, takkan just sebab tersasul cakap sikit korang punya condemn mcm khai dh bunuh orang. Khai duduk sarawak hampir setahun, dia sayang sarawak. aku yg kt kL ni pn dulu bole jumpe dia dua tiga kali je dulu. Dia just tersasul cakap. Depan kamera kot, kalau kau pn, kau blur nk cakap apa tgh live. Come on gais, takde sbb kot korang nk benci dia. Aku kawan dgn dia for along time. susah senang dia ada dgn aku. mcm mana aku yg rapat tk dpt nak detect salah dia tapi korang ygtk pernah lepak setable dh boleh cakap dia jahat? Khai jugak seorang yg blur, he's try so hard utk pandai bercakap dpn khalayak ramai. People always make mistake. Yang biol jugak cakap khai itu ini, tu maknanya dari kecik mmg kau dilahirkan utk bash orang. terimakasih -   Sumber : Inche Olah  

Rabu, 17 Ogos 2016

Kehilangan Derrona Kes Culik

MIRI: Polis Miri mengklasifikasikan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sebagai kes culik.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Junaidi Bujang ketika dihubungi berkata, seorang kanak-kanak perempuan Derrona Joylyn Joseph, 11 dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolah tengah hari semalam.

“Dalam kejadian yang berlaku tengah hari semalam mangsa dikatakan mengikuti seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih dan mangsa gagal dikesan sehingga sekarang.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Hasil siasatan awal mendapati lelaki yang menjemput mangsa balik dari sekolah adalah merupakan abang ipar mangsa yang dikenali sebagai Julian Sabong, 36.

Kedua-duanya dilaporkan gagal dikesan sehingga hari ini.

Sementara itu, Junaidi juga memberitahu bahawa kenderaan yang digunakan untuk menjemput mangsa telah ditemui terbiar di sebuah tanah lapang Jalan Miri Bypass.

Kes kini disiasat dibawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurung dengan sulit dan salah.

Sehubungan itu, polis menyeru agar orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes iaitu Insp. Chalart Cinda Eh Nem di talian 017-9825150 atau menghubungi terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di talian 085-433400 atau 085-433730

Isnin, 15 Ogos 2016

GURU DISIPLIN CABUL ANAK MURID, UGUT PECAH KEPALA ANAK!

JULAU-  Seorang bapa tampil membuat laporan Polis apabila anaknya yang berumur 12 tahun mengadu telah dicabul oleh seorang guru lelaki di sekolahnya.

Kejadian itu dilaporkan telah berlaku untuk kali pertama pada penguhujung 2015 di sebuah kelas di sekolah tersebut. Guru tersebut memegang bahu kanan anak gadis malang tersebut.

Namun, pada penghujung Julai 2016, peristiwa sama berulang malah lebih dahsyat. Guru tersebut telah memanggil murid tersebut ke Pejabat HEM dan mengunci pintu. Suspek dikatakan memeluk mangsa dari belakang dan meraba buah dada mangsa dan membuatkan mangsa menjerit.

Meskipun didengari oleh Guru Besar dan guru lain namun tiada tindakan keras terhadap suspek malah hanya diberi amaran oleh Guru Besar.

Bapa mangsa yang tidak berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah telah tampil membuat laporan Polis.

Sumber: Sarawak Legacy

Sabtu, 13 Ogos 2016

"Penyanyi Iban Maut Kemalangan"

SIBU: Seorang penyanyi Iban baharu meningkat naik, Sylvester Nyawai Sain meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Deshon berhampiran lampu isyarat Jalan SESCo di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 pagi itu, Sylvester, 35, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Batu 10, Jalan Kemuyang di sini.

Mangsa menunggang motosikal bersama seorang pembonceng dikatakan terbabas lalu melanggar penghadang jalan.

Mangsa yang tercampak ke atas jalan kemudian dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta yang melalui kawasan kejadian.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng wanita, 24, yang juga sepupu mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Sylvester pernah menjadi juara pertandingan Bintang Lagu Iban SibuFM pada bulan Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi memberitahu satu laporan berhubung kejadian telah diterima pihaknya.

Kes tersebut kini dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: The Borneo Post

"Sarawak tarik balik permit kerja semua warga Petronas jika masih berdegil"

JOHOR BAHARU: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem malam tadi memberi amaran lebih tegas untuk membatalkan semua permit kerja petugas Petronas dari luar Sarawak, jika arahan moratorium yang dilaksanakan kini gagal.

Berucap di hadapan lebih 400 anak Sarawak dalam program Ngabas@Johor anjuran Persatuan Anak Sarawak Semenanjung di sini, Adenan menegaskan anak-anak Sarawak sendiri akan mengambil alih tugas tersebut sekiranya Petronas masih berdegil memberhentikan anak Sarawak yang menjadi kakitangan syarikat itu dan menggantikannya dengan petugas dari luar Sarawak.

“Kita sentiasa mahukan rakyat Sarawak diberikan keutamaan. Dan jika anda gagal berbuat demikian, kami akan bekukan permit kerja anda (Petronas),” katanya.

Ketika ini kebanyakan sumber petroleum dan gas Petronas di negara ini datangnya dari Bumi Kenyalang, terutamanya dari Miri dan Bintulu.

“Kita tidak lakukan tindakan ini serentak sekali gus. Kita laksanakannya satu per satu, dengan tindakan awal adalah melaksanakan arahan moratorium.

“Selepas ini kita akan meminta royalti kepada negeri Sarawak sebanyak lima peratus hari ini, ditingkatkan melebihi jumlah itu,” tegasnya.

Adenan sebelum ini melaksanakan serta-merta arahan moratorium terhadap permit kerja warga Petronas dari luar Sarawak berikutan tindakan syarikat minyak dan gas utama itu memberhentikan sekurang-kurangnya 13 pekerja anak Sarawak di negeri ini, lanjutan penstrukturan semula syarikat tersebut.

Biarpun mendapat kecaman sesetengah pengamal dan pengkaji ekonomi termasuk dari negeri itu senditi, namun majoriti rakyat Sarawak menganggap tindakan Ketua Menteri itu sebagai patriotik, demi melindungi masa depan rakyatnya.

Dalam ucapan sekitar 15 minit itu, Adenan turut menerangkan tindakan-tindakan yang diambil oleh kerajaan pimpinannya sebelum ini dalam menegakkan kebajikan rakyat.

“Yang paling penting adalah untuk menuntut autonomi daripada kerajaan Pusat berhubung kuasa-kuasa yang terhakis daripada kita, walhal ia telah dipersetujui dalam perjanjian Malaysia, Akta Malaysia 1963 dan dimeterai dalam cadangan dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan pada 1963,” tegasnya.

Adenan berada di Johor selama sehari atas tugasan rasmi, termasuk merasmikan penutupan Bengkel High Performance Team penjawat kanan Kerajaan Negeri Sarawak, selain mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

Turut mengiringi beliau ialah tiga timbalannya, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Masing.

Hadir sama ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Pada majlis yang sama, Adenan turut melahirkan keyakinan bahawa atlet terjun negara yang berasal dari Sarawak, Pandalela Rinong akan mengutip emas Olimpik negara (dalam acara individu) setelah berjaya memperoleh perak dan gangsa sebelum ini.

“Kita bangga kerana Pandalela adalah anak Sarawak.