Sabtu, 20 Ogos 2016

Penganggur direman 7 hari rogol adik ipar

MIRI: Seorang penganggur ditangkap kerana disyaki menculik dan merogol adik iparnya berusia 11 tahun diperintahkan Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman tujuh hari membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat ASP Soliment Nyian dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Soliment memberitahu pada 16 Ogos lalu, seorang lelaki telah membuat laporan polis berhubung kehilangan adik perempuannya yang berusia 11 tahun.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 12.30 tengah hari, 16 Ogos lalu, dia telah meminta tolong sepupunya untuk pergi menjemput adiknya balik dari sekolah.

Setiba di sekolah, sepupu pengadu tidak menjumpai adiknya walaupun telah mencari di sekitar kawasan sekolah dan sehingga laporan polis dibuat, pengadu masih gagal menemui adiknya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 3.20 petang, 18 Ogos lalu, sepasukan polis diketuai ASP Nagulan Maniam telah menahan seorang lelaki di sebuah lot di Lorong Tanjung 4J Pujut Tanjung Batu di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Soliment memberitahu reman selama tujuh hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek berusia 36 tahun amat diperlukan untuk membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah) dan Seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol).

Mahkamah membenarkan reman itu dan memerintahkan suspek dihadapkan semula ke mahkamah sama pada 25 Ogos ini untuk sebutan kes.

Sumner: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan