Isnin, 31 Oktober 2016

Harga Minyak RON95, RON97, Diesel Naik Lagi Mulai Esok

Berkuat kuasa 1 November 2016 (esok), harga petrol RON95 naik kepada RM1.95 seliter berbanding RM1.80 pada Oktober. Bagi bahan api RON97, ia juga naik kepada RM2.30 seliter berbanding RM2.15.

Manakala diesel turut naik daripada RM1.75 kepada RM1.90 seliter.

HARGA RUNCIT MINYAK NOVEMBER 2016

RON95 – RM1.95 seliter
RON97 – RM2.30 seliter
Diesel – RM1.90 seliter
Diesel Euro5 – RM2.00 seliter

Pasangan Kekasih Suspek Rompakan Di Kuching Tumpas


KUCHING: Sepasang kekasih dicekup polis pagi tadi kerana dipercayai melakukan dua rompakan di dua kedai di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar berkata suspek lelaki berusia 21 tahun bersama teman wanitanya berusia 24 tahun ditahan ketika memandu Perodua Viva pada jam 11.30 pagi di Matang jaya.

"Kedua-dua suspek dalam pengaruh dadah ketika ditahan dan mereka juga mengaku telah melakukan rompakan.

"Beberapa hasil rompakan juga telah ditemui di dalam kenderaaan yang digunakan suspek, yang turut menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

Menurut Dev, rompakan pertama pasangan kekasih tersebut adalah di kedai 24 jam di Jalan Song Thian Cheok pada sekitar jam 4.15 petang apabila suspek lelaki yang bersenjatakan sabit mengancam untuk mencederakan juruwang manakala teman wanitanya merampas wang dari mesin tunai sebanyak RM1,284 termasuk dua telefon bimbit.

Selepas itu, kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan Perodua Viva kemudian melakukan rompakan kedua di sebuah kedai gambar di MJC pada sekitar jam 5.10 petang.

Dalam rompakan kedua tersebut, suspek lelaki telah melakukan kekerasan ke atas pembantu kedai dengan menolaknya ke lantai sementara kekasihnya mengambil beg tangan yang mengandungi wang tunai RM1,000, dokumen peribadi dan kad bank termasuk seunit kamera dan empat telefon bimbit daripada kedai tersebut sebelum mereka melarikan diri.

Sumber: The Borneo Post

Ahad, 30 Oktober 2016

Dua maut kereta rempuh pokok

KUCHING: Dua maut manakala tiga terselamat dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta jenis proton merempuh sebatang pokok di Jalan Tun Abdul Rahman, Petra Jaya disini malam tadi.

Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 11 malam itu kereta yang dinaiki seramai lima orang dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok sehingga menyebabkan kereta berkenaan terputus dua.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah Dayang Persik Awang Latif, 40 tahun dan Mizan Farizan Abdul Malik, 30 tahun.

Menurut jurucakap bomba, sejurus menerima panggilan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuching dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya anggota di lokasi mendapati satu kemalangan kendiri melibatkan kereta Proton yang terputus dua sehingga melibatkan dua disahkan meninggal dunia ditempat kejadian,’katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, DSP Alexson Naga berkata akibat dari rempuhan kuat tersebut mengakibatkan kedua-dua mangsa maut ditempat kejadian.

“Setakat ini seorang mangsa sedang dirawat di zon merah di Hospital Umum Sarawak (HUS), manakala empat lagi dirawat di zon kuning,” katanya seperti dipetik dalam laporan Kosmo.

Sehingga berita ini ditulis, punca kemalangan masih lagi dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sarawakiana

Sabtu, 29 Oktober 2016

Permit memburu buaya akan dikeluarkan

Sibu: Jabatan Hutan Sarawak akan mengeluarkan permit untuk memburu dan memusnahkan buaya liar dan ganas di 13 sungai di negeri ini dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya Sapuan Ahmad berkata, penduduk setempat akan diberi keutamaan bagi memohon serta mendapatkan permit memburu dan memusnahkan buaya liar di sungai kawasan masing-masing.

Menurutnya, antara sungai yang mempunyai populasi buaya liar tertinggi di Sarawak iaitu sekitar 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer ialah di Batang Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar dan Batang Salak.

“Berdasarkan bancian, ada kira-kira 20,000 buaya liar di sungai di Sarawak,” katanya pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Hutan Sarawak di sini malam tadi.

Kebenaran memburu buaya itu berikutan keputusan persidangan saintis di Afrika Selatan baru-baru ini, yang menurunkan taraf perlindungan buaya di Sarawak kerana mengancam manusia.

Ini bermakna buaya-buaya liar di negeri itu kini boleh diburu dan dimusnahkan manakala kulit dan daging pula boleh dijual untuk eksport ke pasaran antarabangsa.

Harga produk siap kulit buaya liar seperti beg tangan, kasut dan tali pinggang boleh mencecah sehingga RM5,000, manakala dagingnya boleh dijual dengan harga sekitar RM38 sekilogram.

Sapuan berkata, pihaknya tidak menetapkan kaedah pemburuan tetapi terpulang kepada pemegang permit sama ada menggunakan pancing atau senjata api dan mereka perlu mencari sendiri pembeli buaya yang ditangkap atau dibunuh.

Menurutnya, jabatan hanya membenarkan aktiviti pemburuan buaya liar di sungai yang mempunyai populasi 14 ekor untuk jarak setiap satu kilometer.

Pertambahan populasi buaya liar di negeri ini boleh mencecah sehingga 500 ekor dalam tempoh enam tahun memandangkan seekor buaya boleh menghasilkan sebanyak 80 telur.

Sebagai contoh, pada 2008 ada 313 ekor di Kuching Woodland tetapi pada 2014 populasi buaya liar meningkat kepada 800 ekor.

Laksa Sarawak Cipta Rekod Tapi Membazir

Kuching: Percubaan sebuah pusat membeli belah untuk memecahkan rekod Laksa Sarawak terbesar untuk Malaysia Book Records semalam telah menyebabkan pembaziran berlaku.

Laksa Sarawak yang telah disediakan dalam sebuah bekas gergasi yang bersaiz 3.1 meter x 1.3 meter dan menggunakan 100kg pes Laksa Sarawak, 225kg beehon, 90kg udang, 1,008 telur, 90kg taugeh dan 80kg ayam terpaksa dibuang walaupun mengambil masa selama 18 jam untuk menyediakannya.

Menurut penganjur acara tersebut, Debra Sim berkata kepada The Borneo Post, laksa tersebut terpaksa dibuang kerana tidak sihat untuk disajikan kepada orang ramai.

Rekod tersebut telah diiktiraf oleh Timbalan Pengurus Besar Malaysia Book of Records, Mohamad Alex Edward dan disaksikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian.

Gambar: klxpress.com
Ketika acara tersebut, Dr. Sim memuji usaha yang diambil untuk memperkenalkan menu tempatan itu kepada tahap yang lebih tinggi dan menggalakkan pengusaha tempatan untuk menjadi lebih inovatif dalam menyediakan produk makanan berasaskan pes Laksa Sarawak.

Dalam masa yang sama, seorang guru sekolah menengah, Micheal Law, 44, yang menghubungi The Borneo Post turut berasa terkilan dengan pembaziran daripada perlaksanaan rekod tersebut.

Menurut guru tersebut dia melihat acara itu di laman sosial media Facebook dan menghubungi pihak penganjur bertanyakan sama ada makanan tersebut dibazirkan hanya untuk memasuki Malaysia Book of Records dan setelah penganjur mengesahkan perkara tersebut dia berasa sedih.

Katanya lagi, sepatutnya menteri yang merasmikan acara tersebut boleh mengambil peluang untuk mendidik orang ramai nilai-nilai yang bagus dan tidak membazir makanan.

Penganjuran acara tersebut adalah bertujuan untuk mempromosikan Kuching sebagai satu destinasi perlancongan yang bukan hanya untuk pelancong tempatan bahkan juga pelancong antarabangsa.

Khamis, 27 Oktober 2016

Joseph bersedia sarung semula jersi Sarawak

KUCHING - Bekas penyerang Sarawak, Joseph Kalang Tie bersedia menawarkan kembali khidmatnya kepada Sarawak sekiranya diberi peluang oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Joseph, 29, yang kini menyertai skuad Terengganu berkata beliau masih berhasrat untuk kembali menyertai negeri kelahirannya.

“Sudah tentu saya mahu kembali ke Sarawak suatu hari nanti kerana ia tempat kelahiran saya.

“Namun, ia bergantung kepada apa yang ditawarkan oleh pihak FAS.

Setakat ini saya belum menerima apa-apa tawaran daripada mereka,” katanya.

Meskipun besar hasrat untuk kembali ke Sarawak, Joseph tetap berharap FAS dapat mengekalkan barisan pemain sedia ada untuk mengharungi kempen tahun depan.

Ujarnya, barisan pemain sedia ada berhak dikekalkan kerana telah bermain dengan penuh komitmen dan gigih untuk memastikan Sarawak kekal dalam Liga Super.

Joseph menyertai Terengganu pada awal musim ini selepas menabur bakti selama empat tahun dengan Sarawak sejak 2012.

Ia kali kedua penyerang kelahiran Miri itu menyertai Terengganu di mana beliau pernah menyertai skuad sama dari 2007 hingga 2011.

Sumbangan terbesar Joseph ialah membantu Sarawak menjuarai Liga Perdana 2013 dengan rekod tanpa kalah.

Selasa, 25 Oktober 2016

Lelaki tiba-tiba rebah disahkan meninggal dunia

KUCHING: Usaha seorang lelaki untuk membantu rakannya yang tiba-tiba rebah selepas makan bersamanya semalam tidak berjaya apabila dia disahkan meninggal dunia.

Menurut sumber, insiden berlaku di Demak Laut, apabila mangsa yang dikenali sebagai Gaduh Sijet,56, sebelum itu mengadu sakit kepada rakannya itu sekitar jam 2 petang.

Difahamkan, mangsa tiba-tiba rebah menyebabkan rakannya terus mendapatkan bantuan daripada rakan yang lain dan terus mengejarkannya ke sebuah Klinik 1Malaysia berdekatan.

“Setibanya di klinik tersebut, mangsa didapati kritikal menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan bantuan daripada anggota paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Jabatan Forensik HUS untuk bedah siasat,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.Mangsa  yang dikatakan berasal dari Kota Padawan, Jalan Puncak Borneo sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Sumber: The Borneo Post

Ahli Kongsi Gelap Maut Pergaduhan Di Mukah


MUKAH: Pertelingkahan antara penduduk rumah panjang bersama sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap bertukar tragedi apabila seorang daripada 40 individu terlibat dalam pergaduhan terbabit  di sebuah ladang Ulu Arip, Balingian maut lewat petang semalam.

Difahamkan mangsa yang maut ditempat kejadian dikenali sebagai Fabian Janti Lebau, 26 telah di tembak dibahagian bawah rusuk sebelah kanan dan mempunyai kesan tetakan di bahagian kepala.


Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan kematian melibatkan anggota kongsi gelap dipercayai terkena tembakan senapang patah berikutan penemuan dua kelongsong peluru ditemui berdekatan mangsa.

"Insiden tersebut berlaku kira-kira 100 meter dari tempat halangan yang didirikan oleh penduduk rumah panjang ke ladang milik anak syarikat sebuah syarikat perladangan terkemuka,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

Freddy menambah seramai tiga individu telah ditahan pihak polis bagi membantu siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor menegaskan supaya orang ramai tidak membuat sebarang andaian di laman sosial kerana pihak polis masih lagi menjalankan siasatan secara terperinci mengenai motif dan punca sebenar insiden terbabit.

Sumber: Sarawakiana

Isnin, 24 Oktober 2016

Polis Tahan Suspek Rogol Jururawat Di Kapit

KAPIT: Polis berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang Jururawat yang dilaporkan dirogol secara bergilir-gilir sebelum ditinggalkan dalam keadaan terbaring separuh bogel dan tidak sedarkan diri di sini Sabtu lalu.

Memetik Kenyataan Ketua Polis Daerah Kapit DSP Freddy Bian dari akhbar Utusan Borneo hari ini, beliau mendedahkan bahawa penahanan keatas dua lelaki berhubung kejadian terbabit berdasarkan individu terakhir bersama mangsa.

Kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun berjaya ditahan dirumah kediamannya di Jalan Selirik sekitar jam 4.30 petang manakala seorang lagi ditahan di Balai Polis Kapit selepas dipanggil untuk menyerah diri.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan selanjutnya, dan berdasarkan hasil siasatan awal mendapati mangsa menaiki kereta bersama mereka sebaik sahaja keluar dari sebuah pusat hiburan namun siasatan lanjut masih lagi diteruskan dengan mendapatkan ujian DNA daripada suspek untuk dipadankan dengan sampel diperolehi daripada mangsa," jelasnya.

Sarawak Bentang Usul Tuntut Semula Hak Sarawak

Kuching : Kerajaan negeri Sarawak akan membentangkan usul pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan berhubung tuntutan semula hak Sarawak.

adenan sarawakKetua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini berkata, usul itu secara spesifik akan menumpukan pada keperluan untuk kerajaan Persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962.

“Usul akan dibentangkan oleh seorang daripada menteri (negeri),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Sarawak (PRS) kali ke-4, di Bintulu, hari ini.

DUN Sarawak akan bersidang dari 21 hingga 30 November ini.

Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963. Singapura keluar daripada persekutuan pada 1965.

Sumber: bnbcc

Ahad, 23 Oktober 2016

Jururawat Dirogol Bergilir-gilir

KAPIT – Keseronokan seorang jururawat muda berhibur dengan dua kenalan lelaki yang baru dikenali di sebuah pusat karaoke berakhir dengan dia dibuang di tepi jalan di kawasan perindustrian Bleteh selepas dipercayai dirogol secara bergilir-gilir.

Semasa ditemui pada pukul 6.30 pagi kelmarin, jururawat desa di sebuah pusat kesihatan di daerah ini dalam keadaan terbaring separuh bogel dan tidak sedarkan diri dipercayai kerana terlalu mabuk.

Penemuan mangsa yang ber­usia 22 tahun itu menimbulkan perhatian orang ramai yang lalu-lalang di kawasan perindustrian tersebut.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freedy Bian berkata, sebelum ke­jadian, mangsa di­kata­kan berhibur ber­sama dua kenalan lelaki yang baru dikenali di sebuah pusat karaoke di sini.

Bagaimanapun, me­nurut beliau, selepas berhibur di dua buah pusat karaoke pada malam sama, mangsa kemudian dipercayai diperkosa oleh kedua-dua kenalannya yang dikatakan pekerja kilang.

“Selepas dinodai mangsa di­percayai sengaja ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan separuh bogel dan tidak sedarkan diri,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Sumber: Kosmo!

Perhimpunan Bersih 5 Di Sri Aman Tiada Sambutan

SRI AMAN : Perhimpunan BERSIH 5 diteruskan di seluruh negara termasuk Sri Aman Sarawak pada hari ini.

Perhimpunan tersebut berlangsung seawal jam 10 pagi yang diketuai oleh peguam Peli Aron.

Perhimpunan tersebut berlangsung dalam kuantiti kecil dimana hanya beberapa orang sahaja menyertai.

Mereka bergerak di pasar tamu dan menemui penjaja dan orang ramai yang berada di situ.

Justeru perhimpunan tersebut tidak mendapat sambutan ramai dan ia sebuah perhimpunan yang lesu.

Sumber: Sarawakiana

Sabtu, 22 Oktober 2016

15 jatuh, titian SK Bruit runtuh

MUKAH: Kira-kira 15 orang terjatuh apabila titian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bruit runtuh sekitar jam 10 pagi semalam sejurus sebelum perasmian Program Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC).

Menurut saksi kejadian, seorang daripada kumpulan yang terjatuh itu terkehel tulang bahu kerana cuba menyelamatkan anak saudaranya.

“Kejadian berlaku ketika menanti Yang Berhormat datang ke dewan untuk upacara perasmian,” katanya.

Mangsa terkehel bahu kemudiannya dihantar ke klinik berhampiran sejurus insiden terbabit.

Mangsa (wanita) berusia 39 tahun berasal dari kawasan berkenaan.

Pelancaran program Mobile CTC itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman.

Difahamkan anggota bomba dan penyelamat terlibat dalam program itu turut segera bertindak.

Sumber: The Borneo Post

Jumaat, 21 Oktober 2016

Warga Myanmar Maut Dalam Mesin Pengisar Tanah


KUCHING: Pekerja kilang batu bata di Jalan Puncak Borneo digemparkan dengan insiden seorang lelaki warga Myanmar tersepit dalam mesin pengisar tanah sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Mangsa, Nyi Nyi Aung yang berusia 31 tahun maut ditempat kejadian.

Menurut jurucakap bomba, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padawan dikerahkan ke lokasi kejadian selepas panggilan diterima sekitar jam 1.48 tengah hari.

"Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan bantuan daripada mekanik di tempat kejadian untuk mengangkat mesin pengisar tanah menggunakan 'forklift'.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sumber: Sarawakiana

Khamis, 20 Oktober 2016

Bung Moktar: ‘Hotdog’ bukan anjing panas, Jakim perlu luaskan pengetahuan

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu bergerak seiring peredaran masa dan memperluaskan pengetahuan mereka dalam pelbagai topik, kata Datuk Bung Moktar Radin.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Jakim perlu belajar makna di sebalik sesetengah jenama produk, sebelum membuat kesimpulan terburu-buru.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, adalah pelik menukar “hotdog” kepada nama lain kerana “hotdog” bukannya anjing panas.

“Pandangan mereka boleh menyebabkan negara kerugian wang kerana pelancong dari seluruh dunia melawat Malaysia.

“Mereka akan meminta ‘hotdog’, tetapi ia tiada lagi kerana nama sudah lain.

“Nama ‘hotdog’ dan ‘root beer’ tidak pernah ada masalah. Ia tidak patut menjadi masalah sekarang,” katanya kepada FMT di lobi Parlimen, hari ini.

Selasa, 18 Oktober 2016

Watson Nyambek terima hadiah rumah teres

MIRI: Bekas Raja Pecut Malaysia Watson Nyambek hari ini menerima sumbangan sebuah rumah teres satu tingkat yang lengkap berperabot daripada Kumpulan Syarikat Naim dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Replika kunci rumah tersebut disampaikan bersama oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi Naim, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Pengerusi SPNB Datuk Dr Abd Latiff Ahmad kepada Watson dalam satu majlis ringkas di Pullman Hotel di Miri.

Watson pernah mencipta rekod 100 meter dengan 10.3 saat pada Kejohanan Sukan Pra-Komanwel 1998 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan mengekalkan rekod pecut 100 meter negara itu selama 17 tahun.

Pemberian rumah teres yang dibina diatas keluasan 850 kaki persegi yang terletak di Vista Perdana Fasa 2 di Bandar Baru Permyjaya itu kepada Watson adalah berdasarkan semangat memberi semula Naim dan SPNB kepada komuniti.

Sementara itu Watson berterima kasih kepada Naim, SPNB dan kerajaan Sarawak khususnya Tan Sri Adenan yang mengambil berat kebajikan bekas atlet.

“Saya beri jaminan akan menumpukan sepnuh usaha untuk membantu menambahbaik mutu sukan di negeri ini,” katanya yang hadir ditemani isteri, Fellizia Michael.

Sumber: The Borneo Post

Isnin, 17 Oktober 2016

Pelajar terpaksa berhenti sekolah di Kuching

KUCHING: Kesempitan hidup selain keadaan bapanya yang tidak sihat memaksa seorang pelajar tingkatan dua berhenti sekolah demi membantu menjaga orang tuanya.

Remaja tersebut, Mohammad Yusri Mohd Yusuf, 14, tinggal bersama bapanya, Mohd YusufAbdullah@Segan, 66, dan ibunya, Mariani Abdullah, 37, di rumah usang mereka yang terletak di Lorong No.1, Kampung Temedak, Jalan Matang di sini.

“Dia sudah berhenti sekolah sebulan yang lalu kerana kesempitan hidup kami tiga beranak.

“Dia terpaksa mengambil tugas saya untuk menghantar dan mengambil ibunya yang bekerja di Politeknik (Kuching), Matang.

“Ini kerana saya kerap diserang sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama selain kos persekolahan anak yang saban tahun semakin meningkat,” kata Yusuf yang juga tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) ketika ditemui di kediamannya semalam.

Malah, lebih menyedihkan keadaan rumah yang didiami tiga beranak itu kian usang dengan lantai telah runtuh ekoran tiang rumah tersebut sudah patah.

“Apatah lagi kalau hujan turun pasti terdapat bocor sana sini,” katanya sambil memohon agar ada pihak terutama kerajaan tampil membantu membaiki rumah mereka itu.

Mengulas lanjut mengenai keperitan hidup mereka tiga beranak itu, Yusuf berkata mereka terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya yang hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji RM900 sebulan selain bantuan bulanan sebanyak RM300 yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mohd Yusri terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan

“Kalau ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perbelanjaan ulang alik pergi kerja dan hutang barang keperluan dapur di kedai, hanya sedikit  sahaja yang tinggal. Jadi kami tidak mampu membaik pulih rumah ini,” katanya.

Yusuf yang kehilangan sebahagian kedua-dua tapak kaki ekoran terkena jangkitan kencing tikus lima tahun lalu, kini turut menghidap penyakit batu karang.

“Saya amat berharap bantuan daripada kerajaan untuk membaik pulih rumah kami termasuk barang keperluan lain untuk meringankan beban kami,” katanya sambil memberitahu, pihak Tabung Baitulmal Sarawak telah tampil menghulurkan bantuan kepadanya selain orang persendirian dan kenalannya baru-baru ini.

Sumber: The Borneo Post

Sabtu, 15 Oktober 2016

Pelumba bot maut di Sungai Rajang

KANOWIT: Seorang pelumba bot laju maut selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi latihan di Sungai Rajang, di sini, petang semalam.

Kejadian pada jam 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Danny Jawan, 37, sedang menguji bot lajunya untuk menghadapi perlumbaan sebenar sempena Pesta Kanowit, hari ini.

Pada masa yang sama, sebuah bot laju yang dipandu pelumba dari Brunei, Maarof Mahani, 54, tiba-tiba membelok di hadapannya.

Danny dipercayai gagal mengelak lalu berlaku pelanggaran yang menyebabkan beliau pengsan dipercayai akibat kecederaan dalaman.

Bot yang dipandunya turut mengalami kerosakan teruk, bagaimanapun pelumba dari Brunei itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Daniel Benjamin berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kanowit untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 5.45 petang tadi," katanya.

Perlumbaan bot laju adalah antara acara tarikan utama Pesta Kanowit yang berlangsung sejak 6 Oktober lalu dan menutup tirainya esok.

Jumaat, 14 Oktober 2016

Polis Tahan Lelaki Rogol Gadis Bawah Umur Di Sibu

Sibu: Seorang lelaki berumur 20 tahun ditahan polis petang semalam selepas dipercayai melakukan hubungan seks dengan seorang gadis bawah umur di sini.

Bertindak daripada maklumat, pihak polis telah pergi ke sebuah rumah sewa di kawasan Perindustrian Sungai Antu untuk menahan suspek berumur 20 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo ketika dihubungi mengesahkan satu laporan berhubung kes tersebut telah dibuat di Balai Polis Sungai Merah, petang kelmarin.

“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol,” jelasnya.

Sebelum kejadian, pengadu, 47, telah dimaklumkan oleh anak sulungnya bahawa mangsa telah keluar dari rumah ibu saudaranya di Sungai Antu di sini sekitar jam 6 petang Rabu lepas.

Difahamkan, mangsa telah berjanji dengan suspek yang dikenalinya sejak 2014 untuk berjumpa pada jam 3 petang hari berkenaan.

Mangsa dikatakan mengikut suspek ke sebuah bilik sewa di mana mereka dipercayai telah mengadakan hubungaan seks.

Mangsa kemudian dihantar oleh suspek ke rumah kawannya yang berdekatan sebelum pulang ke rumah pada jam 6.15 pagi.

Ahli keluarga mangsa hanya menyedari apa yang telah berlaku selepas mangsa menceritakan bahawa dia telah bermalam dan tidur dengan teman lelakinya.

Menurut Martin, mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Polis juga telah merampas pakaian suspek ketika kejadian sebagai bahan bukti.

Suspek yang berasal dari Sungai Stubah, Bintangor kini sedang ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Sumber: The Borneo Post

Rabu, 12 Oktober 2016

Lelaki cedera ditetak rakan sebilik

Kuching: Seorang lelaki cedera dikepala dalam kejadian tetak  awal pagi tadi.

Mangsa, Liew Chan Seng, 55 tahun, mengalami luka sepanjang 3 inci dikepalanya akibat ditetak oleh rakan sebiliknya.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara mangsa dengan rakan sebiliknya sehingga menyebabkan rakannya itu bertindak mencederakan mangsa.

Susulan kejadian, mangsa mwmbuat laporan di balai polis padungan, disini untuk tindakan lanjut.

Pihak Agensi Pertahanan Awam Malaysia APM dipangil bagi memberikan rawatan suslan kepada mangsa dan keterangan mangsa berkenaan kejadian direkodkan di Balai Polis Padungan.

Gadis Ditemui Tergantung Di Rumah

KUCHING: Seorang gadis disahkan meninggal dunia ketika cuba diselamatkan oleh anggota paramedik di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas dikatakan ditemui dalam keadaan tergantung di rumahnya di sini, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan ditemui keluarganya tergantung pada tempat penyangkut pakaian selepas mereka berjaya membuka pintu bilik mangsa yang dikunci dari dalam sekitar jam 7 malam.

“Keluarga mangsa kemudian segera memberi rawatan kecemasan kepadanya selain turut menghubungi pihak ambulans untuk bantuan.

“Mangsa selepas diberikan bantuan kecemasan oleh anggota paramedik di tempat kejadian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, usaha untuk menyelamat mangsa gagal dan dia telah disahkan meninggal dunia kira-kira 20 minit kemudian,” kata sumber.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik HUS dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh keluarga mangsa dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih giat dijalankan.-UB

Selasa, 11 Oktober 2016

Remaja maut dipercayai gantung diri dalam bilik

MUKAH: Kerisauan seorang kakak bertukar pilu apabila mendapati adik lelakinya, 20-an, yang tidak keluar dari biliknya seharian rupa-rupanya sudah tidak bernyawa dipercayai menggantung diri petang Ahad lalu.

Dalam kejadian di sebuah kampung di Matu dekat sini, si kakak risau kerana sudah seharian adiknya tidak keluar dari biliknya.

Sekitar jam 5 petang, beliau mengambil keputusan menjenguk sekiranya adiknya sakit atau kurang sihat.

Ketika membuka pintu bilik, dia amat terkejut apabila mendapati adiknya terkulai dalam keadaan tergantung.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Wagner Lisa Libut mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Melalui siasatan awal polis, kejadian tiada sebarang unsur jenayah dan mangsa juga tidak menghadapi sebarang masalah keluarga.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Sumber: The Borneo Post

Suspek Rompak Hotel Bajet Di Kuching Dicekup

KUCHING: Polis Kuching berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kes siri rompakan hotel bajet minggu lalu.

Suspek yang berusia 32 tahun ditahan dan berada dibawah pengaruh dadah di sebuah hotel bajet disini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato Dev Kumar berkata, suspek dipercayai terlibat dalam enam kes rompakan hotel bajet dan sebuah kedai roti di bandar raya ini sejak minggu lalu.

“Modus operandi suspek yang menyamar sebagai pelanggan yang bertanyakan tentang bilik di hotel bajet sebelum mengeluarkan parang dan memaksa pekerja wanita menyerahkan wang kepadanya sebelum melarikan diri,” katanya..

Kronologi mengenai siri kes rompakan ke atas hotel bajet bermula pada 2 Oktober lalu di kaunter pendaftaran sebuah hotel bajet di Jalan Lapangan Terbang, dimana suspek telah melarikan wang tunai sebanyak RM 1,900 dan dua unit telefon bimbit.

Kes kedua pada 5 oktober di sebuah hotel bajet di Taman Satria jaya BDC suspek melarikan wang tunai berjumlah RM 1,500 dan sebuah telefon bimbit,

Kes ketiga di hotel bajet jalan Padungan dan melarikann sebuah komputer riba dan dua unit telefon bimbit,

Kes keempat pada hari yang sama di sebuah hotel bajet di Jalan Song Thian Cheok suspek melarikan wang tunai berjumlah RM150,

Kes kelima suspek di sebuah hotel bajet di Jalan lapangan Terbang melarikan wang tunai berjumlah RM 350 berserta sebuah telefon bimbit,

Kes keenam pada 8 oktober di sebuah hotel bajet di Jalan Rock dimana suspek menyerang mangsa dan mangsa menerima 18 jahitan kerana mempertahankan diri dari terkena libasan parang suspek.

Suspek berjaya melarikan diri menggunakan motosikal bersama rakan subahatnya dan wang tunai berjumlah RM200.

Kes terakhir pada 9 Oktober di sebuah kedai roti di Taman BDC yang mana dua orang mangsa wanita ingin menutup kedai didatangi seorang lelaki bersenjatakan parang dan mengugut mangsa supaya menyerahkan wang sebanyak RM 2,700.

Dev mengucapkan syabas dan tahniah kepada unit risikan dari Ibu Pejabat Polis Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak diketuai oleh ketua bahagaian Siasatan jeneyah IPD Kuching DSP Lim Bak Phai diatas penyelesaian siri kes samun hotel bajet dan sekaligus berjaya menyelesaikan tujuh kes berkaitan.

Sehingga berita ini ditulis, suspek kini dimaklumkan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan tempoh tahanan reman bagi menjalankan siasatan selanjutnya dan kes disiasat dibawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Isnin, 10 Oktober 2016

Penjawat Awam Mengaku Tidak Bersalah Menerima Suapan Lebih RM200 Ribu

KUCHING - Seorang penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu pegawai keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching atas 16 pertuduhan kerana menerima suapan sebanyak kira-kira RM201,351 daripada seorang kontraktor yang merupakan pembekal pengawal keselamatan pada dua tahun lepas.

Tertuduh yang dikenali Mohamad Don Adi Morshidi, 34 tahun telah membuat pengakuan tersebut selepas mendengar pertuduhan yang telah dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Nixon Kennedy Kumbang pada pagi tadi.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, tertuduh yang pada ketika ini tidak lagi bertugas di Kuching dan telah bertugas di Pahang didakwa telah menerima rasuah menerusi cek sebanyak 16 kali daripada individu yang dikenali sebagai Kassim Rosli yang mana 15 cek beralamat di Public Bank Cawangan Stutong, Jalan Setia Raja, Kuching, manakala sekeping lagi cek di Bank Alliance, Jalan Abell, Kuching.

Beliau telah didakwa melakukan kesalahan itu semasa bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching bermula 20 Januari hingga 16 Disember 2014 lepas.

Berikutan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana telah menerima barangan berharga daripada individu yang terlibat dalam apa-apa urusan yang dilakukan oleh penjawat awam jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Ikhwan Mohd Ibrahim telah menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi 16 pertuduhan tersebut di mana tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam bela telah memohon kepada hakim agar jumlah ikat jamin berkenaan dikurangkan dengan alasan beliau mempunyai tanggungan keluarga yang banyak di samping bapa beliau yang sedang sakit pada ketika ini.

Selain itu juga beliau memberi alasan yang beliau telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 10 tahun yang mana ketika siasatan dilakukan kepadanya, beliau juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memohon agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan nilainya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Nixon Kennedy kemudian telah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan syarat tertuduh perlu membayar deposit sebanyak RM6,000 kepada mahkamah dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan semula kes itu nanti yang mana mahkamah kemudiannya telah menetapkan tarikh 14 November akan datang untuk sebutan semula kes.

 

Ahad, 9 Oktober 2016

Tulang, rambut ditemui dalam perut buaya 4.4 meter

KOTA SAMARAHAN: Pasukan Tindakan Pemindahan Hidupan Liar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sabtu lepas berjaya menangkap seekor buaya jantan Sungai Samarahan di sini.

“Ini berikutan tindakan susulan operasi memusnahkan buaya pertama yang dilancarkan di sepanjang Sungai Samarahan selepas buaya menyerang Ismandi Osman yang dilaporkan hilang pada pertengahan September lepas.

“Ia melibatkan jarak perairan antara Kampung Pinang hingga ke Kampung Endap, memfokus kepada kawasan dalam radius lapan kilometer (km) dari lokasi mangsa diserang,” jelas satu kenyataan akhbar daripada SFC semalam.

Pasukan SWAT memasang 13 cangkuk dan seekor buaya jantan bersaiz besar sepanjang 4.4 meter dengan berat kira-kira 600kg termakan umpan.

Buaya berkenaan kemudiannya dibelah perut dan isi kandungan perutnya diambil bagi tujuan pemeriksaan.

“Beberapa tulang dan rambut dijumpai di dalam perut buaya berkenaan.

“Ujian forensik lanjut akan dijalankan di makmal oleh pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan sama ada tulang dan rambut adalah milik manusia,” tambah kenyataan itu.

Operasi memburu dan membunuh buaya besar di Sungai Samarahan akan diteruskan kerana ia dilihat membahayakan manusia.

Pemantauan perairan di kawasan berkenaan juga akan dilakukan bagi meredakan kebimbangan penduduk yang takut dengan kelibat reptilia ganas itu.

SFC turut meminta penduduk yang tinggal di persekitaran Sungai Samarahan agar lebih berjaga-jaga ketika menggunakan sungai berkenaan.

Sumber: The Borneo Post

Pencuri Wang Masjid Di Belawai Tutup Kepala

SIBU: Seorang lelaki sempat menutup kepalanya dengan baju apabila menyedari perbuatannya mencuri wang tabung masjid dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di Belawai, kelmarin.

Difahamkan, lelaki itu menceroboh masjid itu jam 9 malam sebelum melarikan wang didermakan penduduk.

Sumber berkata, rakaman CCTV itu merakamkan penjenayah menghampiri tabung masjid berkenaan dan sempat memandang kamera sambil menutup wajah serta kepala dengan baju dipakainya.

“Difahamkan, jumlah wang dalam tabung itu tidak banyak. Penjenayah dipercayai berusia 20-an berdasarkan susuk tubuhnya yang dirakamkan CCTV.

“Pihak pengurusan masjid membuat laporan di Balai Polis Belawai, di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sabtu, 8 Oktober 2016

Suspek buang bayi dicekup

SIBU: Terpaksa berpantang dalam kemurungan dan bergari di katil wad Hospital Sibu.

Itulah ‘harga’ yang terpaksa dibayar oleh seorang wanita, 23, selepas berjaya dicekup petang kelmarin kerana dipercayai bertanggungjawab membuang seorang bayi lelaki yang ditemui oleh orang awam di tepi tong sampah di Jalan Lai Chee di sini, awal pagi Rabu lepas.

Usaha pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sibu diketuai Inspektor Zuriati Khalid yang bertungkus-lumus menjalankan siasatan berhubung kes yang mendapat pelbagai reaksi dan tumpuan umum, akhirnya membuahkan hasil apabila suspek berjaya dijejaki sekitar jam 6 petang kelmarin.

“Polis telah berjaya menahan suspek di bawah Jambatan Sungai Selumit, Tanjung Manis, Sarikei petang semalam (kelmarin).

“Kegigihan pasukan penyiasat dengan kebijaksanaan risikan yang dibuat ternyata membuahkan hasil sehinggalah seorang suspek wanita berjaya ditangkap,” kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Saiful Bahri berkata, usaha pasukan polis yang bekerja keras menjalankan siasatan termasuk bertemu penduduk sekitar berhampiran lokasi penemuan untuk mengumpul maklumat sejak hari pertama kes itu dilaporkan memang amat berbaloi.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Sebayang, Belawai, Sarikei dipercayai ketakutan selepas melahirkan anak luar nikah dan bertindak meletakkannya di tepi tong sampah sebelum melarikan diri ke kampung dengan menaiki bas.

Siasatan polis juga mendapati suspek bertindak sedemikian kerana dia belum berkahwin dan yakin tiada sesiapa mengetahui dia telah melakukan hubungan seks sehingga mengandung sebelum ini.

Menurut Saiful Bahri, selepas ditangkap suspek yang masih dalam keadaan kurang sihat berikutan melahirkan anak dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan doktor.

“Suspek kini berada di wad bersalin untuk pemeriksaan doktor dan juga pengambilan sampel DNA akan dilakukan,” jelasnya sambil menambah suspek telah direman empat hari sehingga 12 Oktober ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana disyaki membuang bayi.

Sumber: The Borneo Post

Lelaki cedera dipercayai diserang buaya

KUCHING: Lima sekawan terpaksa membatalkan hasrat untuk menangkap udang apabila seorang daripada mereka dipercayai diserang buaya di sungai dekat Kota Samarahan kelmarin.

Seorang daripada rakan mangsa memberitahu insiden berlaku apabila mangsa, 37, dan berasal dari Asajaya berada di sungai sedalam paras pinggang iaitu sekitar jam 6 petang.

Menurutnya, mangsa kemudian menyedari dirinya dihampiri seekor buaya menyebabkan beliau terus menjerit meminta pertolongan rakan-rakannya ketika itu masih berada di darat.

“Mangsa berada di dalam sungai apabila menyedari seekor buaya menghampirinya dan terus menjerit minta pertolongan menyebabkan kami terus terjun menyelamatnya.

“Mujur kami cepat bertindak dan beliau hanya mengalami kecederaan di lengan dipercayai digigit buaya,” katanya.

Difahamkan, mangsa cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Guru BI Sebuah Sekolah Di Sarawak Sangat Kreatif

SEORANG guru Bahasa Inggeris dari sebuah sekolah di Sarawak kini mendapat perhatian netizen menerusi laman sosial.

Berbeza dengan kebiasaan guru yang lain menggunakan papan putih, cikgu bernama Raee Yeoh pula lebih gemar menggunakan pendekatan kreatif bagi membantu pelajarnya bersedia menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Kisahnya menjadi viral selepas dia memuat naik gambar teknik pembelajarannya meminta pelajar tingkatan satu menyelesaikan satu misteri pembunuhan sambil pelajar perlu bertutur dalam bahasa Inggeris.

Menariknya, cikgu Raee Yeoh turut menyediakan ‘lokasi jenayah’ dengan menggambarkan seolah-olah ‘mayat’ yang lengkap berpakaian kemeja kot, topi, berserta kenyataan-kenyataan suspek.

Lebih dramatis, guru ini turut menyediakan pita sekatan polis di sekeliling kejadian.

Manakala, bagi pelajar yang berjaya mencari pembunuh yang sebenar akan diberi ganjaran dengan merakam gambar bersama pisau gergasi yang lengkap dengan lumuran darah.

Cikgu Rae Yeoh juga tidak ketinggalan dalam tugasan ini di mana dia berlakon menjadi ‘ketua penyiasat’ yang menegur “penyiasat baru” (pelajarnya) jika mereka bertutur selain bahasa Inggeris ketika menyelesaikan misteri itu.

“Saat ini paling lucu kerana pelajar yang baik bertutur bahasa Inggeris akan bercakap bahasa ini dengan lintang-pukang agar pelajar yang lemah dapat memahaminya,” tulisnya di Facebook.

Selepas melihat ‘lokasi kejadian’, pelajar diminta menulis setiap motif, alibi dan petunjuk setiap 11 suspek untuk mencari pembunuh.

Menurut Yeoh, hanya satu dari enam kumpulan sahaja yang berjaya mencari pembunuh sebenar.

Pun begitu, ternyata teknik itu digemari pelajar kerana dia mendapat pujian selepas habisnya latihan itu.

“Cikgu, aktiviti ini sangat bagus, tidak perlulah latihan bagi ujian, kami sanggup main macam ini tiap-tiap hari,” kata pelajarnya.

Dalam pada itu, Yeoh turut menerangkan bahawa kemahiran menyiasat itu satu daripada beberapa asas berfikir ketika membaca dan memahami teks mata pelajaran Bahasa Inggeris. – MYNEWSHUB.CC

Jumaat, 7 Oktober 2016

Perompak minta berselfie selepas rompak

Miri: Sekumpulan tiga perompak membuat permintaan pelik mahu bergambar dengan pasangan suami isteri yang mereka rompak sebagai kenangan sebelum melarikan diri selepas merompak rumah pasangan itu di Jalan Airport di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 2 pagi itu, seorang penjenayah terbabit meminta rakannya mengambil gambarnya bersama pasangan suami isteri itu.

Penjenayah terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan parang dan sabit, dipercayai warga Indonesia berikutan dialek percakapan mereka.

Mangsa, Nancy Kong, 32, berkata selepas kumpulan itu menggeledah rumah dan mengambil barangan berharga, mereka mengarahkan dia dan suami, Chew Fook Leyong, 32, duduk manakala salah seorang perompak itu berdiri di belakang mereka.

“Dia mengarahkan rakannya mengambil gambarnya bersama kami.

“Saya bertanya kenapa merakam gambar itu dan dia beritahu, untuk kenangan," katanya kepada Harian Metro selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri semalam.

Akibat kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM40,000 apabila pelbagai barangan berharga, antaranya barang kemas, komputer riba, telefon dan wang tunai dilarikan.

Khamis, 6 Oktober 2016

Pelajar terpaksa berhenti sekolah kerana tidak memiliki MyKad

KUCHING: Seorang pelajar sekolah menengah, Rika Herline yang berusia 17 tahun terpaksa berhenti sekolah kerana tidak memiliki MyKad, meskipun dia adalah warganegara Malaysia dalam sijil lahirnya.

Dia yang cuba membuat permohonan dua kali iaitu pada 2013 dan 2015 tetapi hanya sia-sia sahaja sehingga menyebabkan gadis itu berada dalam situasi itu kini.

Ketika ditemui di pekarangan Bangunan Tuanku Haji Bujang di sini semalam, Herline yang dilahirkan pada 31 Ogos 1999 berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa meninggalkan sekolahnya, iaitu SMK Tebakang di Serian kerana tidak mempunyai MyKad setiap kali diminta pihak sekolah berbuat demikian.

Berasal dari Kampung Mongkos di Tebakang, Herline ditemani bapanya Ji-in Ngampu.

Menurut Ji-in yang isterinya warga Indonesia, dua anak lagi anak mereka mempunyai MyKad, berbeza dengan Herline yang merupakan anak sulungnya.

Kehadiran mereka di pekarangan bangunan berkenaan diketuai kumpulan daripada S4S dan Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA), semalam yang mengadakan demonstrasi aman kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi menjelaskan kepada jabatan tentang kesengsaraan dihadapi kanak-kanak di seluruh negeri, yang menjejaskan komuniti luar bandar.

Aktivis hak asasi manusia Peter John Jaban ketika ditemui pemberita berkata gadis itu dinafikan kad pengenalan walaupun bapanya warga Sarawak.

“Ibu bapanya berkahwin mengikut adat Bidayuh pada tahun 1998 sebelum dia (Herline) dilahirkan dan mempunyai sijil lahir sebagai bukti,” katanya sambil memberitahu bahawa pasangan itu mempunyai sijil perkahwinan sivil.

John menjelaskan, JPN telah mengeluarkan sijil lahir kepada Herline yang menunjukkan dia adalah warganegara Malaysia dengan nombor MyKad.

John percaya terdapat beberapa kes yang sama dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Sementara itu dalam kenyataan yang diedarkan kepada media semalam, John menyatakan SADIA dan S4S kini dalam usaha membantu dengan membawa perkara itu melalui tindakan undang-undang terhadap JPN.

Kes berkenaan di bawah peguam bela Simon Siah, Chua dan Chow untuk mendapatkan keputusan agar JPN mesti mengiktiraf perhubungan keluarga yang ditadbir oleh adat.

Sementara itu Siah berpendapat, adat mempunyai kuasa undang-undang di Sabah dan Sarawak, “Namun JPN tidak menegakkan kedua-duanya kerana kejahilan di Putrajaya atau kerana dasar untuk memadamkan adat, tetapi kita tidak pasti.

“Hasilnya, kita melihat banyak kes di mana penduduk luar bandar Sarawak tidak dapat mendaftar anak mereka hanya kerana mereka mengikut adat mereka yang sekian lama wujud, sedangkan ia adalah hak mereka di bawah undang-undang Malaysia dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Sumber: The Borneo Post

9 Jenis Hantu Paling Popular Dalam Masyarakat Melanau Matu-Daro

Tahukah anda ini adalah 9 jenis hantu paling popular bagi masyarakat Melanau Matu-Daro

1. Bedakah - hantu paling popular di tahun 1960an. Spesis hantu demam sebab sentiasa berdiang dekat api. Rambut tidak terurus.

2. Balang Tanak - Hantu 4 kaki ala sapi. Rupa seperti sapi, kerbau atau girafah. Tinggi dari sapi biasa. Waktu dan tempat fabret, tepi jalan utama.

3. To Regau - Hantu tinggi tapi pemalu. Jarang sekali tonjol diri.

4. Benakan - Nama samaran, Menakan. Ketawa mengilai waktu malam. Hantu yang boleh control suara. Kalau bunyi nyaring, itu tandanya dia jauh. Kalau sayup2 bererti dia dekat. Hantu ini takut kicap sebab belakangnya berlubang-lubang. Babal...ahaha.

5. Kulum - Hantu bertubuh kecil tinggi setengah meter.      Kepala bentuk kon.  Pekerjaan tetap: curi ikan keli dari bubu orang. Spesis penakut. Nampak orang, lari lintang pukang

6. Ngar - Hantu yang suka mengajuk cakap orang. Orang bercakap sebelah sini, dia pula bercakap di balik semak. Spesis ini rabun malam, sebab itu diorang raon siang. Istimewa hantu ini sebab mereka berdarah seni. Hihi. Malam2 bergendang atas pokok dalam hutan.

7. Yang - hantu geng budak2. Mereka selalu sorok seluar budak yang mandi sungai.

Bila budak kena gunting gondol, mereka minta pada Yang biar rambut cepat tumbuh... Ahaha.

8. Timab - Hantu trainee. Baru berlatih terbang. Dengan kain selimut, mereka hanya terbang menyeberang jalan.

9. Matah Tileng - Nama kedua Apoi Tileng. Satu2 nya hantu banyak ek.  Biasa mengikut orang keluar malam. Spesis ini eksen lebih. Kategori hantu. HKU. (hantu kurang upaya)

Hantu-hantu lain di Matu-Daro semua import. Terpaksa balik sebab pasport tamat tempoh.

Rabu, 5 Oktober 2016

Pelajar perubatan hilang ditemui selamat didalam Masjid An Nur, Sibu

SIBU: Misteri kehilangan pelajar perubatan tahun akhir Segi College Sarawak yang sedang menjalani latihan di Hospital Sibu sejak Sabtu lalu terjawab hari ini selepas berjaya ditemui ahli keluarganya sekitar jam tiga petang tadi.

Menurut sumber polis Sibu, mangsa ditemui dalam keadaan sugul dan menangis di dalam Masjid An Nur, dekat sini, sebelum maklumat penemuannya dipanjangkan kepada pihak polis.

" Mangsa kini telah dihantar untuk menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sibu.

" Tiada soal siasat dapat dilakukan ketika ini kerana keadaan emosi mangsa yang masih belum stabil," kata sumber itu lagi.

Mangsa dipercayai akan berkunjung ke masjid setiap kali berhadapan dengan masalah dan kekusutan.

Sedar akan tabiat mangsa, maka anggota keluarga bertindak mencari mangsa di situ, setelah mangsa gagal ditemui.

Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, dari Ipoh, Perak dilaporkan hilang selepas tidak kembali ke rumahnya sejak Sabtu lalu.

Dia dilihat kali terakhir oleh rakan-rakannya keluar dari rumah mereka di Lorong 21, Taman Permai di sini kira-kira 1 tengah hari tersebut tanpa menyatakan arah tujuannya, manakala telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.

Fatimatuzzahrah yang memakai tudung, berketinggian 140 sentimeter dan berat 45 kilogram sepatutnya menduduki peperiksaan profesionalnya semalam, tetapi gagal menghadirkan diri.

Polis sedang menyiasat kes ini secara terperinci dan masih menunggu hasil pemeriksaan fizikal mangsa.

Selasa, 4 Oktober 2016

Remaja mengaku bersalah cedera ibu sendiri

Kota Samarahan: Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita.

Remaja terbabit masing-masing berusia 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan mendatangkan kecederaan menggunakan barangan sebagai senjata.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 43 tahun pada 9.15 malam di Taman Desa Ilmu, di sini, 28 September lalu.

Majistret Marutin Pagan menetapkan 11 November ini untuk menjatuhkan hukuman selepas menerima laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara menunggu tarikh hukuman, tertuduh akan ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sarawak.

Prosiding pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes berkenaan mendapat perhatian masyarakat kerana mangsa adalah ibu kepada seorang daripada tertuduh.

Mati selepas urut 20 minit

MIRI: Seorang lelaki rebah lalu meninggal dunia selepas 20 minit diurut seorang pekerja wanita warga China dalam kejadian di sebuah pusat refleksologi di Tebingan Miri, di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, sebelum meninggal dunia, mangsa berusia 48 tahun dari Lutong itu memberitahu wanita berkenaan agar berhenti mengurutnya berikutan rasa kurang selesa.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat papan di Kuala Baram dilaporkan berpeluh dan muntah sebelum rebah.

"Mangsa yang meninggal dunia di premis berkenaan disahkan diserang serangan jantung oleh sepasukan paramedik dari Hospital Miri yang bergegas ke kawasan kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, mengikut kenyataan diambil daripada pekerja wanita itu, dia panik selepas melihat muka mangsa mula berpeluh walaupun pusat berkenaan dilengkapi penghawa dingin.

"Panik dengan situasi terbabit, wanita berkenaan menasihatkan mangsa berehat di kerusi, namun mangsa rebah dalam keadaan pucat lalu meninggal dunia," katanya.

Isnin, 3 Oktober 2016

Status Buaya Sebagai Haiwan Dilindungi Dilucut

KUCHING, 3 Okt: Status buaya sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya dilucut apabila Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perdagangan Flora dan Fauna Terancam (CITES) di Johannesburg, Afrika Selatan hari ini membenarkan buaya di Sarawak diburu untuk tujuan komersial.

Keputusan CITES itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azizan Ahmad, yang menghadiri konvensyen itu di Afrika Selatan, kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam.

Menurut Junaidi, susulan keputusan tersebut, buaya tidak lagi disenarai sebagai haiwan liar yang dilindungi sebagaimana yang termaktub dalam Ordinan Hidupan Liar Sarawak 1998.

"Keputusan itu hanya membabitkan isu pemburuan buaya di Sarawak kerana kajian mengenai kesan konflik antara buaya dengan manusia hanya dilaksanakan di negeri ini manakala di Semenanjung dan Sabah, belum ada sebarang kajian dibuat mengenainya.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan di Sarawak terutamanya Jabatan Hutan Sarawak yang bertanggungjawab terhadap perlindungan hidupan liar dan menetapkan tempoh enam bulan untuk memastikan peraturan baharu yang membenarkan pemburuan buaya dilaksanakan," katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

Menurut Junaidi lagi, antara perkara lain yang akan dibincangkan dengan kerajaan negeri Sarawak adalah pemberian lesen kepada penduduk kampung untuk memburu buaya kerana ia akan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

"Kita tidak mahu lesen pemburuan itu diberikan kepada syarikat besar sebaliknya keutamaan harus diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di kawasan yang kerap berlaku konflik antara buaya dengan manusia," katanya.

Beliau juga berkata, berdasarkan perangkaan yang dibuat pada tahun lalu, 13,500 ekor buaya dikenalpasti mendiami lebih 40 sungai utama di Sarawak dan jumlah itu agak membimbangkan susulan konflik antara reptilia itu dengan manusia kerap tercetus.

Sumber : BH Online

Sabtu, 1 Oktober 2016

Buaya Jantan Berjaya Ditangkap Di Sungai Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Pasukan Bertindak Hidupan Liar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menangkap buaya jantan besar pada hari ketujuh operasi menangkap buaya itu di Sungai Samarahan.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, operasi menangkap itu memfokuskan kawasan Sungai Samarahan ekoran serangan buaya yang berlaku pada pertengahan September di Kampung Baru dan Kampung Pinang.

“Operasi itu meliputi kawasan perairan di Kampung Pinang sehingga ke Kampung Endap di sepanjang Sungai Samarahan. Kami (SFC) memulakan operasi pada Jumaat (23 September) lalu dan meskipun sudah seekor berjaya ditangkap, operasi dan pemantauan akan diteruskan beberapa hari lagi.

“Pasukan SWAT telah memasang 14 cangkuk di sepanjang lapan kilometer berhampiran lokasi mangsa kedua diserang buaya di Kampung Pinang, di mana Ismandi Osman dilaporkan hilang.

“Buaya yang berjaya ditangkap itu sebesar 2.9 meter (9 1/2 kaki), bagaimanapun bila perutnya dibelah dan diperiksa, tiada manusia yang dijumpai,” jelas SFC menerusi kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, operasi tersebut akan diteruskan di sepanjang Sungai Samarahan pada hujung minggu ini dan diharap akan ada lebih banyak buaya besar yang berbahaya kepada manusia dapat ditangkap.

SFC juga menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Samarahan untuk berhati-hati terutama ketika menggunakan sungai.

Sumber: The Borneo Post