Selasa, 4 Oktober 2016

Mati selepas urut 20 minit

MIRI: Seorang lelaki rebah lalu meninggal dunia selepas 20 minit diurut seorang pekerja wanita warga China dalam kejadian di sebuah pusat refleksologi di Tebingan Miri, di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 4 petang itu, sebelum meninggal dunia, mangsa berusia 48 tahun dari Lutong itu memberitahu wanita berkenaan agar berhenti mengurutnya berikutan rasa kurang selesa.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat papan di Kuala Baram dilaporkan berpeluh dan muntah sebelum rebah.

"Mangsa yang meninggal dunia di premis berkenaan disahkan diserang serangan jantung oleh sepasukan paramedik dari Hospital Miri yang bergegas ke kawasan kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, mengikut kenyataan diambil daripada pekerja wanita itu, dia panik selepas melihat muka mangsa mula berpeluh walaupun pusat berkenaan dilengkapi penghawa dingin.

"Panik dengan situasi terbabit, wanita berkenaan menasihatkan mangsa berehat di kerusi, namun mangsa rebah dalam keadaan pucat lalu meninggal dunia," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan