Khamis, 29 September 2016

Putus cinta, lelaki minum cecair peluntur

KUCHING: Gara-gara putus cinta, seorang lelaki nekad meminum cecair peluntur di rumahnya di kawasan Sungai Apong di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, mangsa berusia 31 tahun itu mengurung diri di dalam bilik tidurnya sekitar jam 7.30 malam dan mula meminum cecair peluntur tersebut.

Akibat kesakitan, mangsa kemudian keluar dari bilik dan terus memaklumkan kepada ahli keluarganya mengenai tindakannya itu menyebabkan keluarganya terpaksa mendapatkan bantuan ambulans.

“Terdahulu, teman wanita mangsa telah memutuskan hubungan mereka menyebabkan dia kecewa dan dikatakan nekad meminum kira-kira 100 mililiter cecair peluntur.

“Bagaimanapun, mangsa yang menyesal akan tindakannya (meminum cecair) selepas mengalami kesakitan kemudian memberitahu keluarganya dan kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di HUS.

Sumber: The Borneo Post

Hantu Kamba Dalam Masyarakat Iban Sarawak

Masyarakat Iban Sarawak mempunyai berbagai kisah hantu yang diceritakan secara lisan. Mungkin sudah kebiasaan masyarakat iban dahulu yang suka berkumpul di ruai-ruai rumah panjang sambil mendengar pelbagai cerita. Berbagai cerita dahulu kala disampaikan kepada penduduk rumah panjang dengan cara berkumpul ramai-ramai dan ini merapatkan lagi hubungan di antara penduduk.

Pada masa itulah peluang untuk mendengar cerita yang menarik sebagai santapan halwa telinga penduduk. Apa yang menarik terdapat cerita mengenai Hantu Kamba yang popular di kalangan masyarakat Iban.

Mengikut penceritaan lisan, Hantu Kamba ialah hantu yang suka menyembunyikan kanak-kanak yang suka bermain diwaktu petang sehingga senja berlabuh. Menurut masyarakat iban hantu kamba lebih suka bersembunyi di sebalik pokok atau belukar.

Menurut cerita dahulu kala, kanak-kanak yang disembunyikan akan hilang daripada pandangan mata kasar walaupun lokasi kanak-kanak tersebut hampir dengan manusia. Malah ada yang menyatakan kedudukan kanak-kanak yang disembunyi hanya beberapa inci sahaja daripada kawasan bermain mereka.

Begitulah Hantu Kamba menyembunyikan kanak-kanak tanpa dikesan oleh manusia dalam tempoh masa paling mininum dua jam atau seminggu paling maksimum. Hal tersebut cukup menakutkan kanak-kanak untuk bermain waktu lewat petang.

Moral sebenar ditimbulkan cerita hantu kamba adalah untuk melarang kanak-kanak bermain lewat petang disebabkan kegusaran melihat kanak-kanak akan terlalu keletihan. Perkara sebegini tidak baik untuk pertumbuhan kanak-kanak kerana mereka akan liat untuk bangun pagi dan ponteng untuk mengikuti orang tua mereka ke kebun.

Kanak-kanak iban pada masa dahulu memang sudah dilatih dari kecil lagi tentang ilmu berbudi pada tanah. Dan hari ini juga cerita Hantu Kamba masih juga disampaikan kepada kanak-kanak agar mereka tidak bermain lewat petang dan waktu tersebut digunakan untuk menyiapkan latihan kerja sekolah.

Anak Jerut, Rakan Tikam Ibu

Kuching: seorang remaja lelaki dan rakannya ditahan polis kerana menjerut leher dan menikam ibunya di Kota Samarahan, tengah malam tadi.

Kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu ditahan polis kira-kira 12.15 tengah malam tadi selepas datang ke Balai Polis Kota Samarahan untuk menyerah diri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, remaja terbabit membelit leher ibunya yang berusia 43 tahun menggunakan tali pinggang manakala rakannya menikam perut wanita berkenaan menggunakan pisau, kira-kira 9 malam.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta untuk pulang ke rumahnya selepas mengambil suspek dan anak perempuannya berusia 9 tahun di pusat tuisyen di Desa Ilmu Kota Samarahan dan sempat memberhentikan kereta.

"Wanita terbabit dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dilaporkan stabil. Remaja terbabit kini direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah," katanya.

Rabu, 28 September 2016

Pelajar 15 Tahun Dakwa Hamil Anak Kenalan Wechat

LIMBANG: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di sini tampil membuat laporan polis mendakwa mengandung enam bulan selepas melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya.

Dalam laporan polis dibuat petang kelmarin, pelajar itu mendakwa lelaki berkenaan dikenali melalui aplikasi WeChat pada Mac lepas dan mereka bertemu selepas seminggu berkenalan.

Pelajar itu turut mengakui mengadakan hubungan seks beberapa kali dengan suspek yang kini menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi semalam mengesahkan ada menerima laporan namun enggan mengulas lanjut.

Isteri Gigit Jari Suami

MIRI: Seorang lelaki membuat laporan polis setelah mendakwa jari kelingkingnya digigit isterinya yang berang kerana mangsa pulang lewat dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Lereng Bukit di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan jari kelingking tangan kiri mangsa berusia 26 tahun itu hampir putus.

Menurut sumber, sebelum insiden itu berlaku, mangsa baru sampai di rumah selepas membeli barang keperluan di sebuah pasar raya di sini.

“Bagaimanapun, belum sempat mangsa melepaskan lelah, tiba-tiba isterinya datang menghampirinya dalam keadaan marah-marah sambil membebel tidak puas hati kerana mangsa pulang lewat.

“Pada masa sama, berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu dan keadaan semakin tegang apabila isterinya gagal mengawal perasaannya sebelum bertindak menggigit jari kelingking mangsa,” katanya.

Susulan kejadian, katanya mangsa nyaris kehilangan jarinya itu dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. “Mangsa yang tidak berpuas hari diperlakukan sedemikian rupa serta bimbang keselamatannya pada masa akan datang mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri,” katanya.

Selasa, 27 September 2016

Budak Perempuan Cedera Dicabul

SIBU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun enam bulan cedera di kemaluan selepas menjadi mangsa cabul seorang lelaki tidak dikenali.

Sebelum kejadian, mangsa dan abangnya berusia enam tahun tinggal bersendirian di rumah mereka di Jalan Hardin di sini.

Ibu mereka dipercayai pergi mengambil pulang seorang lagi anaknya di sebuah tadika berdekatan.

Difahamkan ibu mereka hanya mengunci pagar rumah manakala pintu dibiarkan tidak berkunci.

Tidak diketahui datang dari arah mana, suspek menyelinap masuk ke dalam rumah sebelum mencabul mangsa dipercayai dengan memasukkan jarinya ke dalam alat sulit mangsa.

Insiden itu disedari abang mangsa namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana ketakutan.

Selang beberapa minit kemudian, suspek  melarikan diri selepas menyedari kehadiran ibu mangsa.

Kanak-kanak malang itu kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk melakukan pemeriksaan dan didapati terdapat kesan luka pada kemaluan mangsa.

Satu laporan polis dibuat oleh ibu mangsa dan gerakan memburu suspek kini giat dilakukan berdasarkan lakaran wajah yang dibuat ibu mangsa.

Difahamkan semasa cuba melarikan diri, ibu mangsa sempat melihat wajah suspek.

Jasa James Brooke Kepada Sarawak

Tauk sik kitak urang sebelum James Brooke memerintah Sarawak, sarawak tok sebesar kuching ajak, Tanah naungan sultan brunei dibah pangeran muda hashim. Sidak brunei sik dapat gilak nak tackle sidak dayak time ya, sebab dayak gaok gilak motong palak urang.

Ada juak dagang barang ngan dayak tukar hasil hutan. Tapi banyak gilak pembrontak dalam sistem politik dengan melayu swk. Dalam taun 1880an macam ya, James brooke sampey dengan harley royalist davidsonnya nyetel pembrontakan di kuching time ya. Lekak setel brooke diberik sultan brunei negara sarawak. Dari kuching brooke molah expedition nyerang dak asun, dak rentap, sampey ke ulu sungei.Brooke ngembak foochow dari china 1900. Bagi ningkat ekonomi di area sibu.

Habis tanah brunei disapu brooke sampey ke limbang lawas. Sarawak sik wujud mun sik Tuhan ngantar omputih ya jadi raja di sarawak apa gik mok madah sarawak sebesar tanah melayu. Makmur sarawak kingdom time brooke.Tanah diberi geran. Tanah adat diwujud oleh brooke. Dak pembesar tempatan dilatih diberi peluang main peranan dalam politik. Lalu diwujud brooke sistem pentadbiran dengan kakitangan rakyat tempatan, dewan undangan negeri juga ditubuh oleh brooke.

Sungguh indah sekali,Sarawak bakal jadi negeri paling makmur di asia tengara selepas singapura pada masa ya. Tapi Semua tamat tahun 1943 apabila si maharaja jepun buang tabiat menyerang seluruh asia. Tapi bila Jepun kena bom, Jepun lalu surender.Akibat serangan dan penjajahan jepun,Sarawak musnah teruk. Sarawak sik mampu bayar sewa tentera british dan australia dan terpaksa menyerah sarawak kingdom kepada british untuk dibaik pulih.

Pada masa ya lah Anthony brooke seangkatan dengan rosly dhobi dalam perjuangan menentang penyerahan sarawak kepada naungan british. Penentangan gagal. Akhirnya British telah menjajah Sarawak sehingga tahun 1963.

Isnin, 26 September 2016

Dulu Cuba Bawa UMNO, Kini Bawa PPBM Ke Sarawak

Suatu ketika dahulu, heboh dikatakan UMNO akan membuka cawangan di Sarawak. Cerita tersebut tersebar ketika era Tun Mahathir masih lagi menjadi Perdana Menteri.

Pada waktu itu tertubuhnya Jawatankuasa Penaja UMNO Negeri Sarawak (JPUNS) yang diasaskan oleh Affendi Jeman anak jati Sarawak.

Berbagai cara pergerakkan mereka hendak mengembangkan JPUNS namun rakyat Sarawak lebih tahu menilai apa agenda mereka sebenar.

Kini Affendi telah menyertai parti Tun Mahathir PPBM yang menggunakan lambang bunga raya. Ada kemungkinan jawapan bagi siapa penggerak utama untuk membawa masuk UMNO sudah menemui jawapannya.

Dengan penyertaan Affendi menyertai PPBM mungkinkah ia satu petanda usaha beliau menubuhkan JPUNS adalah atas kehendak Tun Mahathir.

Mungkinkah Tun Mahathir adalah penggerak disebalik tadbir agenda membawa UMNO ke Sarawak suatu ketika dahulu dan kini mencuba menggerakkan PPBM ke Sarawak?

Sumber: Sarawakiana

Misteri Kehilangan Nurul Wazieyana

Seperti yang kita maklum misteri Kehilangan jururawat Nurul Wazieyana masih lagi belum terungkai sehingga kini. Nurul Wazieyana dikatakan lemas 12.12.2015 tahun lalu di Pasir Panjang, Santubong. Sehingga kini mangsa masih lagi gagal ditemui. Rentetan daripada itu operasi SAR mencari mangsa dijalankan oleh pihak penyelamat. Namun usaha mencari mangsa masih belum lagi menemui titik noktah, apabila mangsa masih gagal ditemui.

Sepanjang operasi SAR pencarian tahun lalu, pihak penyelamat telah menjumpai pakaian milik mangsa seperti baju, anak tudung dan pakaian dalam. Selain itu pihak penyelamat juga telah menjumpai organ yang berupa jantung, (kemungkinan organ binatang) di pesisir pantai sepanjang operasi pencarian.

Setelah berminggu-minggu mencari dan menggunakan perbagai kaedah, pihak penyelamat akhirnya membuat keputusan untuk menghentikan operasi pencarian. Bapa nurul Wazieyana akhirnya redha bahawa di Pasir Panjang lah kubur anaknya. Cuma dia berharap satu hari nanti jasad anaknya akan ditemui juga.

Setelah operasi SAR dihentikan, secara tiba-tiba operasi SAR mencari mangsa diteruskan hari ini dan ini pasti berita yang cukup menggembirakan terutama buat keluarga mangsa yang sememangnya berharap agar mangsa dapat ditemui.

Untuk makluman pembaca-pembaca sekalian. Sebenarnya sepanjang operasi pencarian mangsa. Bukan saja pihak penyelamat yang turun padang mencari mangsa. Orang-orang kampung Pasir Panjang dan kampung berhampiran juga turut membantu disertai oleh beberapa orang ustaz. Kawasan pencarian tertumpu kepada gua-gua tidak jauh dari mangsa dikatakan lemas.

Menurut penduduk kampung, mereka percaya Nurul Wazieyana sebenarnya disembunyikan oleh jin. Sama ada disembunyikan di dalam gua atau di kawasan yang berhampiran. Kita manusia biasa tidak dapat melihat tempat mangsa disembunyikan walaupun mangsa hanya didepan mata. Sebab tempat mangsa disembunyikan sudah ditutup rapat oleh jin.

Untuk membukanya bukan perkara mudah. Mesti ada golongan yang penuh berilmu di dada bagi berkomunikasi dan berbincang dengan jin tersebut. Pernah berlaku ketika mencari, 2 orang ustaz ditampar oleh jin bila cuba melaungkan azan di tepi gua yang diberi nama gua layang-layang.

Apa-apa pun sama-samala kita berdoa agar mangsa dapat dijumpai walau dalam apa saja keadaan. Mungkin disebalik kejadian ini ada hikmahnya dan misteri antara yang tersurat dan tersirat kerana sememangnya Pasir Panjang, Pasir Pandak dan Santubong menyimpan perbagai misteri yang belum lagi dirungkai....

Khamis, 22 September 2016

Dadah: Pasangan Kekasih Dicekup

MIRI: Sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah berjaya diberkas hasil serbuan polis ke atas sebuah rumah di Pujut 9 di sini, kelmarin.

Berikutan itu, kedua-dua suspek yang berusia 42 dan 39 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri membuat serbuan ke atas sebuah rumah yang terletak di Pujut 9 di sini.

Polis yang membuat pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur pasangan terbabit telah menjumpai satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu yang disimpan di dalam sebuah laci.

Barang disyaki dadah itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan pasangan terbabit dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Amphetamine.

Sehubungan itu, suspek lelaki kemudian ditangkap mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki memiliki dadah.

Manakala teman wanitanya ditangkap mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana menggunakan dadah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sumber: The Borneo Post

Khamis, 15 September 2016

Kenapa Masuk Sarawak Mesti Guna Passport?

Seringkali saya ditanya kenapa nak masuk sarawak kena guna passport? Sedangkan Sarawak ni dalam Malaysia sama dengan negeri2 lain. Saya hanya jelaskan begini. Sarawak adalah negara. Begitu juga Sabah. Hanya negeri negeri di semenanjung sahaja yang bertaraf negeri. Itupun kalau dikaji Perak dan Johor mengiktiraf jajahan mereka sebagai negara.

Pemilihan Sultan Perak adalah ditentukan oleh Dewan Negara Perak. Johor pula mengiktiraf jajahan mereka sebagai negara selepas 1885 apabila Sir Sultan Abu Bakar mengiktiraf bebas dari british. Sarawak pula merdeka pada 22 julai 1963 dan sabah merdeka pada 31 ogos 1963. Waktu itu tidak wujud apa yang dikatakan Malaysia.

Bila tertubuhnya Malaysia?  Malaysia terbentuk dari 4 entiti negara yang sanggup bersekutu atas nama Malaysia. Entiti itu ialah Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. Gabungan ini dikenali Malaysia. Namun pada 8 ogos 1965 Singapura telah keluar dari persekutuan dan menjadi republik. Namun begitu persekutuan Malaysia masih berdiri atas 3 entiti tadi.

Iaitu Malaya Sabah dan Sarawak. Semua ini hampir sama dengan Great Britain yang terdiri dari england ,wales, scotland dan ireland utara ( selain itu terdapat beberapa jajahan lain seperti granada, kepulauan falksland dan negara kepulauan pasifik) Jadi selayaknya andai terdapat perbezaan undang2 seperti perkhidmatan awam dan dasar imigresen adalah berbeza antara sabah sarawak dgn semenanjung.

Namun menurun taraf Sabah dan Sarawak kepada negeri bukanlah sesuatu yang positif tambahan lagi hasil bumi sarawak dan sabah banyak tersalur untuk pembangunan di semenanjung. Oleh yang demikian jika ada kepimpinan baharu di Malaysia nanti haruslah melihat kembali autonomi sabah dan sarawak supaya pembangunan dapat diagihkan seimbang.

Hari ini 16 september 1963 adalah hari dimana LAHIRNYA MALAYSIA. 31 ogos 57 adalah hari merdeka buat persekutuan tanah melayu, 22 julai 1963 hari kemerdekaan sarawak dan 31 ogos 1963 merdeka nya state of north borneo (sabah) Seharusnya 16 sept adakah tarikh keramat kesepaduan bangsa Malaysia. Bukan tarikh utk menyatakan MALAYSIA MILIK MELAYU. PENDATANG TETAP PENDATANG dan perhimpunan satu warna. Seharusnya tarikh ini disambut dengan kepelbagaian warna kerana TERBINANYA MALAYSIA ADALAH ATAS KERINGAT MELAYU,CINA, INDIA,IBAN, KADAZAN DAN BERPULUH SUKU KAUM YANG LAHIR DITANAH INI.Jangan hancurkan keharmonian ini. SELAMAT HARI MALAYSIA.

Dipetik Dari Cikgu Emmet Menulis

Rabu, 14 September 2016

Ramai Minta Naikkan Jumlah BR1M Dalam Cadangan Bajet 2017

Akibat pendapatan yang kecil dan dibebankan lagi kos hidup yang semakin meningkat, ramai yang mencadangkan agar kerajaan dapat menaikkan jumlah wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam cadangan Bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada 21 Oktober depan.

Mereka berharap syarat pemberian BR1M dilonggarkan dengan jumlah pendapatan kasar isi rumah dinaikkan dari RM3,000 kepada RM5,000. Sementara tidak kurang pula yang mencadangkan kerajaan tidak perlu lagi menyalurkan wang ringgit, sebaliknya digantikan dengan barang-barang keperluan.

Sesetengah berpendapat, sesebuah keluarga berpendapatan RM5,000 sebulan yang hidup di Kuala Lumpur sudah boleh dianggap sebagai keluarga miskin. Oleh itu, mereka harap kerajaan boleh menyalurkan BR1M sebanyak RM500 setiap bulan kepada setiap keluarga yang layak.

Demikian sebahagian daripada cadangan daripada rakyat jelata ke dalam laman web, https://bajet2017.najibrazak.com yang disediakan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penyediaan Bajet 2017 yang dibuka sejak 5 September lalu dan akan ditutup 19 September ini.

Memetik laporan China Press, terdapat ramai yang prihatin mengenai kos sara hidup, pendidikan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan perumahan.

Sebagai contoh, ada yang mencadangkan supaya pemberian rebat 10 peratus kepada yang membuat bayaran balik PTPTN berterusan selama 12 bulan seperti tahun 2014 dan 2015 dahulu, diwujudkan semula.

Turut dicadangkan agar kadar rebat dinaikkan dari masa ke semasa mengikut baki tahun bayaran balik pinjaman dan konsistensi bayaran balik. Ini dapat menggalakkan peminjam untuk membuat bayaran balik PTPTN.

Mengenai perumahan pula, tulis akhbar ini lagi, ada yang mencadangkan kerajaan perlu membina lebih banyak rumah untuk rakyat berpendapatan sederhana dan ke bawah selain memperbanyakkan rumah di kawasan yang memiliki jaringan stesen LRT dan MRT.

Sementara dalam aspek pendidikan, kerajaan diharap menyediakan bajet khas kepada sekolah-sekolah di Malaysia untuk menjalankan kelas bahasa Tamil dan bahasa Cina tanpa mengira kaum serta melahirkan lapisan anak muda yang berkebolehan untuk berbahasa lebih daripada tiga bahasa.

"Secara tidak langsung, dalam jangka masa panjang, kita dapat mengelakkan isu perkauman serta meningkatkan perkembangan dalam industri filem negara. Selain itu, satu peruntukan harus diberikan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutamanya terhadap golongan bukan Melayu," cadang seorang pengirim yang dipetik dalam laman web berkenaan.

Sumber: Sarawakiana.Net

Selasa, 13 September 2016

Guru Cetuskan Kontroversi Wajar Diambil Tindakan

KUCHING - Seorang guru yang memuat naik status dan gambar kepala babi di dalam facebook miliknya yang mempunyai maksud 'menghina' amalan korban yang dilakukan umat Islam dalammeraikan Hari Raya Aidiladha telah menerima kecaman daripada banyak netizen di media sosial.

Kebanyakan netizen mahukan pihak berwajib seperti Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pegawai Pelajaran Daerah dan guru besar mengambil tindakan tegas keatas pemilik facebook itu yang dikenali sebagai Peter Jawi dan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) San Semanju, Engkelili.

Peter di dalam facebooknya telah memuat naik status berbunyi 'Tu meh nyadi korban... orang nadai meri chapi' dan memuat naik gambar kepala babi.Malah, status tersebut telah mendapat banyak komen yang seolah-olah bersetuju dengan tindakan pemilik facebook itu.

Tindakannya itu dilihat mempunyai maksud yang tidak baik dan dilakukan dalam keadaan sedar. Peristiwa sebegini jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh mengundang kepada kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, netizen yang dikenali sebagai Bob Safaruddin Fadzillah telah menyuarakan hasratnya untuk membuat laporan polis sekiranya guru terbabit gagal bersemuka dengan penduduk yang beragama Islam di Kampung Engkelili.

"Kami penduduk Kampung Melayu Engkelili mahu anda bersemuka dengan kami di atas kenyataan yang anda berikan di dalam fb anda. "Esok saya akan membuat laporan polis di atas kenyataan ini. "Jika anda gagal bersua muka kepada kami dalam tempoh seminggu ni, kami mahu tindakan selanjutnya diambil," reaksinya terhadap status yang dimuat naik Peter Jawi.

Bob turut meminta Peter Jawi untuk berjumpa Ketua Kampung Melayu Engkelili dalam menyelesaikan isu ini. "Jika anda seorang 'gantelman' boleh berjumpa dengan Ketua Kampung Haji Suhaili bin Haji Ahmad atau penduduk Kampung Melayu Engkelili", jelasnya lagi.

Difahamkan Peter Jawi merupakan ahli United Progresif Party (UPP). Begitupun, selepas menerima kecaman, status tersebut telahpun dipadam, tetapimasih terus disebar luas di media sosial.

Sumber: klxpress.com.my/Sarawak

Isnin, 12 September 2016

Betong Perlukan Sebuah Lapangan Terbang

Betong merupakan antara bahagian paling bongsu di Sarawak. (Kini Serian diangkat sebagai bahagian ke-12 dan paling bongsu). Dengan jarak 250 km ke Kuching dan 165 km ke Sibu. Harus diingat, tempoh perjalanan dengan jarak ini tidak boleh disamakan dengan lebuhraya di Semenanjung Malaysia!

Betong tidak mempunyai alternatif pengangkutan udara. Dengan situasi seperti ini, kebanyakkan penduduk pesisir dan di sekitar bahagian Betong perlu memilih antara Kuching mahupun Sibu untuk terbang ke Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Ironinya, penduduk di Betong perlu menempuhi perjalanan darat dalam tempoh 3-4 jam sebelum tiba ke lapangan terbang dan ini membawa kepada peningkatan kos perjalanan dan pelbagai aspek lagi.

Justeru, adalah molek kiranya impian untuk melihat pembangunan sebuah lapangan terbang di bahagian Betong yang berpotensi menjadi hub perhubungan yang lebih efisien untuk rakyat Sarawak dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Ramai yang sudah mula bosan menempuhi perjalanan darat ke Bintulu, Miri, Lawas dan juga Kuching. Potensi untuk penerbangan domestik juga dilihat mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di Betong.

Betong kini sudah memulakan peranjakan dalam bidang pendidikan dengan wujudnya Politeknik Metro, Kolej Komuniti, MRSM Betong, GIATMARA, Kolej Vokasional dan terkini Institut Kemahiran Industri Melaka.

Dengan kewujudan sebuah lapangan terbang dilihat mampu menjana ekonomi dan memudahkan rakyat di sekitar Betong, Sri Aman dan Saratok. Penulis mungkin tidak pakar dalam soal ekonomi tetapi ianya menjurus kepada kemudahan kepada penjawat awam dan rakyat dalam menerima kemudahan penerbangan ke seluruh Malaysia.

Jika dibuat satu kaji selidik, ramai dikalangan penduduk di sekitar Betong berada di Selatan semenanjung khususnya di Johor malah ramai yang berkelana di Singapura. Ramai juga cikgu-cikgu dari semenanjung menabur bakti di disini. Mungkin dengan adanya lapangan terbang ini, boleh menarik mereka balik ke kampung halaman dengan lebih mudah walaupun cuti sekadar 3-4 hari.

Betong – Kuala Lumpur. Mungkin janggal bagi kita, tapi tidak mustahil untuk direalisasikan  dengan penerbangan transit Betong – Kuching – Kuala Lumpur. Apa kata anda?

Kredit: Mohd Khairul Azha menulis.

Sarjan Tentera Ditemui Mati Tergantung Pada Pagi Aidiladha Di Sibu

SIBU: Sambutan Aidiladha hari ini pasti menjadi yang paling muram dan menyedihkan bagi dua anak anggota tentera berpangkat sarjan, apabila bapa mereka ditemui mati tergantung di salah sebuah kamar tidur di rumah mereka pagi ini.

Kejadian berlaku awal pagi tadi di rumah yang didiami keluarga tersebut di Jalan Abang Barieng dekat sini.

Kematian mangsa yang bertugas dengan 9 Kor Polis Tentera dekat sini, disahkan oleh pasukan paramedik, dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Sibu untuk proses bedah siasat.

Pengesahan identiti kemudian mengenal pasti mangsa sebagai Sarjan Awang Helman Awang Bakeri, 40 tahun, yang dijadualkan tamat perkhidmatannya pada tahun hadapan.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan yang masing-masing berusia 10 dan 6 tahun.

Pihak polis dan tentera masing-masing kini melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kes berlaku.

Jumaat, 9 September 2016

Penerbit Filem Hollywood Bakal Terbitkan Kisah Kehidupan Rajah Brooke Pertama Di Sarawak

KUCHING : Penerbit filem Hollywood dari Amerika Syarikat, Rob Allyn bakal membuat sebuah filem berkisarkan kehidupan Sir James Brooke yang merupakan Rajah pertama di Sarawak.

Memetik laporan UtusanBorneo, satu pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek tersebut di antara pasukan penerbitan dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan diadakan di Hotel Riverside Majestic hari ini.

Menurut Pengerusi Amanah Warisan Brooke Jason Desmond Anthony Brooke, cucu kepada Rajah Muda Sarawak terakhir, Anthony Walter Dayrell Brooke, projek tersebut akan dilancarkan bersama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Kerajaan negeri menyokong sepenuhnya projek tersebut, kita ada penerbit dari Amerika Syarikat dan United Kingdom yang terlibat dalam projek ini,” katanya

Beliau berkata sedemikian semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan projek berkenaan yang merupakan kerjasama antara Margate House Film milik Rob Allyn dan Amanah Warisan Brooke.

Difahamkan, Rob Allyn telahpun mempunyai beberapa filem box office dibawah arahan beliau dan kini beliau merancang untuk membuat filem tersebut bersama penerbit dari Britain Simon Fawcett.

Filem yang bertajuk ‘The White Rajah’ itu akan menyentuh tentang drama hebat yang tidak diceritakan mengenai James Brooke yang begitu menyukai keindahan, hidupan liar, rakyat dan budaya di Sarawak.

Penerbit membayangkan sebuah replika kapal berskala penuh kapal Royalist, iaitu kapal layar yang digunakan oleh James Brooke untuk belayar ke negeri ini pada hujung zaman 1830-an.

Kapal tersebut akan dikekalkan di sini sebagai satu tarikan warisan.

Sumber: The Borneo Post

Khamis, 8 September 2016

Polis Siasat Ada Pihak Mengutip Wang Perlindungan

KUCHING: Polis akan meningkatkan pemantauan di beberapa perumahan di kawasan Tabuan bagi menyiasat dakwaan terdapat pihak yang mengutip wang perlindungan serta merosakkan harta benda awam.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut yang menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk.

Beliau berkata, selain meningkatkan kekerapan rondaan, pihaknya juga akan melakukan penyamaran untuk mengesan kumpulan suspek terbabit.

“Buat masa ini, anggota kita akan memantau kawasan tersebut dengan turut melakukan penyamaran dan sekiranya perlu, kita akan membuat beberapa tangkapan sebagai langkah pencegahan seterusnya membantu kita dalam siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak (PKKS) juga akan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menangani dakwaan tersebut.

“Pencegahan jenayah adalah tanggungjawab semua pihak yang tidak seharusnya diletakkan kepada pihak polis sahaja.

“Sehubungan itu, kita bersama-sama dengan anggota dari Balai Polis Tabuan Jaya akan melakukan rondaan di kawasan perumahan tersebut,” kata Pengerusi PKKS Datuk John Lau Phang Heng.

Difahamkan, dakwaan itu tersebar selepas seorang penduduk di kawasan perumahan tersebut yang dikenali sebagai Kapitan Chong Nan Fa membuat laporan polis berhubung kejadian.

Menurutnya, selain mengutip wang perlindungan, sering juga berlaku kes pecah rumah sehingga menyebabkan penduduk setempat tidak tenang untuk meninggalkan rumah.

“Terdapat juga penduduk yang bekerja pada siang hari mengadu mengenai kerisauan mereka terutama ketika meninggalkan ibu bapa yang sudah uzur untuk menjaga rumah termasuk harta benda mereka,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Rabu, 7 September 2016

Dilarang Merokok Dikedai Kopi

Kuching- Bermula 1 Januari tahun depan, semua premis makanan berlesen di bawah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menjadi zon larangan merokok dan menghisap vape, kata Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Wahap Abang Julai.

Bagaimanapun beliau berkata, jika pengusaha premis makanan mahu membenarkan pelanggan merokok atau menghisap vape, mereka perlu menyediakan tempat khas jauh daripada orang ramai.

Buat permulaan menurutnya, larangan tersebut lebih kepada kempen kesedaran dan pendidikan namun tindakan merupakan langkah terakhir sekiranya kempen tersebut tidak berhasil.

"Kita menyokong usaha kerajaan untuk melarang merokok atau menghisap vape di tempat awam. Kita di DBKU bermula 1 Januari memutuskan semua premis makanan yang berlesen dengan DBKU tidak membenarkan pelanggan merokok di kawasan mereka.

"Apa yang pengusaha premis makanan atau kedai kopi adalah mengenalpasti kawasan kecil di luar kedai sebagai tempat merokok," katanya.

Malah katanya, larangan merokok akan menjadi salah satu syarikat kepada pengusaha premis makanan untuk memohon lesen.

"Setiap kedai akan diletakkan tanda larangan merokok dan jika tidak dipatuhi tindakan susulan akan diambil," ujarnya.

Beliau berkata, kesemua 375 pengusaha premis makanan berlesen akan dipanggil untuk menghadiri sesi dialo bagi membincangkan perkara tersebut dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan sama menurutnya, taman awam dan pasar basah di bawah DBKU juga akan dijadikan sebagai zon larangan merokok.

"Usaha kita ini adalah untuk mempromosi kempen tidak merokok di tempat awam," jelasnya.