Jumaat, 9 September 2016

Penerbit Filem Hollywood Bakal Terbitkan Kisah Kehidupan Rajah Brooke Pertama Di Sarawak

KUCHING : Penerbit filem Hollywood dari Amerika Syarikat, Rob Allyn bakal membuat sebuah filem berkisarkan kehidupan Sir James Brooke yang merupakan Rajah pertama di Sarawak.

Memetik laporan UtusanBorneo, satu pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi projek tersebut di antara pasukan penerbitan dan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan akan diadakan di Hotel Riverside Majestic hari ini.

Menurut Pengerusi Amanah Warisan Brooke Jason Desmond Anthony Brooke, cucu kepada Rajah Muda Sarawak terakhir, Anthony Walter Dayrell Brooke, projek tersebut akan dilancarkan bersama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Kerajaan negeri menyokong sepenuhnya projek tersebut, kita ada penerbit dari Amerika Syarikat dan United Kingdom yang terlibat dalam projek ini,” katanya

Beliau berkata sedemikian semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.

Kunjungan hormat itu bertujuan membincangkan projek berkenaan yang merupakan kerjasama antara Margate House Film milik Rob Allyn dan Amanah Warisan Brooke.

Difahamkan, Rob Allyn telahpun mempunyai beberapa filem box office dibawah arahan beliau dan kini beliau merancang untuk membuat filem tersebut bersama penerbit dari Britain Simon Fawcett.

Filem yang bertajuk ‘The White Rajah’ itu akan menyentuh tentang drama hebat yang tidak diceritakan mengenai James Brooke yang begitu menyukai keindahan, hidupan liar, rakyat dan budaya di Sarawak.

Penerbit membayangkan sebuah replika kapal berskala penuh kapal Royalist, iaitu kapal layar yang digunakan oleh James Brooke untuk belayar ke negeri ini pada hujung zaman 1830-an.

Kapal tersebut akan dikekalkan di sini sebagai satu tarikan warisan.

Sumber: The Borneo Post

1 ulasan: