Khamis, 29 Disember 2016

Bapa mengaku salah rogol anak



KUCHING: Seorang bapa berdepan hukuman penjara dan sebat selepas mengaku bersalah atas tuduhan merogol anaknya tiga tahun lalu di Bau.

Tertuduh, 46, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Dayang Ellyan Narisa Abang Ahmad di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan agar tempoh reman tertuduh dilanjut sementara menunggu hukuman dijatuhkan kerana pihak pendakwa belum bersedia dengan fakta kes tersebut.

Dayang Ellyan menangguhkan hukuman sehingga 10 Januari depan.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun di kediaman mereka di Bau pada 19 Julai 2013, kira-kira jam 10.30 malam.

Tertuduh dituduh di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, seorang lelaki yang dipercayai teman lelaki mangsa turut didakwa di mahkamah atas kesalahan sama.

Tertuduh dikenali Then Ah Jen, 53, dari Kampung Pangkalan Tebang, Bau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama.

Namun, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hakim turut memerintahkan tempoh reman tertuduh dilanjut sementara menunggu pengurusan praperbicaraan kes yang ditetapkan pada 23 Januari depan.

Mahkamah mengarahkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam bagi mewakilinya dalam kes tersebut.-UB

Selasa, 27 Disember 2016

Askar maut motosikal dilanggar bas



SERIAN: Seorang anggota tentera dari Briged 3 Infantri, Kuching, terbunuh selepas motosikal dibonceng dilanggar bas ekspres di Kilometer 61, Jalan Kuching-Sri Aman, di sini, semalam.

Prebet Mohammad Haziq Irsyaduddin, 23, yang tercampak ke atas bonet sebuah pacuan empat roda, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di kepala dan bahagian kanan rusuk.

Penunggang motosikal yang juga sepupu mangsa, Eirsard Emeir Yahya, 20, parah dan kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Motosikal itu dilanggar bas dari arah belakang ketika berhenti di tengah jalan untuk membelok ke Kampung Hulu Serian di sini, jam 11.20 malam.

Jurucakap polis berkata, rempuhan itu menyebabkan Mohammad Haziq terpelanting ke atas bonet sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Fortuner yang datang dari arah Sri Aman.

Mangsa yang sedang bercuti tiga hari sejak Jumaat lalu, sepatutnya mula bertugas semula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-BH

Isnin, 26 Disember 2016

Cedera ditikam rakan sendiri ketika sambutan Krismas

KUCHING: Keriangan minum bersama teman bertukar insiden berdarah apabila seorang pemuda cedera ditikam rakan sendiri dalam satu pergaduhan di Taman Cahaya, Landeh dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, lelaki berusia 34 tahun dikatakan sedang minum bersama beberapa rakan lain ketika menyambut Krismas.

Menurut sumber, insiden itu dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua rakan lain yang menyebabkan sedikit pertengkaran.

Namun, pertelingkahan tersebut gagal dikawal sehingga tercetus pergaduhan.

Lebih malang, salah seorang kenalan rakannya bertindak menikam bahagian belakang mangsa menggunakan senjata tajam dipercayai pisau.

Kesan dari tikaman menyebabkan mangsa kehilangan banyak darah sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun, keadaan mangsa kembali stabil setelah menerima rawatan termasuk menambah darah.

Menurut sumber, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa cedera selepas terkena tikaman sedalam lima sentimeter.

Tindakan menikam mangsa menggunakan objek tajam itu dipercayai di bawah pengaruh alkohol berlebihan.-UB

Sabtu, 24 Disember 2016

Remaja cedera dipukul gara-gara salah faham

KUCHING: Gara-gara salah faham, seorang remaja cedera di kepala dipercayai dipukul objek keras dalam insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Song Thian Cheok awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun itu dikatakan sedang minum bersama beberapa rakannya.

Menurut sumber, terdapat sedikit salah faham antara mangsa dengan kumpulan lelaki lain berada di dalam premis berkenaan sehingga tercetus pergaduhan.

Pergaduhan berlanjutan sehingga ke luar kawasan premis mengakibatkan mangsa cedera di kepala selain dipecayai patah kaki.

Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri daripada serangan kumpulan berkenaan.

Mangsa berlumuran darah kemudian dikejarkan hospital menerima rawatan lanjut.

Ketika di bahagian kecemasan, kawasan itu dipenuhi lebih 30 orang dipercayai rakan mangsa datang ke hospital sebaik mengetahui mengenai kejadian tersebut.

Namun, keadaan bertambah kecoh apabila rakan mangsa melarikan diri semasa insiden gaduh tersebut tiba di hospital.

Sumber berkata, segelintir lelaki dari kumpulan tersebut cuba bertindak memukul remaja berkenaan kerana tidak puas hati mangsa ditinggal berseorangan semasa pergaduhan.

Namun, kekecohan tersebut berjaya ditenangkan oleh pihak hospital dan polis yang berada di tempat kejadian.

Difahamkan, laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu untuk siasatan lanjut. -UB

Khamis, 22 Disember 2016

Pengasuh dera bayi direman tujuh hari



KUCHING: Seorang wanita berusia 57 tahun direman selama tujuh hari bermula semalam kerana disyaki mendera seorang bayi lelaki berusia lima bulan Selasa lalu.

Wanita berkenaan merupakan pengasuh yang juga sepupu kepada bapa mangsa telah ditahan pada Rabu lepas di sebuah rumah di Matang Jaya, dekat sini sekitar jam 1.45 pagi hari berkenaan.

Baca: Pengasuh Dera Bayi Ditahan Polis

Majistret Zulhairil Sulaiman mengeluarkan perintah reman sehingga 29 Disember ke atas wanita berkenaan bagi melengkapkan siasatan polis.

Dalam kejadian Selasa lepas, bayi malang tersebut dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di bahagian kepala disyaki didera suspek ketika menjaganya.-Sarawakiana

Rabu, 21 Disember 2016

Dua Lelaki Menyamar Sebagai Polis Rogol Wanita Indonesia Secara Bergilir-Gilir

MIRI: Dua lelaki menyamar sebagai polis menggari seorang wanita warga Indonesia dan merogolnya secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Piasau Utara, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat, yang mengesahkan kes itu berkata, mangsa berusia 30 tahun diculik suspek pada jam 6 pagi menggunakan sebuah kereta berwarna putih.

“Mangsa digari dan diugut untuk dibawa ke balai polis jika ingkar arahan, termasuk melayan nafsu kedua-dua suspek,” katanya hari ini.

Leng Huat berkata, selepas dirogol, mangsa ditinggalkan di tepi jalan di sebuah pasar raya di Lutong pada jam 2.30 petang hari yang sama.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis dan dirujuk ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376, Kanun Keseksaan.

Selasa, 20 Disember 2016

Bayi koma disyaki didera pengasuh di Kuching

KUCHING: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) akibat kecederaan parah di bahagian kepala disyaki didera pengasuh.

Menurut sumber, kanak-kanak malang terbabit dikejarkan ke HUS oleh ibu bapanya selepas mangsa tiba-tiba tidak sedarkan diri sekitar jam 11 pagi semalam.

Difahamkan, mangsa kemudian telah diberikan rawatan kecemasan oleh pihak hospital sebelum dimasukkan ke ICU Kanak-Kanak untuk rawatan lanjut.

“Mangsa telah dimasukkan ke ICU Kanak-Kanak HUS kerana disyaki didera dan pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan otak dan terdapat kecederaan daging otak serta pendarahan dalam mata.

“Mangsa (semasa kejadian) diletakkan dalam jagaan pengasuh di sebuah rumah di Matang,” kata sumber.

Susulan insiden tersebut, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu siasatan berhubung kejadian masih dijalankan.

“Laporan telah dibuat oleh pegawai perubatan dari wad ICU Kanak-Kanak HUS dan kita difahamkan bayi terbabit masih dalam keadaan koma dan tidak stabil.

“Setakat ini (petang), siasatan masih dijalankan dan belum ada sebarang tangkapan dibuat,” katanya.-UB

Isnin, 19 Disember 2016

Saksi Diminta Tampil Kes Langgar Di Bako - Polis



KUCHING: Polis meminta saksi kes langgar lari yang mengakibatkan kematian seorang remaja 18 tahun di Jalan Bako dekat sini petang semalam tampil membantu siasatan.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang semalam, mangsa Nur Firdaus Muhammad dalam perjalanan dari pusat bandar melalui arah Demak dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori.

Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Sarawak, ASP Matthew Manggi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mangsa difahamkan menuju kearah bulatan Medan Hamidah sebelum dirempuh dan terpelanting ke bahu jalan sebelum disahkan mebninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Pihak polis kini mengesan sebuah lori membawa muatan pasir dan pihaknya meminta bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian terbabit tampil memberi keterangan.

Kes kini disiasat dibawah seksyen 41(1), akta pengangkutan jalan 1987. -Sarawakiana

Ahad, 18 Disember 2016

Guru Rebah Semasa Mahu Serah Keputusan PT3

Guru Rebah Semasa Mahu Serah Keputusan PT3



KUCHING – Seorang guru wanita yang dipertanggungjawabkan membuat analisis PT3 sebuah sekolah menengah di Matangg Jaya dekat sini, rebah pengsan sebelum sempat menyerahkan analisis keputusan kepada penolong kanan sekolah itu pagi ini.

Guru wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu dikatakan sempat mengagihkan keputusan kepada guru-guru kelas yang terlibat di SMK Matang Hilir.

Bagaimanapun, beliau dikatakan rebah di bilik am sekolah itu, sebelum sempat menyerahkan analisis keputusan kepada penolong kanan sekolah.

Beliau diberikan bantuan penafasan oleh pasukan perubatan yang tiba, sebelum dikejarkan ke hospital, menurut beberapa orang guru yang ditemui di sekolah itu.

Sehingga tengah hari, guru wanita itu dikatakan masih belum sedar. – BERNAMA

Jumaat, 16 Disember 2016

Penganggur dihukum Penjara 17 tahun dan 10 sebatan kerana meliwat kanak-kanak berusia 4 tahun

KUCHING: Seorang penganggur dihukum penjara 17 tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat kanak-kanak berusia empat tahun.

Tertuduh dari sebuah kampung di Petra Jaya disabitkan kesalahan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Timothy Finlayson Joel.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan ketika sebutan kes di mahkamah pada 17 November lalu.

Hukuman itu dijatuhkan ekoran tertuduh yang sebelum ini dinasihat untuk tampil bersama peguam bela bagi pengurangan hukuman, gagal berbuat demikian.

Dia tampil ke mahkamah semalam tanpa peguambela dan tertuduh sendiri meminta pengurangan hukuman berkenaan.Tertuduh juga memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami masalah mental dan mengemukakan laporan pakar psikiatrinya yang bertarikh pada 2004.

Atas sebab itu, dia meminta hukuman ke atas dirinya diringankan. Menjawab permohonan pengurangan hukuman itu, pendakwa raya berkata laporan tersebut telah dibuat 12 tahun lalu dan tertuduh sepatutnya mendapatkan rawatan berterusan untuk mengubati penyakitnya.

Sehubungan itu, hakim mengambil kira kepentingan orang awam dan kesalahan berat yang dilakukan tertuduh berdasarkan fakta kes.

Timothy berkata, hukuman itu akan memberi peringatan yang sewajarnya dan jelas bahawa kesalahan itu satu jenayah yang serius.Katanya lagi, ia memberi kesan mendalam terhadap mangsa, manakala abang mangsa berusia tujuh tahun turut menjadi saksi insiden tersebut tidak mampu berbuat apa-apa.

Malah, beliau turut memberitahu bahawa pendakwa raya mengemukakan rekod kes lama mengenai kesalaham liwat, tetapi tiada satu kes yang membabitkan mangsa kanak-kanak berusia di bawah lima tahun.

“Ini menunjukkan kes ini adalah satu kes yang sangat berat,” tegasnya.Tertuduh disabitkan bersalah atas tuduhan meliwat kanak-kanak berusia empat tahun di rumahnya pada 5 November lalu.

Tertuduh dan mangsa tinggal berdekatan dan kesini menjadi perhatian selepas abang mangsa memberitahu ibu mereka mengenai insiden tersebut.Ibu mangsa membawanya membuat laporan polis dan pemeriksaan perubatan dan laporan perubatan mendapati tanda-tanda kanak-kanak tersebut telah diliwat.Tertuduh diperintah menjalani hukuman tersebut berkuat kuasa pada tarikh dia ditangkap iaitu 10 November lalu. -UB

Jangan Lindungi PATI Warga Suluk, Adenan


MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengingatkan rakyat negeri ini, agar tidak memberi perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Suluk kerana ia merupakan satu jenayah serius.

Pada masa yang sama, Adenan mengingatkan pihak berkuasa berkaitan supaya menangani segera laporan yang menyebut dan mendakwa golongan PATI ini telah kembali semula ke Sarawak, dengan lebih serius.

Peringatan oleh Ketua Menteri itu telah dinyatakan oleh Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin yang menerima panggilan daripada Adenan kelmarin, yang memandang serius laporan berhubung perkara tersebut seperti disiarkan di akhbar.

“Malah Ketua Menteri mahu laporan akhbar ini dipandang serius dan diambil tindakan serta siasatan yang sewajarnya.

“Kita juga akan menjalankan siasatan berhubung laporan ini dan semua agensi kerajaan berkaitan digesa untuk memantau semua aktiviti yang dilakukan oleh golongan PATI ini, sama ada di darat mahupun di perarian negeri ini,” jelas Lee kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Residen Miri di sini, kelmarin.

Terdahulu, Lee mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak keselamatan di Pejabat Residen Miri yang turut dihadiri ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Politik Ketua Menteri Charles Balan Seling serta Residen Miri Antonio Khati Galis dan wakil-wakil agensi berkuasa berkaitan seperti Jabatan Imigresen Miri, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), polis dan Polis Marin.

Menurut Lee, agenda utama mesyuarat tersebut ialah untuk mengenal pasti laporan berhubung isu ‘kedatangan semula’ Suluk ke negeri ini seperti yang disiarkan dalam akhbar dan semua jabatan berkaitan juga diminta membentangkan penemuan, laporan dan siasatan mereka.

Lee yang juga Menteri Muda Pelancongan berkata, maklum balas daripada pihak APMM menyatakan pada 14 Disember lalu, mereka telah melakukan siasatan dan sehingga kini, tiada bot milik nelayan Suluk kelihatan atau dikesan menangkap ikan di perairan sini.

Katanya pihak polis juga melaporkan bahawa tiada laporan rasmi mengenai kehadiran Suluk di Miri sehingga kini.

Dalam pada itu, beliau berkata statistik daripada Jabatan Imigresen Miri, berdasarkan rekod di Depot Imigresen di Bekenu dekat sini pada 13 Disember, menunjukkan seramai 68 pendatang telah ditahan dengan 38 orang ialah Suluk dan Bajau dari selatan Filipina terdiri daripada 18 lelaki, sembilan wanita dan tiga kanak-kanak.

Berdasarkan statistik imigresen lagi, dari tempoh Januari hingga 15 Disember tahun ini, jabatan itu telah mengendalikan sebanyak 72 operasi dengan lebih 1,000 orang ditahan untuk diperiksa dan 76 daripada mereka adalah PATI.

Lee berkata 23 daripada PATI yang ditahan ialah warga Filipina dan 44 lagi warga Indonesia.

Beliau memberitahu, jika orang awam ingin mengemukakan aduan boleh menghubungi talian 24 jam (hotline) pasukan polis iaitu 085-433730, APMM (085-418204) – 24 jam, Jabatan Imigresen Miri (085-421124) – waktu pejabat dan Jabatan Perikanan Marin (085-653041) – waktu pejabat.

Sementara itu, Lee berkata beliau turut menggesa pihak berkuasa berkaitan memandang serius isu berkenaan dan mengendalikan pemeriksaan di beberapa lokasi seperti yang dilaporkan oleh nelayan tempatan termasuk di sekitar pelantar minyak di perairan negeri ini.

Pada masa sama katanya, Antonio turut mengeluarkan notis kepada semua ketua masyarakat dan menasihati mereka untuk memeriksa pergerakan jika terdapat pendatang asing di kawasan perkampungan mereka atau di kawasan penempatan dan melaporkan segera kepada pihak polis.

Sementara itu, Lee turut menasihati Persatuan Nelayan Miri supaya membawa kad pengenalan atau dokumen berkaitan setiap kali turun ke laut bagi membolehkan mereka mudah dikenal pasti oleh pihak APMM atau polis marin ketika pemeriksaan dilakukan.

“Sepanjang tahun lalu, lebih 2,000 pendatang Suluk dan Bajau ditahan dalam pelbagai operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa di sini dan dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya. - UB

Khamis, 15 Disember 2016

Bapa dihukum penjara 54 tahun dan 21 sebatan kerana rogol anak hingga mengandung

KUCHING: Seorang bapa dikenakan hukuman 54 tahun penjara dan 21 sebatan setelah disabitkan dengan tiga tuduhan berbeza, merogol anak kandungnya sendiri .

Hakim Mahkamah Sesyen, Dayang Ellyn Narissa Abang Ahmad menetapkan hukuman 21 tahun penjara dan tujuh sebatan untuk setiap pertuduhan dengan hukuman bermula 2 Disember lalu.

Pada minggu lalu, tertuduh yang berusia 40 tahun dari Kampung Sinjan dekat sini, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu pada jam 3 pagi 12 November lalu, jam 6 petang pada 20 November dan 3 pagi pada 21 November di kediaman keluarga tersebut di Kampung Sinjan dekat sini

Akibat perbuatan tersebut, mangsa yang berusia 17 tahun telah hamil lapan minggu.

Dalam penghakimannya, Ellyn Narissa berkata, perbuatan seorang bapa yang berhati binatang ini telah meranapkan masa depan anaknya, membinasakan impian perkahwinan serta menyebabkan anaknya menderita dari aspek emosi, psikologi dan kesihatan fizikal.

“Kerana itu hukuman maksimum ini penting kerana tertuduh perlu dijauhkan dari masyarakat dan anaknya untuk tempoh yang lama,” katanya lagi.

Pertuduhan dilakukan oleh Penolong Pendakwaraya Haresh Prakash manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes didakwa di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram. – Sarawakvoice

Selasa, 13 Disember 2016

Suspek utama bunuh Bill Kayong tiba di Miri

MIRI: Dalang utama kes bunuh Bill Kayong, Datuk Stephen Lee Chee Kiang tiba di sini pagi tadi dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk didakwa petang ini.

Leee, 44, yang yang dikawal ketat oleh polis hanya menundukkan mukanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri dari Kuala Lumpur jam 11 pagi tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Datuk Dev Kumar, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati kerana bersubahat melakukan pembunuhan tersebut. -UB

 

KAWAL KETAT: Lee dibawa keluar daripada bangunan Lapangan Terbang Miri sejurus tiba di sini.

  

Kedai Melayu, Sambut Krismas




KUCHING: Salah sebuah kedai Melayu tertua di bandar ini sentiasa dihias cantik menjelang musim perayaan, dan sambutan Krismas tidak terkecuali.

Terkini, Kedai Runcit Abdul Wahet yang terletak di Jalan Datuk Ajibah Abol di sini dihiasi dengan perhiasan dan barangan berkonsepkan Hari Natal.

Bagi Mohd Jaya yang mengendalikan kedai ini bersama keluarganya, apa yang dilakukannya ini tidak lain dan tidak bukan hanya untuk meraikan keharmonian pelbagai budaya di negeri Sarawak.

"Di Sarawak, kami gembira meraikannya bersama-sama, tidak kira apa bangsa dan agama sekali pun.

"Pada hari Krismas, saya akan bertukar-tukar hadiah dengan rakan-rakan beragama Kristian, begitu juga mereka yang akan menyambut Hari Raya bersama saya," katanya.

Mohd Jaya yang telah menjadikan tradisi menghias kedai menjelang setiap perayaan utama sejak enam tahun lalu berkata beliau mahu meneruskan amalan ini pada tahun-tahun akan datang.

"Setiap tahun, saya cuba untuk memperbaiki hiasan. Kali ini, hiasannya agak ringkas kerana harga barang semakin mahal," katanya.

Walaupun idea hiasan Mohd Jaya lebih tertumpu di bahagian hadapan kedai, beliau mahu mencuba sesuatu yang berbeza pada Krismas akan datang.

"Kalau ada bajet, saya mahu buat sesuatu yang berbeza setiap tahun," katanya, sambil menambah pelanggannya juga tidak sabar menunggu hiasan kedainya setiap kali menjelangnya musim perayaan.

Kedai itu, yang telah wujud sejak awal 1900-an, menjual rempah-ratus, pes kari dan beberapa makanan terkenal Sarawak seperti kek lapis, kuih cincin dan kuih jala.

"Kami sekarang mendapat pesanan kek lapis dan biskut untuk Krismas. Saya fikir mahu buat kek lapis lobak merah sempena Krismas dengan warna hijau, merah dan kuning," kata Mohd Jaya. - mStar

Isnin, 12 Disember 2016

Minyak wangi guna bahasa Bidayuh dilancar


WANGI: (dari kiri) Theresa, Anielia, Christina dan Shirley (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain menunjuk- kan minyak wangi inspirasi ‘SANGON’ ketika pelancarannya, semalam.

KUCHING: Minyak wangi pertama yang menggunakan bahasa Bidayuh iaitu ‘SANGON’ telah dilancarkan semalam, yang merupakan produk sulung Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Cawangan Mas Gading.

Namun demikian, Pengerusi MPWK Cawangan Mas Gading Theresa Udam berkata pihaknya kini belum lagi mengeluarkan minyak wangi inspirasi tersebut untuk pasaran.

Jelas beliau, pihaknya merancang akan mula memasarkannya sempena pelancaran Koperasi Sangon yang akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep pada Mac tahun depan.

“Kami masih lagi dalam peringkat ujian bagi pasaran minyak wangi ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Minyak Wangi ‘SANGON’ sempena Program Kesejahteraan Wanita ‘Beautiful Mind & Soul yang disempurnakan oleh isteri Henry, Datin Christina dan turut dihadiri Pegawai Daerah Bau Anielia Siam.

Menurut Theresa, minyak wangi ‘SANGON’ dihasilkan oleh seorang ahli MPWK Cawangan Mas Gading Shirley Kho yang menggunakan pelbagai jenis bunga bagi menghasilkan haruman yang menarik.

Tambah beliau, setakat ini terdapat lima jenis minyak wangi ‘SANGON’ telah dihasilkan dengan haruman berbeza.

“Minyak wangi ini adalah asli yang dihasilkan daripada bunga-bungaan dan harganya adalah mampu milik,” katanya tanpa mendedahkan harga yang ditetapkan bagi minyak wangi tersebut.

Sementara, Theresa berkata selain minyak wangi, MPWK Cawangan Mas Gading menerusi Koperasi Sangon juga merancang menjadi pengeluar terbesar bagi kostum Bidayuh untuk dipasarkan ke pasaran yang lebih luas.

“Buat masa ini, tidak ada usahawan yang mengeksport kostum Bidayuh dan oleh sebab itu, kami mahu melakukannya.

“Kami juga akan menggunakan jenama ‘SANGON’ bagi kostum-kostum Bidayuh ini yang akan dibuat sendiri oleh semua ahli Koperasi Sangon tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. -UB

Buntat oh Buntat



KUALA LUMPUR: Penerbit drama 7 Hari Mencintaiku Datuk Ziela Jalil terharu apabila watak Buntat menjadi 'trending' di laman sosial sejak petang semalam.

Ziela menyifatkan watak Buntat lakonan Adik Muhammad Ariff Abdullah, 12, semula jadi dan tidak dibuat-buat.

"Alhamdulillah saya seronok apabila mendapat tahu penonton tersentuh dan menyukai watak Buntat. Sebagai penerbit saya mengagumi lakonan Adik Ariff kerana dia kelihatan sangat semula jadi apabila berlakon.

"Apabila ada drama kekeluargaan seperti ini iaitu sedih, sebenarnya ia secara tak langsung dapat melembutkan hati penonton. Apa tidaknya mereka turut sama merasai apa yang disampaikan dalam drama ini," katanya kepada Harian Metro.

Ziela yang juga pelakon drama Tuan Anas Mikael tidak keberatan untuk menawarkan drama lain kepada Ariff selepas ini.

Bagi Ziela bakat yang ada dalam diri pelakon kanak-kanak itu wajar untuk diketengahkan.

"Walaupun pada awal episod banyak yang mengkritik drama ini yang mengatakan mengajar golongan wanita derhaka pada suami dan mak mentua, tapi sebenarnya banyak pengajaran yang disampaikan di sebalik jalan ceritanya.

"Apabila setiap watak membuka hati dan minda, pasti saja banyak iktibar yang boleh diambil. Contoh terdekat watak Buntat," katanya.

Ziela berkata, drama itu adalah lakonan pertama Ariff di bawah produksi miliknya.

Difahamkan Ariff bakal muncul dalam filem Jibam pada Julai tahun hadapan yang mana diangkat daripada siri komik popular Ujang.

Terdahulu watak Buntat menjadi bualan pengguna laman sosial apabila watak itu meninggal dunia.

Rata-rata komen yang ditulis sedih dengan babak itu dan memuji lakonan Ariff.

Pada masa sama, banyak juga yang tertanya-tanya apa dan siapa itu Buntat selepas peminat siri ini menulis di laman sosial masing-masing.

Drama yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 ini menampilkan pelakon Shukri Yahaya dan Siti Saleha sebagai watak utama.-HM

Ahad, 11 Disember 2016

Dua pelajar universiti hilang ketika melakukan penyelidikan populasi buaya di Sungai Marudi

Marudi: Dua pelajar universiti Curtin kampus Sarawak  dilaporkan hilang ketika melakukan penyelidikkan populasi Buaya dikawasan terbabit.

Ketika kejadian bot jenis fiber yang dinaiki mereka bersama 4 yang lain karam ketika kerja-kerja penyelidikkan itu sedang dilakukan. 

Pemandu bot warga tempatan bersama 4 pelajar yang lain berjaya menyelamatkan diri manakala dua lagi masih hilang. Ketika ini usaha mencari dan menyelamat telah diaktifkan dengan bantuan dari balai bomba marudi.

33 orang pendaki gunung dikhuatiri hilang di Gunung Brik, Bau

Kuching: Kira-kira 33 orang dikhuatiri hilang semasa ekspidisi mendaki gunung yang dianjurkan oleh sebuah kelab mendaki gunung ke Gunung Brik,Kampung Trigus,Bau,Sarawak sabtu lepas.

Menurut sumber kumpulan pendaki ini sepatutnya pulang semalam tapi gagal untuk kembali pada masa yang dijangkakan.

Difahamkan operasi  menyelamat akan dilakukan oleh pasukan khas JBPM STORM dan MUST TEAM yang akan bergerak ke lokasi pada tengahari ini.

Jumaat, 9 Disember 2016

Tikam saudara di majlis perkahwinan


BERKAS: Suspek (tidak berbaju) berjaya ditangkap penduduk kampung.

CEDERA: Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat ditikam.

LAWAS: Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental dipercayai menikam saudaranya sendiri pada satu majlis perkahwinan di Kampung Awat-Awat di sini, malam kelmarin.

Suspek, 52, sebelum itu dikatakan cuba menikam bapa mangsa dengan pisau namun gagal.

Bagaimamapun, tikaman itu tersasar dan mengena mangsa yang ketika itu kebetulan berada berhampiran bapanya.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesan tusukan pisau suspek mengakibatkan kecederaan parah pada bahagian perut mangsa yang hampir terburai.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Lawas untuk rawatan awal dan kemudiannya segera dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Abang Zainal Abidin berkata lagi, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh penduduk kampung sebaik menikam mangsa.

“Anggota polis dari Balai Polis Sundar segera ke Kampung Awat-Awat sejurus dimaklumkan mengenai kejadian oleh penduduk kampung.

“Suspek yang tidak berbaju dan hanya berseluar panjang tiba di Balai Polis Lawas tengah malam tadi (malam kelmarin) berikutan kedudukan kampung yang memaksa mereka menyeberangi sungai, selain jarak perjalanan dari lokasi menuju ke bandar Lawas,” jelasnya.

Setakat ini, pisau yang digunakan suspek masih belum ditemui.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -UB

Waspada air pasang besar akan berlaku 13 Disember ini di Sarawak

KUCHING: Masyarakat yang tinggal di kawasan rendah dinasihat berwaspada apabila Sarawak dijangka mengalami fenomena air pasang besar dari 13 hingga 18 Disember ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, air pasang besar berkenaan dijangka mencapai ketinggian air sehingga 6.5 meter dan sekiranya pada masa sama hujan lebat berlaku, beberapa kawasan lain berisiko banjir.

Antara kawasan dikenal pasti berisiko jika ketinggian mencapai paras berkenaan termasuk Kampung Bako Hulu dan Kampung Buntal Hulu (Kuching), Kampung Tebelu Hulu, Sebuyau, Menek Sebangan, Tambirat, Meranek, Tungkah Melayu, Sebangan (Samarahan), Kampung Sileng Dayak (Lundu), Kampung Jalan Pusat Giat Mara, Kampung Baru dan Pasar Sebuyau (Simunjan), Rumah Sambau Nangan Entulang, Pasar Sri Aman (Sri Aman), Kabong (Saratok) serta Kampung Jerijeh, Rajang, Belawai (Tanjung Manis).

“Kita berharap penduduk di kawasan rendah khasnya lebih berhati-hati dan berwaspada menghadapi fenomena yang dijangka berlaku dari 13 hingga 18 Disember ini dan dijangka mencapai 6.5 meter ketinggian air.

“Bagaimanapun dari segi persediaan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mempergiatkan usaha menghadapi sebarang kemungkinan berlaku dengan menempatkan anggota berkaitan di tempat tertentu,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat dan lawatan ke Baraj Kuching dan Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Baraj Kuching di sini, semalam.

Uggah berkata, Sarawak dijangka mengalami musim hujan dari Disember 2016 hingga Januari 2017 dan kekuatan keanggotaan jawatankuasa kini sudah mulai siap siaga menghadapi kemungkinan bencana berkenaan.

Katanya, jumlah yang terlibat pada kali ini ialah 17,869 anggota serta pegawai yang merangkumi agensi barisan hadapan pengurusan bencana termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan seramai 5,000 orang pegawai dan anggota digerakkan.

Angkatan Tentera Malaysia (6,700 pegawai dan anggota), Polis Diraja Malaysia (2,344 orang pegawai), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (1,343 orang), Jabatan Sukarelawan Malaysia (1,089 pegawai dan anggota) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (1,129).

Manakala, kekuatan logistik pada kali ini melibatkan lima helikopter, 154 lori, 358 kenderaan pacuan empat roda, 226 bot dan 50 ambulans untuk kegunaan di seluruh negeri.

Uggah pada masa sama turut memberitahu, jawatankuasa juga akan mengambil kira isu haiwan liar terutama buaya yang timbul semasa banjir di kawasan terjejas.

“Ini boleh kita anggap fenomena baharu berbanding sebelum ini dan kita akan mengambil kira perkara ini dengan mengarahkan setiap bahagian mengambil perhatian,” katanya sambil memberitahu akan mempertimbang kerjasama dengan  Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam perkara itu.

Mengenai lawatan ke baraj dan sistem pengoperasian amaran banjir, beliau amat berpuas hati kerana ia berada dalam keadaan yang baik serta siap sedia.

“Bagi sistem amaran banjir dan baraj ia berada dalam siap sedia dan apa yang penting kini adalah kita dapat mengurangkan impak bencana kepada rakyat melalui persediaan kita,” katanya. -UB

Khamis, 8 Disember 2016

Maut Langgar Lari, Saksi Diminta Tampil



KUCHING: Polis memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kemalangan langgar lari di persimpangan lampu isyarat Jalan Simpang Tiga-Jalan Tabuan yang mengakibatkan seorang pelajar terbunuh, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.30 pagi semalam apabila mangsa, Mohd Nazerin Shamshudin, 19, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Simpang Tiga dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) disyaki berwarna putih.

“Apabila sampai di lampu isyarat tersebut, mangsa dipercayai dilanggar dari belakang menyebabkan mangsa diseret sejauh kira-kira 67.9 meter sehingga mengakibatkan kecederaan parah di kepala dan badan.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan disahkan meninggal dunia pada jam 5.30 pagi tadi (semalam).

“Justeru, kita memohon saksi kejadian tersebut tampil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Mangsa yang berasal dari Taman Sourabaya Indah, Jalan Bako merupakan pelajar di Kolej Vokasional dan sedang menjalankan latihan industri di sebuah kafe di pusat bandar raya bermula Isnin lepas. -UB

Buaya sesat di Tasik Samariang berjaya ditangkap

KUCHING: Seekor buaya berjaya ditangkap oleh Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dari Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sini pagi tadi.

Buaya tersebut berjaya ditangkap pada jam 9 pagi tadi ekoran aduan orang ramai.

Menurut sumber, reptilia ganas sepanjang 1.5 kaki tersebut kini dibawa ke Pusat Hidupan Liar di Matang untuk tindakan selanjutnya. 

Terdahulu, kehadiran reptilia berkenaan di sebuah tasik berhampiran Tanah Perkuburan Islam Samariang mengemparkan orang ramai terutama pengguna media sosial.

Beberapa hari lepas, pengguna media sosial memuatnaik dan berkongsi gambar serta video berkaitan kehadiran buaya di kawasan berkenaan. -Sarawakiana

Lelaki Hilang Di Lundu Dijumpai Tergantung Atas Pokok


 

LUNDU: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang hilang ketika memeriksa bubu ikan di Sungai Stum semalam ditemui mati tergantung di atas pokok di sini sekitar jam 11.30 pagi.

Mangsa, Romy Lego ditemui dalam keadaan tergantung oleh pasukan penyelamat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua ekoran laporan kehilangan mangsa semalam.

Menurut jurucakap bomba, mangsa  dilaporkan tidak kembali kerumah oleh bapanya selepas keluar dari rumah kediaman mereka di Kampung Stungkor Lama untuk memeriksa bubu ikan di sungai.

"Mangsa dijumpai enam meter dari aras tanah dan disahkan meninggal dunia.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sehingga berita ini ditulis, punca sebenar kematian masih disiasat.

Sumner -Sarawakiana

Isnin, 5 Disember 2016

Lelaki ditahan cabul anak tiri

Miri : Polis menahan seorang lelaki yang didakwa mencabul anak tiri perempuannya berusia 16 tahun di tandas rumah mereka di penempatan setinggan Kampung Api-Api, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat, berkata lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai cuba mencabul remaja berkenaan beberapa kali.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam kelmarin, katanya, mangsa dikatakan menolak pintu bilik air dari luar sebelum masuk ketika remaja itu berada di dalam.

"Bagaimanapun, mangsa berjaya menolak tangan bapa tirinya lalu keluar dan mengemaskan pakaiannya.

"Remaja itu terus keluar dari rumah dan meminta bantuan pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya di sini, hari ini.

Mangsa yang juga bekas pelatih Sekolah Tunas Bakti Miri, kini tinggal bersama keluarga ibunya manakala suspek direman tiga hari.

Permohonan BR1M 2017 dibuka 5-31 Disember ini

PUTRAJAYA: Permohonan dan kemas kini maklumat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 dibuka mulai 5 Disember hingga 31 Disember ini, kata Kementerian Kewangan.

Dalam satu kenyataan semalam, ia berkata notis dan surat pemakluman lulus atau gagal permohonan BR1M 2017 akan diposkan kepada pemohon mulai minggu kedua Februari 2017.

Bayaran BR1M akan mula dikreditkan ke akaun penerima secara berperingkat pada pertengahan Februari tahun depan, kata kementerian itu.

“Kerajaan berhasrat pembayaran BR1M tahun 2017 dapat membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata permohonan dan kemas kini maklumat itu boleh dilakukan secara manual atau dalam talian.

“Pemohon perlu mengemukakan maklumat peribadi dengan lengkap dan perlu dinyatakan maklumat waris, maklumat akaun bank dan nombor telefon yang boleh dihubungi,” kata kementerian itu.

Borang BR1M 2017 boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM),  Pusat Khidmat Hasil (PKH) LHDNM  dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM.

Pemohon juga boleh memuat turun borang permohanan di portal rasmi BR1M dihttps://ebr1m.hasil.gov.my atau www.treasury.gov.my.

Kementerian Kewangan berkata pemohon perlu menyediakan dokumen tambahan seperti salinan kad pengenalan waris/tanggungan, dokumen slip pendapatan atau dokumen lain yang berkaitan.

Kementerian itu berkata permohonan juga boleh dibuat di portal rasmi BR1M LHDNMhttps://ebr1m.hasil.gov.my.

“Permohonan dalam talian hanya boleh dibuat menggunakan komputer sahaja dan salinan permohonan perlu disimpan bagi tujuan rekod.

“Aplikasi eBR1M tidak direka bentuk untuk capaian peranti mudah alih,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata penerima BR1M 2016 sedia ada juga perlu membuat pengemaskinian maklumat terkini.

“Permohonan yang tidak lengkap akan menyebabkan permohonan tidak dapat diproses atau gagal,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober lepas mengumumkan pemberian BR1M kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000  dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM1,200.

Bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, beliau mengumumkan  pemberian BR1M dinaikkan daripada RM800 kepada RM900.

Individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 pula BR1M dinaikkan daripada RM400 kepada RM450. — Bernama

Khamis, 1 Disember 2016

Aktiviti minum berakhir dengan pergaduhan

SIBU: Seorang lelaki menerima padah apabila aktiviti minum bersama rakan-rakan di sebuah kediaman flat di sini sejak malam kelmarin berakhir pergaduhan menyebabkan mata kirinya lebam dan dahinya luka pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi itu, mangsa berusia 46 tahun dipercayai berada dalam pengaruh alkohol bergaduh dengan empat hingga lima rakan minum apabila saling tidak bersefahaman.

Keadaan di tempat kejadian menjadi riuh dan luar kawalan apabila mangsa mendakwa dipukul salah seorang daripada geng minum yang sama menggunakan objek keras.

Selepas pergaduhan itu, mangsa didapati mengalami pendarahan di dahi dan lebam di mata kiri memaksa jiran di situ menghubungi talian kecemasan.

Pasukan ambulans tiba di situ sekitar jam 10.30 pagi terus memberi  rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dibawa ke unit kecemasan di Hospital Sibu.

Mangsa kemudian dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil. -UB

Perompak lari dibelasah tuan rumah

KUCHING: Dua perompak lari bertempiaran selepas dibelasah seorang lelaki bersama anaknya dalam satu insiden di Semariang, Jalan Sultan Tengah, di sini semalam.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 4 pagi apabila dua lelaki dipercayai warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah dan cuba merompak keluarga berkenaan.

Difahamkan, ketika suspek cuba mengikat tangan semua ahli keluarga, berlaku pergelutan menyebabkan kedua-dua suspek terpaksa menyelamatkan diri.

“Suspek dikatakan bertutur dalam dialek Indonesia mengarahkan keluarga terbabit menyerahkan wang kepada mereka ketika cuba mengikat mangsa.

“Bagaimanapun, si bapa bertindak berani melawan seorang daripada suspek terbabit dibantu anak lelakinya berusia 18 tahun menyebabkan suspek ketakutan terus melarikan diri,” kata sumber.

Keluarga terbabit masih trauma dengan insiden berkenaan kemudian membuat laporan polis.

“Suspek dipercayai berjaya melarikan beberapa unit telefon pintar milik keluarga berkenaan,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan dan suspek juga masih dijejaki.-UB