Khamis, 1 Disember 2016

Perompak lari dibelasah tuan rumah

KUCHING: Dua perompak lari bertempiaran selepas dibelasah seorang lelaki bersama anaknya dalam satu insiden di Semariang, Jalan Sultan Tengah, di sini semalam.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 4 pagi apabila dua lelaki dipercayai warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah dan cuba merompak keluarga berkenaan.

Difahamkan, ketika suspek cuba mengikat tangan semua ahli keluarga, berlaku pergelutan menyebabkan kedua-dua suspek terpaksa menyelamatkan diri.

“Suspek dikatakan bertutur dalam dialek Indonesia mengarahkan keluarga terbabit menyerahkan wang kepada mereka ketika cuba mengikat mangsa.

“Bagaimanapun, si bapa bertindak berani melawan seorang daripada suspek terbabit dibantu anak lelakinya berusia 18 tahun menyebabkan suspek ketakutan terus melarikan diri,” kata sumber.

Keluarga terbabit masih trauma dengan insiden berkenaan kemudian membuat laporan polis.

“Suspek dipercayai berjaya melarikan beberapa unit telefon pintar milik keluarga berkenaan,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, difahamkan siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan dan suspek juga masih dijejaki.-UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan