Jumaat, 9 Disember 2016

Tikam saudara di majlis perkahwinan


BERKAS: Suspek (tidak berbaju) berjaya ditangkap penduduk kampung.

CEDERA: Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat ditikam.

LAWAS: Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental dipercayai menikam saudaranya sendiri pada satu majlis perkahwinan di Kampung Awat-Awat di sini, malam kelmarin.

Suspek, 52, sebelum itu dikatakan cuba menikam bapa mangsa dengan pisau namun gagal.

Bagaimamapun, tikaman itu tersasar dan mengena mangsa yang ketika itu kebetulan berada berhampiran bapanya.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesan tusukan pisau suspek mengakibatkan kecederaan parah pada bahagian perut mangsa yang hampir terburai.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Lawas untuk rawatan awal dan kemudiannya segera dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Abang Zainal Abidin berkata lagi, suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh penduduk kampung sebaik menikam mangsa.

“Anggota polis dari Balai Polis Sundar segera ke Kampung Awat-Awat sejurus dimaklumkan mengenai kejadian oleh penduduk kampung.

“Suspek yang tidak berbaju dan hanya berseluar panjang tiba di Balai Polis Lawas tengah malam tadi (malam kelmarin) berikutan kedudukan kampung yang memaksa mereka menyeberangi sungai, selain jarak perjalanan dari lokasi menuju ke bandar Lawas,” jelasnya.

Setakat ini, pisau yang digunakan suspek masih belum ditemui.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan