Isnin, 12 Disember 2016

Minyak wangi guna bahasa Bidayuh dilancar


WANGI: (dari kiri) Theresa, Anielia, Christina dan Shirley (dua kanan) bersama tetamu kehormat lain menunjuk- kan minyak wangi inspirasi ‘SANGON’ ketika pelancarannya, semalam.

KUCHING: Minyak wangi pertama yang menggunakan bahasa Bidayuh iaitu ‘SANGON’ telah dilancarkan semalam, yang merupakan produk sulung Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Cawangan Mas Gading.

Namun demikian, Pengerusi MPWK Cawangan Mas Gading Theresa Udam berkata pihaknya kini belum lagi mengeluarkan minyak wangi inspirasi tersebut untuk pasaran.

Jelas beliau, pihaknya merancang akan mula memasarkannya sempena pelancaran Koperasi Sangon yang akan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep pada Mac tahun depan.

“Kami masih lagi dalam peringkat ujian bagi pasaran minyak wangi ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Minyak Wangi ‘SANGON’ sempena Program Kesejahteraan Wanita ‘Beautiful Mind & Soul yang disempurnakan oleh isteri Henry, Datin Christina dan turut dihadiri Pegawai Daerah Bau Anielia Siam.

Menurut Theresa, minyak wangi ‘SANGON’ dihasilkan oleh seorang ahli MPWK Cawangan Mas Gading Shirley Kho yang menggunakan pelbagai jenis bunga bagi menghasilkan haruman yang menarik.

Tambah beliau, setakat ini terdapat lima jenis minyak wangi ‘SANGON’ telah dihasilkan dengan haruman berbeza.

“Minyak wangi ini adalah asli yang dihasilkan daripada bunga-bungaan dan harganya adalah mampu milik,” katanya tanpa mendedahkan harga yang ditetapkan bagi minyak wangi tersebut.

Sementara, Theresa berkata selain minyak wangi, MPWK Cawangan Mas Gading menerusi Koperasi Sangon juga merancang menjadi pengeluar terbesar bagi kostum Bidayuh untuk dipasarkan ke pasaran yang lebih luas.

“Buat masa ini, tidak ada usahawan yang mengeksport kostum Bidayuh dan oleh sebab itu, kami mahu melakukannya.

“Kami juga akan menggunakan jenama ‘SANGON’ bagi kostum-kostum Bidayuh ini yang akan dibuat sendiri oleh semua ahli Koperasi Sangon tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan