Selasa, 31 Januari 2017

Pemain Lagenda Berkampung Di Sarawak



KUCHING: Tarikh 3 Februari ini pasti mengembalikan nostalgia kepada peminat bola sepak Sarawak apabila pemain Sarawak yang menjuarai Liga Perdana 1997 terlibat dengan perlawanan persahabatan menentang pilihan 'King of Croc's' di Stadium Negeri bermula jam 3 petang.

Menurut Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, perlawanan tersebut diadakan bagi memperingati kejayaan Sarawak menjuarai Liga Perdana 1997 dimana beberapa bekas bintang Sarawak turut beraksi.

Beliau berkata, antara bekas pemain yang terlibat termasuk David Evans, Alistair Edwards, Ramos Sari, Ramles Sari, Mazlan Wahed, Billy Bone, John Hunter, Jalil Ramli dan ramai lagi.

"Selain itu, pada 4 Februari kita akan mengadakan beberapa program sempena memperingati kejayaan skuad Liga Perdana 1997 di Dataran Stadium.

"Antara aktiviti yang dirancang seperti konsert mini, gerai jualan jersi, gerai GB13, penjualan cenderamata dan pameran jersi lama," katanya.

Pada sebelah petang pula menurut Razali, sesi pengenalan pemain-pemain dan pegawai Piala Presiden, Piala Belia dan skuad Kuching yang akan menyertai Liga FAM diadakan.-Sarawakiana

Harga bahan api Februari 2017 – petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen,manakala diesel pula naik 10 sen

Bermula tengah malam ini, petrol RON95 naik 20 sen, dan akan dijual pada harga RM2.30 seliter. Sama juga dengan RON97 yang juga dinaikkan 20 sen kepada RM2.60 seliter.

Bagi bahan api diesel pula, ia tetap naik 10 sen, dan dijual pada harga RM2.15 sementara bagi diesel Euro 5 harganya ialah RM2.25 seliter. Dengan pengumuman ini, nampak gayanya harga bahan api di Malaysia meneruskan trend kenaikan harga bagi dua bulan pertama 2017 ini.

Harga terendah yang dicatatkan setakat ini ialah pada September 2016, dengan RON95 dijual pada harga RM1.70 seliter, sementara RON97 pula pada kadar RM2.05 seliter. Kali terakhir harga bahan api turun ialah padaDisember 2016, sebanyak lima sen.

Berita Harga Minyak Naik Bulan Februari Belum Sah- PDAM



PETALING JAYA: Khabar angin kenaikan harga minyak mulai 1 Februari ini belum dapat disahkan, kata Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Azizi berkata, pihaknya maklum berkaitan penyebaran maklumat mengenai kenaikan harga minyak di sosial media, bagaimanapun setakat ini ia belum dapat disahkan.

Bagaimanapun, tambah beliau, PDAM sememangnya menjangka berlaku kenaikan harga untuk bulan depan.

"Berdasarkan kiraan dan ramalan, akan berlaku kenaikan harga minyak pada Februari ini.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak pada kerajaan. Kadar sah akan hanya diketahui secara rasmi selepas pukul 8 malam nanti," katanya.

Sepanjang bulan ini, harga RON95 adalah RM2.10 setiap liter, RON97 (RM2.40) dan diesel pada harga RM2.05.

Mesej yang disebarkan mendakwa RON95 akan naik 15 sen pada Februari ini, manakala RON97 pula naik lima sen kepada RM2.45 dan diesel pula naik 20 sen.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan sistem apungan harga minyak mulai 1 Disember 2014 susulan pemotongan subsidi.-mStar

Sabtu, 28 Januari 2017

Jambatan Sadong Jaya Diberi Nama Jambatan Tan Sri Adenan Satem Sebagai Mengenang Jasa Allahyarham Tok Nan

KUCHING - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau amat bersetuju dengan cadangan supaya Jambatan Batang Sadong yang pembinaannya baru siap dinamakan sebagai Jambatan Tan Sri Adenan Satem bagi memperingati sumbangan bekas Ketua Menteri Sarawak itu kepada negeri ini.

"Saya tidak ada bantahan, bagaimanapun terserah kepada kerajaan untuk membuat keputusan. Saya akan menyokong sebab bekas Ketua Menteri kita itu juga merupakan bekas Anggota Parlimen Batang Sadong.

"Ia sebenarnya cara yang terbaik untuk memperingati seseorang tetapi saya serahkan kepada kerajaan dan bukanlah bagi saya untuk membuat keputusan," katanya dan menambah, langkah itu merupakan suatu legasi yang baik bagi Sarawak.

Ditanya sama ada terdapat tempat lain yang boleh dinamakan bersempena nama Allahyarham Adenan, Nancy yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong, menarik perhatian bahawa ada banyak tempat di Sarawak yang boleh dinamakan bersempena nama Adenan.

"Beliau (Adenan) adalah tokoh yang menggalakkan keharmonian dan perpaduan, mungkin beberapa taman di negeri ini juga boleh dinamakan sebagai memperingati legasi beliau," katanya.

Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48 kilometer bernilai RM231 juta dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Disember tahun lepas. -Bernama

Jumaat, 27 Januari 2017

BR1M Akan Diagihkan Bermula 18 Februari- Najib

KUALA LUMPUR : Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hari ini menerima khabar gembira apabila bantuan akan diagihkan bermula 18 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengumumkan tarikh pengagihan BR1M berharap bantuan itu dapat membantu penerima BR1M.

"Saya lihat ramai tanya di Facebook, Twitter & Instagram mengenai BR1M.

"Sukacita saya maklumkan, Insya-Allah BR1M akan diagihkan bermula 18 Februari ini. Moga dapat membantu," katanya menerusi catatan terbaru di laman Facebook dan Twitter, malam ini.

Bagi tahun ini, bantuan yang diperkenalkan pada 2012 itu akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada Februari, Jun dan Ogos. - BERNAMA

Khamis, 26 Januari 2017

Masyarakat Cina Di Sarawak Bukan Pendatang- Abang Jo

Mengimbas kembali ungkapan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menganggap kaum cina bukan pendatang. Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sekali lagi meneruskan ungkapan tersebut agar kaum cina tidak dianggap pendatang.

Abang Johari sendiri menegaskan akan meneruskan legasi Allahyarham bagi mengukuhkan lagi perpaduan dan kepentingan rakyat Sarawak. Mengambil kira peranan masyarakat Cina, segala kepentingan dan hak mereka perlu diambil berat bersama kerana mereka bersama membangunkan ekonomi negeri ini.

Peranan masyarakat Cina dalam perniagaan dan perindustrian membuka peluang pekerjaan yang begitu banyak untuk masyarakat lain di negeri ini. Ia menjadi sumber pendapatan masyarakat lain bagi menyara keluarga. Atas usaha masyarakat Cina, ekonomi negeri ini meningkat kerana aktiviti ekonomi domestik rancak diusahakan.

Abang Johari turut memberi jaminan kerajaan akan terus mengamalkan dasar mesra komuniti perniagaan dan pelaburan seperti yang ditetapkan pemimpin terdahulu.-Sarawakiana

Geng Main Holo Terjun Sungai Di Bako

KUCHING: Sekumpulan kaki judi  "Holo" nekad melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dalam usaha untuk meloloskan diri daripada dicekup pihak polis disini petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Bako, sekumpulan tujuh lelaki yang leka berjudi terkejut dengan kehadiran anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato’ Dev Kumar berkata, kesemua kaki judi terbabit yang terkejut melihat kehadiran polis cuba untuk melarikan diri sehingga sanggup terjun ke Sungai Bako.

Kesemua tujuh suspek berumur dalam lingkungan 24 hingga 46 tahun ditahan dibawah Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Rabu, 25 Januari 2017

Lelaki Rogol Anak Tiri Dipenjara 60 Tahun Dan 30 Sebatan

KUCHING: Seorang lelaki yang juga seorang penjawat awam menerima padah apabila dihukum penjara 60 tahun dan 30 sebatan diatas kesalahan merogol anak tirinya.
  
Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Afidah Abdul Rahman memerintahkan tertuduh yang berumur 54 tahun itu dihukum secara berasingan atas tiga hukuman yang dibacakan hari ini.-RTM Sarawak

13 buah Sekolah Sarawak Ditutup Akibat Banjir



KUCHING - Sebanyak 13 buah sekolah di Sibu, Bintulu, Miri dan Padawan dekat sini ditutup akibat banjir, hari ini.

Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, seramai 1,079 orang murid yang terjejas akibat penutupan kesemua sekolah itu setakat pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, antara sekolah-sekolah terbabit ialah, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balai, SK Kuala Sigu, SK Genaan, SK Bukit Mawang, SK Kuala Binyo, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok, SK Long Luyang, SK Ulu Segan, SK Sg Anak, SK St Dunstan, SK St Swithun dan SK Long Jegan.

"Namun, terdapat lima buah sekolah yang terjejas akibat banjir masih meneruskan sesi pembelajaran.

"Sekolah-sekolah tersebut ialah SK Ng Penyarai,SK Sungai Bong, SK Pengarah Enteri, SK Long Teran Kanan dan SK Long Teru," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi. - K! ONLINE

Selasa, 24 Januari 2017

Suami Isteri Dibelasah Ketika Makan Di MJC



KUCHING: Sepasang suami isteri cedera dibelasah sekumpulan lelaki ketika sedang makan malam di sebuah restoran di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 8.30 malam apabila pasangan berkenaan yang berusia sekitar 40-an didatangi seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai suami isteri yang kemudian bertindak menyerang mereka.

Situasi bertambah tegang apabila lebih ramai suspek menyerbu masuk ke dalam restoran tersebut dan membelasah mangsa dan isterinya yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham semasa mangsa menagih hutang.

“Terdahulu, mangsa dan isterinya dipercayai menagih hutang daripada sepasang suami isteri (suspek) sehingga menyebabkan perselisihan faham apabila isteri mangsa dikatakan bertindak menampar si isteri (suspek).

“Susulan kejadian itu, pasangan (suspek) yang tidak berpuas hati dengan insiden itu bertindak menyerang balik mangsa dan isterinya bersama sekumpulan lelaki di restoran berkenaan,” kata sumber.

Insiden itu menjadi tular apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran yang berdurasi kira-kira dua minit dimuat naik ke laman sosial.

Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan insiden pergaduhan tersebut dan memberitahu siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

“Seorang lelaki (mangsa) berusia lingkungan 40-an telah cedera akibat dipukul oleh beberapa orang lelaki dan dia telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

“Bagaimanapun, siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Justeru, Aidil memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.

“Kita mohon saksi untuk tampil membantu siasatan kerana rakaman CCTV yang diperolehi agak kurang jelas dan sekarang, kita juga sedang mengesan suspek yang turut bertindak memukul mangsa,” kata Aidil.-UB

Isnin, 23 Januari 2017

Suspek Kes Bakar Dan Tetak Di Matang Direman 7 hari



KUCHING: Suspek yang dipercayai menetak seorang lelaki sebelum membakar sebuah rumah sehingga mengorbankan tiga mangsa di Kampung Tumu, Batu 10 Jalan Matang, dekat sini, direman tujuh hari sehingga 30 Januari depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki berusia 42 tahun itu adalah rakyat tempatan berasal dari Simunjan, bukannya warga asing seperti laporan awal.

"Kami masih memeriksa rekod perubatan suspek. Sehingga kini masih belum dapat dipastikan tahap kesihatannya," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, suspek berkenaan menetak Mohd Joe Abdullah, 23, di leher dan pinggang sehingga mati sebelum membakar rumah itu, mengakibatkan Mohd Joe bersama dua lagi warga emas rentung.

Polis bagaimanapun dapat menahan suspek dalam kawasan hutan tidak jauh dari lokasi kejadian pada 7.30 malam dan menemui sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Motif kejadian masih disiasat.-HM

Ahad, 22 Januari 2017

3 Rentung 1 Cedera Parah Ditetak Di Batu 10

3 orang rentung manakala seorang cedera parah dalam satu kejadian kebakaran dan tetak di sebuah rumah di Taman Palma Indah, Batu 10 Jalan Matang Kuching sekitar jam 3.43 petang tadi.

Difahamkan 3 mangsa dilaporkan rentung dikenali Noraini berusia 62 Tahun, Mohd Joe 23 Tahun, Daud 64 Tahun manakala seorang lagi mangsa lelaki berumur dalam lingkungan 30an cedera ditetak telah dihantar ke Hospital berdekatan.

Setakat ini kesemua mayat telah pun dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sabtu, 21 Januari 2017

Najib Jamin UMNO Tak Akan Masuk Sarawak- Abang Jo

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan UMNO tidak akan meluaskan kuasanya di Sarawak.

Jaminan itu, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dinyatakan Najib kepada beliau ketika pertemuan mereka di Putrajaya kelmarin.

Justeru, Abang Johari sekali lagi tampil dengan pendirian tegasnya mengatakan UMNO tidak akan masuk ke Bumi Kenyalang selagi beliau bergelar pemimpin negeri.

Beliau berkata, namanya sering dikaitkan dengan UMNO, iaitu salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), malah menjadi tular di laman sosial.

“Di sini, saya ingin menegaskan bahawa UMNO tidak akan masuk ke Sarawak selagi saya menjadi Ketua Menteri walaupun nama saya dikaitkan dengan parti itu di media sosial.

“Saya telah memaklumkan kepada PM (Najib) berhubung perkara ini dan beliau menerima pendirian kita (Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, Najib menyokong usaha keras dilakukan BN Sarawak diketuai PBB.

“Datuk Najib (Perdana Menteri) kata kamu (PBB dan komponen BN) sudah kuat di sana (Sarawak), jadi kenapa perlu UMNO hendak masuk ke sana?” jelas Abang Johari ketika diminta mengulas berkenaan reaksi Perdana Menteri.

Apa pun, katanya, Sarawak bakal menjalin terus kerjasama dengan parti komponen di Semenanjung atas dasar kepentingan dan kesejahteraan BN sahaja.

Tambah Abang Johari, pembangunan Sarawak tetap menjadi keutamaan sekali gus meneruskan legasi dan perancangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika menggalas tugas sebagai Ketua Menteri sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan parti komponen BN Sarawak akan membantu PBB pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bulan depan.

Menurutnya, meskipun kerusi tersebut dikelaskan sebagai kawasan ‘putih,’ namun BN Sarawak tidak akan mengambil mudah perkara berkenaan sebaliknya memastikan kemenangan di konstituensi Tanjong Datu.-UB

Jumaat, 20 Januari 2017

Lelaki Ditemui Reput Di Dalam Rumah Di Taman BDC

KUCHING – Seorang lelaki yang gagal dihubungi keluarganya sejak beberapa hari lalu telah  ditemui mati di rumahnya di Taman BDC Stampin, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, mayat mangsa yang  dikenali sebagai Hadwen ak Dominic Sampar Entaban, 46 tahun, berbangsa Iban telah dijumpai dalam keadaan terlentang dan mereput di lantai rumah. 

“Setelah tidak mendapat sebarang berita daripada mangsa beberapa hari, pengadu iaitu saudara mangsa telah pergi ke rumah mangsa di Taman BDC untuk mencari mangsa.

“Sebaik sampai di rumah mangsa, beliau telah gagal bercakap dan menemui mangsa dengan bertindak memecah pintu rumah tersebut. 

"Sebaik berjaya memecah pintu dan masuk ke rumah, pengadu telah terhidu bau busuk dan setelah memeriksa di dalam rumah dia mendapati ada mayat manusia terbaring di bahagian bawah rumah dalam keadaan telah mereput,“ katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media pagi tadi,

Sejurus menerima aduan daripada pengadu, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama anggota dari Balai Polis Sekama telah ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan anggota di lokasi, mereka mendapati satu mayat seorang lelaki memakai baju T warna biru dan seluar panjang jeans warna biru dalam keadaan sudah mereput berada keadaan terlentang di celah meja dan sofa ruang rehat rumah tersebut. 

“Pemeriksaan awal JSJ di sekitar rumah juga mendapati tiada sebarang pecah masuk dan keadaan rumah tidak berselerak dan pemerhatian ke atas mayat juga tiada sebarang unsur-unsur jenayah berlaku,”ujarnya lagi.

Mayat si mati telah di hantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Khamis, 19 Januari 2017

Belum Dapat Ilham- KM Sarawak



PETRA JAYA: Kuota satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak akan diisi buat masa ini bagi memberi fokus terhadap tuntutan penurunan lebih kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, berkata jawatan berkenaan akan dibiar kosong sehingga beliau mendapat 'ilham'.

Abdul Rahman Zohari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo, menjawab spekulasi apabila tidak melakukan rombakan Kabinet negeri.

Malah, keputusan beliau sudah dijangka lebih awal sebagai menghormati Ketua Menteri kelima, Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

"Saya belum berhasrat melakukan rombakan Kabinet kerana tumpuan utama pentadbiran adalah memastikan semua dasar Ketua Menteri terdahulu diteruskan.

"Saya bernasib baik kerana turut menganggotai jawatankuasa khas menuntut semua kuasa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 untuk dikembalikan kepada negeri ini," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sebagai Ketua Menteri, beliau mengulangi dasar tidak membenarkan kemasukan UMNO ke Sarawak, seperti mana pendirian Allahyarham Adenan.

"Kita masih bekerjasama bersama UMNO atas semangat bersama dalam Barisan Nasional (BN), tapi UMNO tidak akan dibenarkan masuk," katanya.-BH

Isnin, 16 Januari 2017

Suspek Ke-6 Hina Allahyarham Tok Nan Ditahan Di Selangor



KUCHING: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 52 tahun yang merupakan suspek keenam kerana didakwa memuatnaik kenyataan berbaur hasutan dan fitnah terhadap kematian Ketua Menteri Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor mengesahkan penahanan suspek tersebut yang bekerja sebagai pemandu teksi sekitar jam 11.30 malam tadi dirumahnya di Klang, Selangor

“Turut disita telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pagi tadi.

Menurutnya, setakat hari ini sebanyak 43 laporan polis telah dibuat berkaitan penghinaan terhadap kematian ketua menteri Sarawak  Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.-Sarawakiana

Tiada Tanglung Pada Sambutan Tahun Cina 2017 sebagai tanda penghormatan buat Allahyarham Tok Nan


Perpaduan kaum di Sarawak tidak dapat dipertikaikan lagi kerana amalan tersebut sudah sekian lama diamalkan. Perpaduan sebegini telah melonjak ekonomi negeri kepada satu tahap yang memberangsangkan apabila setiap kaum dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Bukti persefahaman dan perpaduan jelas kelihatan ketika pemergian Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ke Rahmatullah tempoh hari dan menyaksikan seluruh rakyat Sarawak yang berbilang kaum berasa sedih dan menghormati mengikut amalan masing-masing. Seluruh rakyat mengucap takziah melalui media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

Yang menariknya terdapat pengguna Facebook mempunyai cara tersendiri menghormati pemergian Allahyarham. David Lim memuat naik status berbunyi :

"Sebagai tanda penghormatan dan berkabung kepada CM Alyhm Tok Nan...Kami tidak gantung Tanlung utk CNY tahun ini...RIP the people's CM...may God bless his soul....Amen,"

Memang menarik status facebook tersebut kerana ia satu penghormatan kaum Cina terhadap Allahyarham. Kaum Cina turut merasa kehilangan kerana peranan Allahyarham telah membuat sesuatu tindakan yang memberi manfaat kepada kaum Cina.

Beginilah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak yang sentiasa mengamalkan perpaduan yang telah lama terjalin dan sentiasa menghormati kaum yang lain tanpa rasa ragu-ragu.-Sarawakiana

Tiada tanglung pada sambutan Tahun Baru Cina 2017



Perpaduan kaum di Sarawak tidak dapat dipertikaikan lagi kerana amalan tersebut sudah sekian lama diamalkan. Perpaduan sebegini telah melonjak ekonomi negeri kepada satu tahap yang memberangsangkan apabila setiap kaum dapat bekerjasama antara satu sama lain.

Bukti persefahaman dan perpaduan jelas kelihatan ketika pemergian Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ke Rahmatullah tempoh hari dan menyaksikan seluruh rakyat Sarawak yang berbilang kaum berasa sedih dan menghormati mengikut amalan masing-masing. Seluruh rakyat mengucap takziah melalui media sosial seperti Facebook dan sebagainya.

Yang menariknya terdapat pengguna Facebook mempunyai cara tersendiri menghormati pemergian Allahyarham. David Lim memuat naik status berbunyi :

"Sebagai tanda penghormatan dan berkabung kepada CM Alyhm Tok Nan...Kami tidak gantung Tanlung utk CNY tahun ini...RIP the people's CM...may God bless his soul....Amen,"

Memang menarik status facebook tersebut kerana ia satu penghormatan kaum Cina terhadap Allahyarham. Kaum Cina turut merasa kehilangan kerana peranan Allahyarham telah membuat sesuatu tindakan yang memberi manfaat kepada kaum Cina.

Beginilah masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak yang sentiasa mengamalkan perpaduan yang telah lama terjalin dan sentiasa menghormati kaum yang lain tanpa rasa ragu-ragu.-Sarawakiana

Ahad, 15 Januari 2017

Dayang Nurfaizah Akan Dedikasi Lagu Lelaki Teragung Untuk Tok Nan Di Anugerah Juara Lagu

"Saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) nanti kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem," demikian kata penyanyi kelahiran Sarawak Dayang Nurfaizah.

Lelaki Teragung dendangan Dayang Nurfaizah antara 12 lagu yang layak ke pertandingan AJL31 yang bakal berlangsung pada 22 Januari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Dayang Nurfaizah berkata beliau menyedari harapan tinggi rakyat Bumi Kenyalang agar dendangan lagu itu nanti turut dibuat secaratribute kepada Adenan, bagaimanapun berkata sukar untuk mengubah konsep persembahan memandangkan semua perancangan sudah dibuat sejak sebulan lalu.

Persiapan semua sudah siap, minggu depan tinggal latihan bersama kumpulan orkestra dan juga kumpulan muzik (band) di venue pertandingan (PWTC). Jika konsep persembahan ditukar pelbagai perkara perlu diambil kira kerana perlu melibatkan ramai pihak juga.

"Biarpun konsep persembahan tidak ditukar saya akan dedikasikan persembahan serta hati saya nanti kepada Tok Nan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sejak semalam, rata-rata netizen (warga media sosial) melahirkan keinginan melihat Dayang Nurfaizah membuat persembahantribute (memberi penghormatan) ketika mendendangkan lagu Lelaki Teragung untuk Adenan nanti.

Dayang Nurfaizah menegaskan biarpun konsep persembahan itu nanti tidak dibuat secara tribute terus kepada Adenan, itu tidak bermakna semangat beliau sebagai anak Sarawak menjadi kurang.

"Saya tidak mahu buat tribute dengan sekadar letak gambar. Konsep persembahan perlu dibuat sebaik mungkin, dan seperti saya katakan tadi, kalau konsep persembahan yang sudah dibuat sejak sebulan lalu ditukar ia melibatkan ramai pihak," katanya.

Sebagai anak Sarawak biarpun berada Kuala Lumpur, pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty turut berkongsi kesedihan berita pemergian ketua menteri itu berkatatribute kepada Adenan mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk lain.

"Saya berharap kita boleh buat tributeatau something kepada Tok Nan. Kalau boleh ada pihak yang mengumpul penyanyi kelahiran Sarawak seperti Hafiz Suip, Bob AF serta mana-mana penyanyi lain dan kita buat persembahan itu nanti di Sarawak," katanya.

Berkongsi pengalaman membuat persembahan pada majlis yang melibatkan Adenan, Dayang Nurfaizah berkata Tok Nan seorang yang menyukai muzik.

"Bila buat persembahan kadang kala kita boleh nampak ada yang tidak ambil tahu pun tapi Tok Nan lain, dia tahu, dia hargai, enjoy serta menghargai persembahan tersebut. Saya amat berbesar hati diundang melibatkan majlis Tok Nan tambahan lagi sebagai anak Sarawak," katanya.

Dayang Nurfaizah berkata secara peribadi beliau tidak pernah bercakap dengan Adenan, namun sentiasa mengikuti perkembangan ketua menteri Sarawak kelima itu.

"Saya berada di Kuala Lumpur tetapi sentiasa ikut perkembangan beliau, semangatnya membela rakyat menerusi dasar-dasar yang dibuat membuatkan saya amat bangga sebagai anak Sarawak," katanya.

Bernama

Sabtu, 14 Januari 2017

Pada Saat terakhir nafasnya, Adenan masih fikirkan Sarawak


KUCHING: “Dia seorang ayah sama seperti manusia biasa, melakukan kesilapan tetapi sangat sempurna di mata anak-anak.

“Berprinsip, berdikari, bertanggungjawab, jujur, baik hati, sedikit tegas namun mempunyai kelembutan dan sangat penyayang.”

Demikian luahan anak perempuan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Rafidah Adenan yang memuat naik status di laman sosial Facebooknya semalam.

Luahan panjang itu menarik minat pengguna Facebook untuk terus membacanya, baris demi baris dan ia pasti meruntun jiwa pembaca mengenang pemergian Allahyarham Adenan yang disifatkan perwira bagi semua rakyat Sarawak.

“Saya akan terus menyayangimu, Daddy, satu-satunya Daddy saya,” katanya.

Jelas Rafidah, meskipun baharu beberapa hari meninggalkan mereka, sukar baginya untuk menerima kenyataan itu.

Malah, beliau sendiri belum mempunyai kekuatan untuk masuk ke bilik tidur Allahyarham.

“Sereda-redanya saya ke atas pemergian Daddy, saya masih belum bersedia berdepan realiti. Tanpa kelibatmu berada di hadapan komputer sambil membaca atau menganalisis berita, juga tanpa kelibatmu berehat atau menonton siaran National Geographic dan History.

“Pemergianmu membawa sekali separuh jiwa saya tetapi Alhamdulillah, saya akhirnya menemui kedamaian dalam doa dan percaya suatu hari kelak kita akan bersama kembali,” luahnya.

Dalam luahan tersebut, Rafidah juga mengimbau kenangan terakhir bersama ayahnya sebelum Allahyarham pergi buat selamanya.

Katanya, ayahnya dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan pada hari Sabtu dan keesokan harinya, dia terbang balik ke Kuching dari Kuala Lumpur.

Sejurus sampai, Rafidah membina khemah di dalam bilik hospital di mana ayahnya ditempatkan dan menemani Allahyarham selama empat hari tiga malam, walaupun mengambil kesempatan keluar mengadakan perjumpaan atau pergi ke gimnasium sebentar.

“Dia kelihatan sangat lemah ketika saya sampai. Tetapi selepas beberapa hari, dia kelihatan agak sihat dan dengan diagnosis daripada doktor, kami semua menyangka dia sedang dalam proses untuk sembuh dan sihat kembali.

“Pada malam terakhir dia di dunia ini, saya berdua dengan Daddy, duduk di sampingnya di atas katil ditemani dua jururawat duduk di meja tugas mereka, hanya beberapa kaki jauh di belakang saya.

“Sudah tentu kita pada ketika itu tidak menyangka bahawa itulah malam terakhir dia. Dan jika kami tahu, sudah tentu seluruh keluarga pasti ada di sana ketika itu. Saya tidak akan melupakan malam itu. Ia satu malam sungguh sunyi.

“Hanya kedengaran bunyi nafas Daddy selain disusuli bunyi mesin diguna untuk mengempam tilam udara digunakannya. Dia kelihatan sangat tenang dan saya tidak dapat berhenti dari terus menatapi wajahnya.

“Banyak kali dia terjaga dari tidur dan menukar posisi baringnya di atas katil. Saya membantu melaraskan kesesuaian ketinggian katil dan menggosok belakangnya bagi memastikan dia berasa selesa dan tidur selesa.

“Ada juga dia meminta air bagi menghilangkan dahaga. Ada juga beberapa kali dia bergumam dalam tidur. Setiap kali apabila ia berkaitan dengan tugas, dia akan mengatakan ‘ini adalah tidak berpelembagaan’, atau ‘saya ada komitmen yang hendak dilakukan esok hari’.

“Malah di saat-saat akhir nyawanya, dia banyak memikirkan tentang negeri kesayangannya Sarawak.

“Pada keesokan paginya, dia sempat bersarapan pagi diikuti dengan sesi fisioterapi dan Puan Ah Ti, sahabat lamanya.

“Saya menyuapnya ais krim dengan roti, semestinya menjadi kegemarannya. Selepas itu beliau tidur dan saya mengambil keputusan keluar sebentar ke gimnasium.

“Namun selepas itu dia sudah tiada dan saya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Dia pergi meninggalkan kami, dua jam selepas saya menyuapkannya ais krim di atas roti.

“Itulah interaksi terakhir saya dan Daddy. Banyak kali saya berdoa agar dia menunggu saya balik dari gimnasium tetapi aturan Allah adalah yang terbaik.

“Dia hanya meminjamkan Daddy kepada kami dan sekarang dia telah pergi,” luahnya lagi.

Rafidah juga memberitahu, dedikasi Allahyarham Adenan kepada negeri ini tidak unik kerana semua rakyat menyatakan dedikasinya kepada Sarawak tetapi kedudukan kekuatan dimilikinya dalam membuat perundingan terbaik kepada Sarawak dan rakyat negeri ini adalah berdasarkan keikhlasan dan integriti.

Maka itu, Rafidah berharap dan berdoa agar Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan kepimpinan masa depan akan meneruskan legasi Allahyarham Adenan berdasarkan apa yang terbaik untuk negeri dan rakyat negeri ini.

Katanya lagi, Allahyarham Adenan juga melihat latar belakang kepelbagaian budaya di Sarawak sebagai sebuah kekuataan dan peluang bukan satu halangan.

“Dia merasakan bahawa sesiapa mahu melagakan kaum dan mahu satu kaum sahaja menikmati kemakmuran tanpa mempeduli kaum lain, tidak dialu-alukan di Sarawak dan lebih baik tinggal di pulau sahaja,” jelasnya.

Rafidah dalam tulisannya turut mengambil kesempatan meminta dua jururawat bertugas pada malam terakhir ayahnya agar menghubunginya kerana beliau ingin bercakap dengan mereka. -UB

“Kepada Dr Cheong, Dr Sim, Dr Tiong, Dr Alan, Dr Song, Dr ‘Physiotherapy’ dan doktor lain serta jururawat yang menjaga Daddy, saya sangat berterima kasih atas dedikasi anda.

“Anda telah melakukan yang terbaik dan saya sangat bersyukur. Ini semua aturan Allah SWT.

“Saya juga berterima kasih kepada semua rakyat Sarawak atas kasih sayang dan penghormatan yang diberikan kepada Daddy. Saya yakin Daddy juga amat menyayangi anda semua,” ujarnya.

Jumaat, 13 Januari 2017

Pelajar Sekolah Di Mukah Ditahan Kerana Fitnah Kematian Tok Nan

MUKAH: Seorang pelajar sekolah menengah ditahan polis hari ini kerana membuat kenyataan berbaur fitnah dan hasutan terhadap kematian Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata pelajar perempuan itu yang berumur 17 tahun menggunakan nama samaran  ‘Zera Zera’ di Facebook ditahan polis Mukah pada pukul 10.45 pagi tadi.

“Kesnya sedang disiasat CID Bintulu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya sehingga hari ini sebanyak 40 laporan dibuat di 12 daerah polis dengan siasatan sedang dijalankan ke atas tujuh laporan.

Beliau memberitahu setakat ini lima individu telah ditahan oleh polis Sarawak kerana memuat naik kenyataan berunsur fitnah berhubung kematian Ketua Menteri. - Sarawakiana

Khamis, 12 Januari 2017

Jangan Persoal Cara Kaum Dan Agama Lain Menghormati Pemergian Ketua Menteri




Sarawak memiliki pelbagai kaum dan agama yang begitu menghormati kepimpinan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika hayatnya.

Bukan setakat umat Islam Sarawak dekat dihati malah kaum dan agama lain juga merasai perkara yang sama. Begitulah Sarawak yang mempunyai hampir 30 etnik yang menjadi warga Sarawak.

Allahyarham pernah menyatakan bahawa beliau adalah Ketua Menteri untuk semua kaum di Sarawak. Pernah juga menyatakan akan memperjuangkan hak seluruh kaum di negeri ini.

Pemergiannya tetap dilakukan dengan pelbagai cara anutan kaum yang beragama selain daripada Islam. Ini jelas membuktikan Allahyarham disayangi seluruh lapisan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Sarawak.

Laungan Ooo Haaa sahaja dapat menyatukan seluruh rakyat yang begitu menyayangi Allahyarham. Melayu, Melanau, Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Cina dan sebagainya tetap memahat segala jasa Allahyarham dalam jiwa dan mengenang setiap usaha dan pengorbanan Allahyarham terhadap rakyat Sarawak.

Bagi yang tidak memahami dan tidak mengetahui kehidupan yang harmoni di Sarawak disarankan agar jangan mempersoal cara dan budaya kaum dan agama lain menghargai jasa Allahyarham.

Inilah Sarawak yang begitu sayangkan pemimpin yang begitu berjasa dan melakukan penghormatan mengikut budaya dan agama masing-masing.-Sarawakiana

Siapa Pengganti Adenan?


KUALA LUMPUR: Ketika Sarawak masih berdukacita dengan pemergian ketua menterinya yang dikasihi rakyat Tan Sri Adenan Satem, tumpuan kini beralih kepada siapakah bakal menjadi penggantinya.

Benar, rakyat masih terkejut dengan pemergian mengejut Adenan yang lebih dikenali sebagai “Tok Nan”, pemimpin kesayangan mereka, namun persoalan mengenai siapa yang akan menggantikan beliau pasti bermain dalam fikiran mereka sekarang.

Adenan, yang dilantik sebagai ketua menteri kelima bagi negeri itu pada 28 Feb 2014, meninggal dunia di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan semalam.

Beliau akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 pada 27 Jan ini.

Menurut penganalisis politik, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) – yang merupakan tonggak bagi Barisan Nasional – yang menerajui kerajaan negeri – mempunyai kata putus mengenai pelantikan ketua menteri seterusnya.

Adenan menjadi Presiden PBB, yang mempunyai 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala parti-parti komponen BN lain pula mempunyai sejumlah 32 kerusi.

Semalam, ketika ditanya pemberita sama ada pemangku ketua menteri akan dilantik, Timbalan Ketua Menteri (TKM) Datuk Amar Abang Johari Openg berkata kerajaan negeri akan beroperasi seperti biasa dan buat masa ini akan memberi tumpuan kepada penghormatan terakhir kepada Adenan selayaknya.

Kerajaan Sarawak mengumumkan tempoh berkabung tujuh hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang dan semua majlis negeri ditangguhkan sebagai menghormati pemergian beliau.

KAUKUS UNTUK MEMILIH PEMIMPIN BAHARU

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata memandangkan kaukus PBB diberi kuasa untuk memilih Ketua Menteri, mesyuaratnya pasti dinanti-nantikan.

“Saya jangka kaukus akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini selepas tempoh (tujuh hari) berkabung (Adenan).

“Tiada cara lain untuk memilih Ketua Menteri baharu kerana sistem ini telah termaktub dalam perlembagaan parti itu sejak 2002. Malah, Adenan juga dipilih melalui sistem kaukus parti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Kaukus PBB, yang terdiri daripada kesemua wakil rakyatnya (Anggota-anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri) serta senator, memainkan peranan yang penting dalam pemilihan calon untuk jawatan eksekutif tertinggi kerajaan negeri itu.

Sistem kaukus adalah sama dengan yang diamalkan oleh parti-parti politik utama di negara-negara maju seperti Kanada dan New Zealand. Di bawah sistem kaukus yang diamalkan oleh PBB, sesiapa yang dipilih sebagai Ketua Menteri akan secara automatik dilantik sebagai presiden parti dan pengerusi kaukus.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa pemilihan calon tidak bergantung kepada hierarki parti.

Pada masa ini, jawatan tertinggi mengikut hierarki dalam PBB terdiri daripada timbalan presiden parti iaitu Abang Johari, dan naib presiden Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Tan Sri Dr Alfred Jabu juga adalah timbalan presiden PBB tetapi beliau tidak bertanding pada pilihan raya negeri April lalu, menyebabkan namanya terkeluar daripada senarai calon berpotensi untuk jawatan ketua menteri.

Sarawak mempunyai tiga TKM, dua daripadanya adalah Abang Johari dan Uggah. Seorang lagi ialah Tan Sri Dr James Jemut Masing, yang merupakan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), parti komponen kedua terbesar BN di negeri itu.

PEMANGKU PENGERUSI AKAN DILANTIK TERLEBIH DAHULU

Jeniri berkata apabila Adenan dipilih sebagai pengganti kepada Tun Abdul bTaib Mahmud pada 2014, Adenan tidak memegang sebarang jawatan penting dalam PBB.

Walaupun tiada siapa yang dapat meramalkan bagaimana ahli-ahli kaukus akan memilih pemimpin mereka seterusnya, Jeniri berkata berdasarkan pemerhatian beliau, aspek-aspek pengalaman dan tempoh perkhidmatan berkemungkinan menjadi kriteria pemilihan.

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, percaya bahawa dalam tempoh beberapa hari lagi, pemangku pengerusi kaukus akan dilantik, yang kemudian akan mengatur mesyuarat kaukus untuk memilih ketua menteri seterusnya.

“Dan, setelah kaukus bermesyuarat dan memutuskan nama Ketua Menteri baharu, pemangku pengerusi memaklumkan pemimpin negeri (Taib),” katanya.

Ditanya, bila ketua menteri baharu itu mungkin diplih, Awang Azman berkata segalanya bergantung kepada tarikh berlangsungnya mesyuarat kaukus itu.

“Ia mungkin berlaku sebaik sahaja tamat tempoh berkabung atau selepas pilihan raya kecil (DUN Tanjung Datu yang baru kosong),” katanya.

ABANG JOHARI, UGGAH DAN AWANG TENGAH DALAM SENARAI

Walaupun Adenan tidak pernah menyatakan secara terbuka mengenai penggantinya kelak, terdapat desas-desus bahawa beliau sudah memikirkan mengenai penggantinya ketika menyenaraikan barisan tiga orang TKM.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Suffian Mansor berkata ia dapat dilihat daripada barisan penyandang di mana dua daripada mereka – Abang Johari dan Uggah – adalah daripada parti PBB.

“Selepas pilihan raya negeri (April lepas), Adenan memberikan beberapa petunjuk apabila beliau mewujudkan tiga jawatan timbalan ketua menteri, satu daripada dipegang oleh Abang Johari. Sama ada kaukus akan memberi perhatian terhadap bayangan itu atau sebaliknya, tiada siapa yang tahu tetapi ia hanya pandangan saya.

“Tetapi saya fikir anggota kaukus akan mengkaji siapa yang lebih senior dalam tempoh perkhidmatan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Berdasarkan pemerhatian Suffian, kedua-dua calon utama untuk jawatan ketua menteri adalah Abang Johari dan Awang Tengah.

“Walaupun Awang Tengah bukan Timbalan Ketua Menteri, dia adalah seorang menteri kanan negeri dan Naib Presiden Kanan PBB. Saya percaya bahawa parti dan Adenan telah mempunyai rancangan mengenai penggantinya selepas pilihan raya negeri tahun lepas,” kata beliau.

Seorang bekas pemimpin parti komponen BN negeri, yang enggan dikenali, menyatakan pandangan yang sama. Beliau berkata hakikat bahawa Adenan telah melantik Abang Johari sebagai seorang daripada tiga TKM mencerminkan bahawa beliau mempunyai pengganti berpotensi dalam fikirannya.

“Tidak masuk akal jika ia (pelantikan) tidak berkaitan dengan bakal pengganti,” kata beliau dan menambah kata bahawa secara tradisi, jawatan timbalan ketua menteri pertama telah diperuntukkan kepada pihak Pesaka dalam PBB kerana berlaku perkongsian kuasa dalam parti, yang ditubuhkan berikutan penggabungan Parti Pesaka (Dayak) dan Parti Bumiputera (Melayu Bumiputera/ Melanau) pada 1970-an.

Apabila Adenan mengumumkan barisan Kabinet Sarawak pada Mei tahun lepas, Uggah disenaraikan sebagai TKM 1, Masing TKM 2 dan Abang Johari, TKM 3.

“Masing dilantik sebagai TKM kerana kedudukannya yang paling kanan sebagai pemimpin parti komponan BN kedua terbesar di Sarawak. Jawatan TKM ketiga biasanya dikhaskan untuk kaum Cina tetapi, dalam kes ini, ia diberikan kepada Abang Johari.

Jadi sekarang kita mempunyai dua TKM daripada PBB dan hanya masuk akal bahawa seorang daripada mereka dinaikkan ke jawatan Ketua Menteri,” kata bekas pemimpin parti itu.

Beliau berkata sekiranya seorang daripada TKM dilantik sebagai ketua menteri baharu, jawatan TKM yang kosong berkemungkinan diisi oleh seorang wakil kaum Cina, kemungkinan besar daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang menunjukkan banyak kemajuan dalam pilihan raya negeri lepas.

Dalam pilihan raya pada April 2016, PBB memenangi kesemua 40 kerusi yang ditandinginya, PRS memenangi semua 11 kerusi, SUPP (tujuh daripada 13 kerusi), SPDP (tiga daripada lima kerusi), dan calon BN (11 daripada 13 kerusi). – Bernama

Pemergian Adenan amat dirasai kaum Orang Ulu

MIRI: Pemergian tidak dijangka Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Kota Samarahan kira-kira jam 1.20 petang semalam merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata pemergian Adenan bukan sahaja berita yang mengejutkan malah dirasai  rakyat di bawah konstituensinya.

“Beliau amat disayangi dan dihormati masyarakat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Sepanjang tempoh beliau berkhidmat untuk Sarawak banyak projek pembangunan dilakukan bukan sahaja di kawasan bandar malah menumpukan pembangunan rakyat luar bandar di Telang Usan bagi bersama menikmati pembangunan berterusan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Dennis, pemergian Adenan turut dirasai sebagai kehilangan amat besar dalam kalangan masyarakat Orang Ulu yang sentiasa mengharapkan pembangunan.

Katanya Adenan telah meluluskan projek terbesar di Telang Usan iaitu Jambatan Long Lama menelan belanja kira-kira RM70 juta.

“Ini adalah projek terbesar yang diberikan kepada Telang Usan dan kami amat berterima kasih dan berbesar hati dengan kelulusan projek yang diberikan tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, berkongsi pandangan sama ialah Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil yang turut menyifatkan pemergian Adenan sebagai satu kehilangan besar.

ADUN Marudi itu berkata, Adenan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani atas perjuangannya mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak.

“Beliau ibarat perjuang yang hebat kerana dalam tempoh perkhidmatan beliau yang singkat, Adenan sentiasa berusaha memastikan hak rakyat pelbagai kaum di Sarawak terjamin.

“Adenan pemimpin yang amat berjuang untuk rakyatnya tidak kira bangsa dan agama.

“Pembangunan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat luar bandar sentiasa menjadi keutamaannya,” jelasnya. -UB

Isnin, 9 Januari 2017

Gadis Lompat Kereta Elak Dirogol Di Miri



MIRI: Seorang remaja perempuan patah kaki kiri selepas melompat dari kereta yang bergerak bagi mengelak dirogol rakan lelakinya di Kuala Baram di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa berusia 16 tahun bersama dua lelaki menaiki kereta ke arah Batu 1, Kuala Baram sebelum seorang daripada suspek cuba merogol mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, mangsa yang ketakutan kemudiannya melompat dari kereta berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Menurutnya, tindakan itu mengakibatkan mangsa patah kaki kiri selain kecederaan pada kedua-dua tangan.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri oleh kedua-dua suspek untuk dirawat sebelum suspek melarikan diri.

"Polis masih berusaha mengesan kedua-dua suspek," katanya. -Sarawakiana

Gadis Lompat Kereta Elak Dirogol Di Midi



MIRI: Remaja perempuan patah kaki kiri selepas melompat dari kereta yang bergerak bagi mengelak dirogol rakan lelakinya di Kuala Baram di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa berusia 16 tahun bersama dua lelaki menaiki kereta ke arah Batu 1, Kuala Baram sebelum seorang daripada suspek cuba merogol mangsa.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, mangsa yang ketakutan kemudiannya melompat dari kereta berkenaan bagi menyelamatkan diri.

Menurutnya, tindakan itu mengakibatkan mangsa patah kaki kiri selain kecederaan pada kedua-dua tangan.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Miri oleh kedua-dua suspek untuk dirawat sebelum suspek melarikan diri.

"Polis masih berusaha mengesan kedua-dua suspek," katanya. -Sarawakiana

Faiz Subri Julang Anugerah Puskas 2016


Augerah Puskas Fifa 2016 ternyata menjadi milik Faiz Subri sekali gus mencipta sejarah baru sukan bola sepak Malaysia pada Anugerah Bolasepak FIFA 2016 Fifa 2016 di Zurich.

Sepakan ajaib pemain Pulau Pinang itu diundi sebagai jaringan terbaik di dunia yang dihasilkan sepanjang tahun lalu di arena bola sepak profesional.

Kemenangan pemain berusia 30 tahun itu diumumkan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo.

Faiz menewaskan dua pesaingnya Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang, anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu kelihatan meraup wajah dengan rasa syukur sekali gus memeluk Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah yang turut menemaninya ke anugerah tersebut.

Tampil di pentas anugerah berprestij itu, Faiz lantas mengucapkan rasa syukurnya di atas kemenangan tersebut.

"Sejujurnya tidak terlintas di fikiran saya untuk berada pada tahap ini bersama bintang-bintang bola sepak bertaraf dunia di pentas yang luar biasa.

"Di sini saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan Pulau Pinang, semua jurulatih, rakan-rakan sepasukan dan keluarga," kata Faiz yang kelihatan begitu berdebar membacakan ucapan dalam bahasa Inggeris melalui telefon pintarnya.

Berdasarkan undian, Faiz menerima sebanyak 59.46 peratus berbanding Marlone (22.86 peratus), Daniuska Rodriguez (10.01 peratus) dan lain-lain (7.68 peratus).

Jaringan itu dilakukan ketika membantu pasukannya, Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke atas Pahang dalam saingan Liga Super.

Video jaringan yang dimuat naik oleh FifaTV di laman YouTube pada 21 November lepas telah ditonton lebih dua juta pelayar dari seluruh dunia. - Malaysiakini

 

Ahad, 8 Januari 2017

Sarawak diramal alami banjir antara Januari hingga Mac

 Kuching: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan Sarawak akan mengalami banjir antara bulan ini hingga Mac akan datang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebagai persediaan, agensi kerajaan, pihak penguat kuasa, pegawai keselamatan, pemimpin masyarakat dan rakyat sendiri diingat untuk bersedia dan sentiasa memantau kemas kini laporan kaji cuaca daripada JMM.

“Kalau diarahkan berpindah, jangan tunggu kami terpaksa memaksa anda berpindah.

“Sepatutnya berpindah lebih awal supaya kami dapat menyelamatkan bukan sahaja nyawa tetapi juga harta benda.

“Untuk penduduk yang mendiami kawasan rendah, siapkan barang dokumen penting dan letakkan barangan anda di tempat yang lebih tinggi supaya bila berlaku banjir penduduk tidak mengalami kerugian yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat baharu TM Tours & Travel Sdn Bhd Cawangan Kuching di Jalan Kulas, di sini semalam.

Selain itu, jelas Ahli Parlimen Kuching itu, peringkat kepimpinan juga akan sentiasa memantau dan berkomunikasi selain memberi bantuan sebaiknya kepada rakyat mengikut keperluan.

“Bagaimanapun, saya melihat banjir yang berlaku pada tahun ini seperti di Terengganu, Kelantan dan Pahang tidaklah seteruk 2014.

“Namun dengan pengalaman yang ada, kami sudah pun bersedia khususnya di bawah menteri bertanggungjawab bencana Datuk Seri Shahidan Kassim dan dengan itu kami dapat tangani bencana banjir di Pantai Timur, khususnya dengan agak baik,” jelasnya.

Katanya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga bersama dengan menteri bertanggungjawab turut turun padang bagi melihat sendiri dan memantau aktiviti bantuan dan keperluan rakyat yang terjejas banjir termasuk tempat tinggal sementara, pakaian, makanan dan keperluan lain.

Jumaat, 6 Januari 2017

Datuk Posa Majais Dipilih Sebagai Presiden FAS Yang Baharu

KUCHING: Persatuan Bolasepak Sarawak  (FAS)mengumumkan Datuk Posa Majais dipilih sebagai presiden baharu FAS dalam Mesyuarat Agung Tahunan(AGM) FAS hari ini. Pemilihan Datuk Posa yang merupakan Naib presiden FAS sebelum ini menamatkan spekulasi jawatan kerusi panas itu yang kosong hampir empat bulan selepas ditinggalkan Datuk Sudarsono Osman sejak September tahun lalu.

Sebelum ini FAS gagal melantik presiden baharu selepas tiada calon yang berminat untuk menyandang tugas tersebut pada AGM September tahun lalu. 

Disamping itu pada 7 Oktober 2016 yang lalu, FAS turut melantik Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree sebagai penasihat.

Gadis Maut Nekad Terjun Tingkat 2 Selamatkan Diri Di Miri

L


MIRI: Seorang gadis maut manakala empat cedera dalam kebakaran sebuah bangunan rumah kedai di Taman Jade Manis di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada 7.20 malam itu, mangsa maut dikenali sebagai Huong Siew Fong,21 dilaporkan maut selepas nekad terjun dari tingkat dua bangunan berkenaan untuk menyelamatkan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Khoo Leng Huat, mangsa menyewa bersama dua adik-beradiknya di tingkat tiga bangunan berkenaan.

"Dua adik-beradik mangsa selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.28 malam berhubung kejadian itu.

"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Lopeng dan Miri dikerahkan ke lokasi sejurus laporan diterima dan kebakaran berjaya dikawal pada 8.45 malam," katanya.

Punca kejadian masih dalam siasatan.-Sarawakiana 

Khamis, 5 Januari 2017

Remaja Perempuan 16 Tahun Nyaris Dirogol Kenalan Wechat

MIRI: Seorang remaja perempuan dari Kampung Pangkalan Lutong di sini menjadi mangsa cabul dan nyaris dirogol kenalan lelaki yang baru dikenalinya selama lima hari melalui aplikasi sembang WeChat.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata kejadian berlaku pada 10.30 malam Rabu lepas apabila suspek, seorang lelaki berusia 20 tahun pergi ke rumah mangsa berumur 16 tahun itu.

"Suspek menarik tangan mangsa dan mengajaknya ke bilik tidur namun mangsa enggan menuruti kemahuan suspek, bagaimanapun suspek terus memaksa dan menarik tangan mangsa ke bilik.

"Apabila sampai ke bilik, suspek terus menanggalkan baju mangsa sehingga bogel, abang mangsa tiba-tiba masuk ke dalam bilik itu dan ternampak suspek lalu terus menumbuk muka suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khoo berkata akibat pergelutan dengan suspek, mangsa mengalami kecederaan di belakang badan dan hasil pemeriksaan dilakukan di Hospital Miri, mangsa tidak dirogol kerana tiada sebarang koyakan pada selaput dara.

"Suspek kini sedang diburu, siasatan awal mendapati mangsa tidak pernah keluar dengan suspek," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

20 Orang Pelancong Cedera, Rumah Panjang Annah Rais Runtuh Di Padawan

Kuching: Kira-kira 20 pelancong cedera selepas anjung rumah panjang Annah Rais di Pedawan runtuh petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang semalam dipercayai berlaku akibat terlalu ramai pelancong berkumpul di anjung berkenaan.

Difahamkan Ini adalah kali pertama anjung rumah panjang Annah Rais ini yang menjadi tumpuan pelancong dan luar negara runtuh.Rumah Panjang Annah Rais terletak 60 kilometer dari Bandaraya Kuching adalah destinasi tumpuan pelancong di Sarawak.

Selasa, 3 Januari 2017

Kerana Dendam, 2 Cedera Ditetak Di Kuching



KUCHING: Hanya kerana dendam lama dua lelaki cedera akibat ditetak oleh empat lelaki berparang yang menyerang mangsa di rumah kediamannya Isnin lepas.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang itu, kedua-dua mangsa sedang berehat di ruang tamu rumahnya sebelum didatangi sekumpulan empat lelaki menyerbu rumah mereka di kawasan penempatan semula Stampin Baru disini.

Memetik laporan akhbar tempatan, kumpulan yang menaiki kereta Myvi tersebut terus menyerang mereka yang sedang berehat di rumah berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya telah menahan tiga suspek (lelaki) manakala seorang lagi suspek lelaki masih dijejaki.

“Susulan daripada insiden berdarah tersebut, kita telah menahan tiga suspek berusia dalam lingkungan 29 hingga 35 tahun dan merampas sebilah parang serta sebuah kereta jenis perodua Myvi” katanya.

Sehingga berita ini ditulis, polis masih menjejaki seorang suspek lelaki berasal dari Kampung Tabuan Foochow dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.-Sarawakiana

Isnin, 2 Januari 2017

Aksi kejar mengejar MPV Polis dan Myvi gemparkan warga Kuching

Kuching: Warga Kuching gempar petang semalam apabila melihat aksi MPV polis mengejar sebuah kereta Myvi dibeberapa Japan utama di Kuching khususnya Petrajaya.

Difahamkan aksi kejar mengejar antara tujuh buah MPV polis dan sebuah Myvi tersebut berlaku hampir dua jam sebelum pemandu kenderaan Myvi hilang arah apabila tersekat di jalan mati Taman Lebunda, Petrajaya.

Kejadian yang menarik perhatian ramai pengguna beberapa jalan utama di Kuching itu dikatakan bermula berlaku sekitar jam 4 petang telah menjadi viral dilaman sosial apabila ada netizen memuat naik gambar dan klip video aksi kejar mengejar tersebut.

Insiden kejar mengejar dikatakan bermula apabila pemandu sebuah kenderaan Myvi berwarna kelabu cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis semasa ditahan oleh anggota polis MPV Gita 16 di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya.

Sejumlah enam buah kenderaan anggota polis MPV lain yang mendengar lapuran insiden segera membantu MPV Gita 16. Kereta Myvi tersebut berjaya diekori oleh sebuah kenderaan polis MPV Kuching 63 di kawasan jalan Bako dan diikuti beberapa buah kenderaan MPV lain.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai, pemandu kenderaan Myvi enggan memberhentikan kenderaan meskipun telah diarahkan berbuat demikian berulangkali menggunakan pembesar suara.

Sebaliknya, pemandu kenderaan Myvi terus memecut kenderaannya dan melanggar beberapa buah kenderaan lain.

"Kawasan yang dilalui saspek ialah Desa Guruh, Taman Sukma, Temenggong Hj Gobel, Semariang Batu, Depo DBKU, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Jalan Demak/Bako, Dusun Bayu dan kenderaan saspek akhirnya tersekat di jalan mati di Taman Lebunda," katanya lagi.

Pemeriksaan awal polis sebaik kenderaan terhenti di jalan terakhir mendapati pemandunya merupakan lelaki melayu tidak memiliki lesen memandu dan seorang wanita turut berada di dalam kenderaan tersebut.

Kedua mereka yang berasal dari Petra Jaya telah dibawa ke Balai Polis Gita untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Cikgu tumbuk bapa pelajar di Simunjan

Simunjan: Sesi pendaftaran masuk sekolah di salah sebuah sekolah menengah di Simunjan, hari ini dicemari dengan insiden seorang bapa pelajar ditumbuk oleh  seorang penolong kanan yang bertugas di sekolah terbabit.

Kejadian berlaku 9.30 pagi tadi ketika mangsa lelaki berusia 35 tahun itu sedang menguruskan pendaftaran persekolahan anaknya.

Mangsa yang juga tuai rumah salah sebuah rumah panjang di Simunjan, telah secara tiba~tiba didatangi dan ditumbuk pada bahagian telinga kiri oleh seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sekolah.

Hasil siasatan polis mendapati insiden berpunca daripada tindakan bapa pelajar berkenaan yang mempertikaikan tugas guru terbabit yang tidak mempamirkan senarai nama pelajar untuk semakan dan memudahkan urusan ibu bapa semasa pendaftaran persekolahan anak~anak mereka.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana cuba mendatangkan kecerderaan kepada orang lain.