Khamis, 28 Mei 2015

Watson Nyambek The Flying Dayak

Oleh: Qadafi Johari

Sebut saja nama Watson Nyambek pasti semua orang kenal. Watson adalah lagenda dan ikon buat warga Sarawak. Diawal kemunculan beliau dalam dunia olahraga, siapa sangka anak iban kelahiran Miri ini mampu memecah rekod kebangsaan acara 100 meter pecut milik "The Flying Doctor", Dato Dr. M. Jegathesan dengan catatan masa 10.33 saat pada tahun 1998.

Rekod lama milik Dato Dr. M. Jegathesan ialah 10.38 saat yang dilakar pada tahun 1966. Selepas itu beliau terus memecah rekod-rekod milik beliau sendiri dan rekod terakhir dicipta ialah dengan catatan masa 10.30 saat. Apa yang menariknya sehingga sekarang rekod itu masih kekal sebagai rekod kebangsaan dan tidak mampu di pecah mana-mana atlet di Malaysia.

Dengan identiti tersendiri dan penuh tradisi, kehadiran insan bernama Watson Nyambek ini cukup dihormati pihak lawan dahulu dengan kejayaan demi kejayaan diperolehi beliau sepanjang penglibatan beliau sebagai atlet. Apa yang pasti, Watson berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam sukan olahraga khususnya bagi acara reben biru.

Pada pendapat penulis sewajarnya Watson mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi lagi dengan menganugerahkan darjah kebesaran seperti pangkat Datuk atau Tan Sri diatas sumbangan besar beliau ke atas negara dan seharusnya beliau juga layak mendapat pencen tiap-tiap bulan.

Selepas bersara menjadi atlet, beliau kini menjadi jurulatih di MSN bahagian Miri. Selain itu beliau juga aktif membuat bengkel sendiri@klinik olahraga untuk membantu atlet yang terpinggir di luar kawasan dan pedalaman.

Apa yang menariknya Watson adalah insan serba boleh dan mempunyai potensi untuk lebih berjaya lagi dalam hidup selepas bersara sebagai atlet. Beliau tidak hanya mengharapkan 1 medium iaitu sukan untuk mencari rezeki, sebaliknya kini beliau mengusahakan tanaman kelapa sawit di kebun beliau.

Selain itu beliau juga telah menubuhkan 1 band group yang diberi nama "The Flying Dayak Band". Menurut beliau, objektif beliau menubuhkan band adalah untuk membuktikan kita anak Sarawak boleh menceburi apa saja bidang. Apa-apa pun marilah kita semua berdoa agar Watson terus berjaya dalam hidup.

Selasa, 26 Mei 2015

Pembantu kedai 24 jam cemas diacu parang

KUCHING: Seorang pembantu kedai serbaneka 24 jam di Jalan Petanak terpaksa berhadapan dengan detik mencemaskan apabila diacu senjata tajam dalam kejadian rompakan, awal pagi semalam.

Dalam insiden sekitar jam 4 pagi itu, premis itu didatangi seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh yang bertindak menggoncang pintu premis yang dalam keadaan berkunci.

Menurut rakan sekerjanya, mangsa yang berusia 18 tahun yang ketika itu bersendirian, tidak mengesyaki apa-apa lalu membuka pintu kepada lelaki yang mendakwa ingin membeli air mineral.

“Bagaimanapun setibanya di kaunter pembayaran, lelaki berkenaan terus mengacukan parang pemotong daging ke arah mangsa sebelum mengambil beberapa kotak rokok dan wang,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Suspek kemudian melarikan diri ke arah rakannya yang menunggu di atas motosikal.

Laporan polis telah dibuat dan kes sedang disiasat.

Dalam kes berasingan, sebuah kantin di Hospital Umum Sarawak mengalami kerugian ribuan ringgit apabila menjadi sasaran pencuri yang memecah masuk premis berkenaan.

Difahamkan, insiden itu disedari pengusaha sekitar 6 petang kelmarin apabila mendapati pintu belakang dibuka secara paksa.

Pelbagai barangan dapur dilarikan, termasuk beberapa kampit beras.

Mangsa telah membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Sumber: The Borneo Post

Ahad, 24 Mei 2015

S'wak serap GST, kata ketua menteri

Sarawak akan menyerap cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi perkhidmatan perbandaran dan kerajaan negeri, umum Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem semalam.Beliau yang berkata langkah tersebut adalah sebahagian usaha kerajaan negeri meringankan beban rakyat.

Adenan bagaimanapun tidak menyatakan bila penyerapan GST itu akan dikuatkuasakan.Menurutnya, kerajaan negeri menyedari pelaksanaan GST telah mengakibatkan kenaikan harga beberapa barangan di negeri ini dan secara langsung membebankan rakyat.

“Kita akan bayar (GST kepada Kerajaan Persekutuan) bagi pihak rakyat. Perkara ini kita buat semata-mata untuk Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pemansuhan kutipan tol Jambatan Lanang di Sibu.Setakat ini, Terengganu dan Pulau Pinang telah mengumumkan akan mengikut jejak langkah Johor menyerapkan GST yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat sementara Pahang dan Selangor masih mengkaji perkara tersebut.

Sebelum ini Adenan telah menurunkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan industri, memansuhkan kutipan tol jambatandan mengurangkan kutipan bayaran feri bagimenyeberang sungai-sungai di negeri itu.Beliau turut memberitahu akan terus berusaha dalam rundingannya dengan Petronas untuk mendapatkan pertambahan royaliti hasil minyak dan gas bagi Sarawak dari lima kepada 20 peratus.Hasil rundingan itu sehingga kini, Petronas telah memperuntukkan kontrak bernilai RM2.1 bilion diagihkan kepada syarikat-syarikat Sarawak.

Sumber: Bernama

Sabtu, 23 Mei 2015

3 Bulan Tidak Makan, Rohingya Menangis Melihat Nasi Dan Lauk Selepas Diselamatkan

Seorang etnik Rohingya yang berjaya diselamatkan di Acheh, Hasan Ali dengan suara yang lemah telah menceritakan pengalamannya belayar selama beberapa bulan tanpa makanan dan minuman kepada CNN Indonesia, Hasan menceritakan yang kaumnya diskriminasi dan dilayan dengan kejam di Myanmar.

Hasan bersama lebih dari 300 warga Rohingya dan Bangladesh diselamatkan oleh penduduk tempatan Acheh Timur pada 20  Mei lalu dan di tempatkan di meunasah (bangunan yang dibina khas di kampung-kampung untuk tujuan pelajaran agama), diberi pakaian, tempat bersuci dan makanan yang disumbangkan oleh penduduk kampung.

"Tiga bulan kami tidak makan, kini kami makan," kata Hasan sambil terisak mengalirkan air mata ketika diberikan dua piring berisi penuh nasi. Melihat Hasan menangis, warga lainnya juga turut mengalirkan air mata.

Menurut Hasan dia melarikan diri dari Myanmar selepas mendapat berita dari kawannya yang kini sedang berada di Thailand yang hidup tanpa sebarang tekanan tidak seperti hidup dalam buangan di Myanmar.

Semasa ditengah laut, pelbagai rintangan yang dihadapi apabila semasa baru memulakan perjalanan datang 5 orang warga Myanmat cuba merosakkan kapal mereka.

"Apabila sampai ke Thailand kami dilarang untuk mendekati negara tersebut dan makanan telah dijatuhkan dengan helikopter."

"Ada dapur di kapal, untuk memasak nasi dan garam. Mi segera kami makan mentah tanpa dimasak," kata Hasan.

Hasan kini bersyukur sangat selepas diselamatkan oleh warga tempatan selepas diselamatkan pada hari makanan yang mereka terima dari Thailand habis. Kini, di sudah boleh memakai pakaiaan yang sedikit elok, makan yang kenyang, dan tanpa rasa takut akan kehilangan nyawa di laut.

Sedah menjangkau ribuan warga Rohingya yang yang dibantu di beberapa lokasi di Acheh.

Sumber: CNN Indonesia

Khamis, 21 Mei 2015

Misteri Hantu Penanggal Di Sibu

Suatu waktu dahulu di bahagian Sibu, pernah gah dengan cerita hantu penanggal yang bermaharajalela di dalam sebuah kampung melayu. Hantu penanggal ini sebenarnya adalah jenis hantu yang gemar menghisap darah wanita yang baru lepas bersalin dan sekiranya darah wanita yang selepas bersalin ini dihisap nescaya wanita itu akan mati kerana akibat tumpah darah yang banyak sangat.

Maka itulah yang terjadi di sebuah kampung di Sibu sewaktu dahulu sehingga memungkinkan seluruh penduduk telah bersatu hati menjaga siang dan malam kerana musibah yang berlaku. Dan pada waktu inilah rata-rata masyarakat melayu kampung tersebut telah mula menanam disekeliling rumah mereka dengan tanam-tanaman yang berduri. Hantu penanggal dikatakan takut untuk menghampiri rumah sebegini kerana dia sendiri risau takut akan tali perutnya yang terburai tersangkut pada duri-duri itu nanti.

Bagi yang mempunyai anak atau isteri yang sedang mengandung akan mula menggantung daun kering mengkuang yang terkenal dengan durinya bersebelahan dengan tempat anak isteri sedang tidur. Ini semua dilakukan bagi memberikan keselamatan yang tetap kepada mereka yang tersayang kerana hantu penanggal ini mampu masuk ke rumah walau hanya dengan sebesar lubang kecil yang ada di dinding rumah. Inilah kekuasaaan ilmu iblis yang seharusnya tidak diamalkan oleh manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras.

Hendak dijadikan ceritera setelah 2 mangsa ibu yang tidak berdosa menjadi korban akhirnya manusia yang empunya angkara telah berjaya juga ditangkap. Hakikatnya dikatakan bahawa wanita kampung yang terpaksa menerima saka hantu penanggal ini diwarisinya daripada ibunya dan sekiranya ianya tidak mewarisinya maka ianya akan lebih teruk sekali.

Demi menjaga keharmonian di dalam kampung itu maka orang tua-tua di kampung tersebut telah sebulat suara untuk mengusir wanita dan keluarganya keluar daripada kampung tersebut dan sejak itu tiadalah lagi igauan ngeri ibu-ibu mengandung yang takut akan tumpah darah berlaku lagi di kampung tersebut. Ini hanyalah sebuah cerita yang diceritakan secara lisan oleh seorang tua tempatan yang pernah mengalaminya suatu waktu dahulu di kampung kelahirannya di Sibu. Ianya mungkin ada yang benar dan mungkin juga ada yang tidak termasuk dek akal kita sekarang namun begitu kita sememangnya tidak harus menidakkan bahawa fenomena hantu penanggal ini pernah wujud satu ketika dahulu di Sarawak.

Isnin, 18 Mei 2015

"Gadis Etnik Orang Ulu Keajaiban Sarawak"

Tahukah anda gadis-gadis dari kumpulan Etnik orang ulu Sarawak yang terdiri daripada Lun Bawang, Lun Dayeh, Kayan, Kedayan Kenyah, Kajang, Kejaman, Penan, Punan, Ukit, Murut, Berawan, Kelabit dan lain-lain mempunyai kecantikan yang cukup luar biasa di Sarawak dan juga asia.

Boleh dikatakan kecantikan semuladi gadis-gadis dari kumpulan etnik tersebut salah satu keajaiban yang cukup mahal dan tidak ternilai di Sarawak dan Kepulauan Borneo secara amnya. Apa yang menariknya meskipun tanpa bersolek, kecantikan mereka tetap terselah dan tiada tolok tandingannya.

‪Selain mempunyai kecantikan yang semulajadi, mereka juga  memiliki aura memikat yang cukup luar biasa. Tidak dapat dinafikan lagi mana-mana jejaka yang terpandang gadis-gadis dari kumpulan etnik tersebut akan jatuh hati kerana kecantikan dan jelingan mereka bisa meruntuhkan iman. :)

Ahad, 17 Mei 2015

Asal Usul Nama Mukah

"Asal Usul Nama Mukah"

Tahukah anda asal usul nama Mukah wujud sekitar abad ke 17 apabila pedagang-pedagang yang datang ke Mukah untuk berniaga. Pada masa tersebut kawasan Mukah hanya dipanggilsebagai negeri ’Melano’ sahaja. Sungguhpun begitu kawasan Mukah telah diduduki oleh orang-orang Melano beratus-ratus tahun lamanya sebelum pemimpin bernama Tugau dikalahkan oleh orang-orang Brunei.

Pada suatu waktu datanglah kapal pedagang-pedagang dari Tanah Arab (Timur Tengah) ke kuala Sungai Melano (Sungai Mukah). Pedagang-pedagang dikatakan sampai ke kuala sungai pada waktu malam. Sebelum mereka dibenarkan masuk ke kuala, mereka terpaksa berlabuh di luar muara dahulu. Pada masa tersebut bulan sedang mengambang dengan indahnya di langit.

Nakhoda kapal dan anak-anak buahnya keluar ke haluan perahu untuk melihat kawasan sekitar pantai tersebut. Sedang mereka asyik menikmati pemandangan pantai Mukah, tiba-tiba mereka terpandang wajah seorang wanita di tepi pantai tersebut. Wanita tersebut sedang berdiri sambil memandang ke arah kapal mereka. Wajah wanita tersebut sangat cantik dipandang, sama seperti bulan yang sedang mengambang penuh.

Melihat wajah wanita tersebut, nakhoda dan anak-anak kapalnya seolah-olah terpukau oleh kecantikannya. Tidak lama kemudian wanita tersebut hilang dari pandangan mereka di celah pokok-pokok yang merimbun di pinggir pantai. Nakhoda tersebut terpegun seketika dengan pengalamannya itu. Keesokan paginya kapal tersebut pun masuk ke Mukah.

Nakhoda bertanyakan kepada penduduk apakah nama tempat tersebut. Orang tempatan menyatakan tempat tersebut tiada bernama dan hanya dipanggil sebagai kawasan Melano sahaja. Nakhoda tersebut lalu teringat akan wajah dan muka wanita cantik yang dilihatnya malam semalam. Lalu nakhoda kapal terfikir untuk menamakan kawasan tersebut sebagai ’MUKA’ sempena muka atau wajah perempuan cantik yang pertama dilihatnya semasa masuk ke kawasan itu.

Hal ini telah diberitahu kepada orang ramai dan mereka nampaknya bersetuju dengan nama yang diberikan. Lama kelamaan akibat perubahan masa dan pelat orang tempatan maka sebutan ’muka’ telah beralih kepada ’Mukah’.

Sabtu, 16 Mei 2015

"Lagenda Hantu Bangkit Di Kuching"

Boyan Kayong, satu legenda hantu bangkit (juga disebut sebagai orang kayong) yang cukup misteri di Sarawak. Ia dikaitkan dengan penduduk asal Kampung Boyan dan Kampung Gersik yang datangnya dari Pulau Boyan, Kabupaten Gresik di Jawa Timur. Terdapat versi lain yang menyatakan bahawa istilah kayong itu berasal dari bahasa Melanau di bahagian Matu Daro, dikaitkan dengan golongan perabangan, kisah ikan sebelah dalam masyarakat Melanau dan sebagainya. Tetapi menerusi sedikit pembacaan di laman sesawang, nama Boyan Kayong ini bermula di sebuah tempat di Indonesia.

"Pulau Boyan: Sejarah dan Fakta"

Boyan atau Bawean, merupakan gelaran penduduk yang berasal dari Pulau Boyan. Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' dan pulau ini dikenali sebagai Pulau Puteri kerana golongan lelaki keluar merantau ke segenap tempat di Nusantara. Di dalam pulau ini terdiri dari masyarakat Jawa dan beberapa kumpulan minoriti. Sebagai contoh, orang Aceh yang mendiami pulau ini dikenali sebagai Boyan Aceh. Orang Benua Kayong dari Kalimantan Barat yang mendiami pulau ini pula dikenali sebagai Boyan Kayong.

Penduduk Boyan antara golongan yang tekun berlayar dan merantau. Kebanyakan dari mereka berlayar ke Malaysia dan Singapura, meneruskan keturunan dan bermastautin. Menurut kajian Encik Khazin Mohd Tamrin dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 1988, bancian pada tahun 1947 menunjukkan populasi kemasukan orang Jawa ke Sarawak meningkat, khususnya di Kuching dan membina penempatan- seperti Kampung Jawa, Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan lain-lain. Kebanyakan penduduk Kampung Jawa dan Semarang berasal dari bahagian Jawa Tengah manakala penduduk Kampung Boyan dan Gersik pula berasal bahagian Jawa Timur dan Jawa Barat. Perbezaan penduduk Jawa pada penempatan dipengaruhi oleh keadaan semasa seperti pengaruh Belanda dan Inggeris pada awal 1900an dan juga empayar jajahan Jepun pada awal 1940an.

Boyan Kayong: Di sebalik Legenda.

Legenda Boyan Kayong ini kononnya bermula dengan kisah sebatang pokok kedondong gergasi yang membesar dari tahun ke tahun, menghalang cahaya matahari dan menyusahkan penduduk Boyan Kayong. Padahal selama ini Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' tetapi sejak pokok tersebut tumbuh, cahaya matahari semakin malap dan hasil tanaman tidak menjadi. Jadi, golongan lelaki Boyan Kayong memutuskan untuk menebang pokok kedondong tersebut tetapi usaha mereka tidak berhasil. Akhirnya, pokok kedondong itu bersuara pada hari ke-7dan memberitahu jika tubuhnya tumbang, sumpah bangkit akan bermula.

Walau bagaimanapun, penduduk tidak peduli. Pokok kedondong itu pun rebah ditebang dan penduduk mengadakan keramaian bagi meraikan kejayaan tersebut. Entah tiba-tiba, apabila menjelang malam, pokok kedondong bangkit semula selepas ditebang dan keesokan harinya, pokok itu ghaib. Sepertimana pokok tersebut bangkit selepas mati ditebang, penduduk di situ mula merasakan keanehan dalam hidup mereka. Sumpah pokok tersebut benar-benar terjadi, dan keturunan hantu bangkit pun bermula. Walaupun sumpah itu dikatakan mengejar selama 7 keturunan, ternyata sumpah itu masih berterusan sehingga ke hari ini.

Biasanya, keturunan Boyan Kayong dapat merasakan keanehan tersebut sebelum mati. Dikatakan, kebangkitan mereka dapat dihalang dengan mencucuk jarum emas pada hujung ibu jari kaki. Walaupun kesahihan perkara ini tidak dapat dipastikan dan ia kedengaran tahyul, semua kejadian ini datangnya dari kekuasaan Allah SWT. Wallahu'alam.

"Kisah Penglipur Lara Hantu Bangkit"

Kisah Satu

Hantu bangkit terkenal di Kuching pada era 70an dan 80an. Malah, semasa awal 90an, kisah ini masih berlaku, terutama sekali di Kampung Boyan dan Kampung Gersik. Pada sekitar tahun 70an, atuk admin (sebelah mak) suka bermukun dan menopeng. Aktiviti bermukun dan menopeng itu sering dianjurkan di Kampung Boyan. Pada suatu malam, atuk pergi ke Kampung Boyan sendirian menaiki perahu tambang dan aktiviti bermukun itu selesai pada lewat malam. Ketika atuk dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Cik Omar (kini dikenali sebagai Pangkalan Boyan), atuk dikejar oleh hantu bangkit yang bersuara sengau dan berbau busuk. Atuk berjaya melepaskan diri dengan bantuan pokok pisang dan kembali semula ke Pangkalan Batu dengan selamat.

Kisah Dua

Sambungan dari kisah di atas, hantu bangkit biasanya mengejar sambil memekik-mekik apabila terserempak dengan manusia. Dikatakan hantu bangkit akan menangkap dan memeluk manusia sehingga mati. Ada banyak cara untuk mengelakkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit. Sebagai contoh, bantal peluk jadi pengganti. Tetapi jika perkara itu berlaku di kawasan luar, orang tua-tua menyarankan agar mencari pokok pisang berhampiran bagi menyelamatkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit.

Kisah Tiga

Entah betul entah tidak, ciri-ciri keturunan Boyan Kayong yang asli dapat dilihat menerusi lekuk bawah mata yang sedikit lebam dan renungan mata yang suram. Kononnya, kita tidak boleh menerima hadiah pemberian atau memulangkan semula apa yang kita pinjam dari orang yang berketurunan Boyan Kayong kerana terdapat kemungkinan kitalah orang pertama yang akan dikunjungi oleh orang tersebut apabila menjadi hantu bangkit. Dikatakan hantu bangkit akan datang ke rumah pada sebelah malam (selepas kematiannya pada sebelah siang) dan memekik-mekik meminta barangnya dipulangkan. Ketika zaman kolonial British di Kuching (zaman kolonial bermula dari era 50an sehingga 70an), hantu bangkit ini dikenali sebagai Hamlet.

Hantu Bangkit vs. Boyan Kayong

Kisah hantu bangkit ini jarang didengari di Kuching. Mungkin keturunan Boyan Kayong itu sendiri cuba melupakan cerita ini, atau pemodenan serta teknologi telah menutup kisah-kisah tersebut. Walaupun kisah Boyan Kayong dilihat sebagai legenda dan sebahagian daripada mitos Sarawak, kejadian hantu bangkit adalah kisah benar yang pernah terjadi di Kuching. Keturunan Boyan Kayong itu sendiri biasanya tahu tentang perkara tersebut (FYI, tidak semua golongan perabangan berketurunan Boyan Kayong). Walaupun kejadian hantu bangkit ini berlaku terlebih dahulu di Sibu (pada era 50an) manakala di Kuching pula bermula pada era 70an, masalah ini ternyata berlanjutan lebih lama di Kuching. 

Mungkin amalan manusia dan menuntut ilmu yang salah menjadi punca legenda ini wujud dan menjadi ingatan.


Aktikel asal: themaidensgiedd.blogspot.com  

Jumaat, 15 Mei 2015

Sarawak Rangers- Pasukan Elit Pertama Asia

Sarawak Ranger – Pasukan Elit Pertama Asia Tenggara

Tahukah anda Sarawak Ranger atau lebih dikenali dengan nama The Headhunter Team adalah Pasukan Elite Pertama Asia Tenggara 1951. Mereka ini juga pernah mendapat mendapat pengiktirafan Pasukan Terbaik Dunia pada ketika itu oleh Sir Gerald Templer..

Antara kejayaan dan pengiktirafan :
1. Pasukan Penjejak Terbaik Dunia – menewaskan pasukan komunis ketika zaman darurat disekitar Temasik ( Singapura), Malaya ( Sem. Malaysia ), Siam ( Thailand ).

2. Sebilangan nya pernah dihantar ke Vietnam bagi membantu tentera Amerika menentang Viet Kong pada ketika itu.

3. Pasukan yang mempunyai taktik serangan gerila paling digeruni pada ketika itu,hinggakan pasukan elite British SAS ( Special Air Service ) tidak mampu menandingi pasukan ini pada ketika itu,dan sebilangan jurulatih SAS ini mendapat latihan tidak formal dari pasukan ini.

4. Pasukan ini juga yang mampu menewaskan PARAKU / tentera Indonesia yang kebanyakannya kebal / halimunan / mampu menghilangkan diri ketika era kofantrasi. Pernah diakui oleh mantan presiden indonesia pada ketika itu Sukarno – ” Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa ... banyak yang bercerai badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia”.

5. Warisan pasukan ini juga bertanggungjawab dalam menjaga keamanan ketika rusuhan kaum pada 13 Mei, kerana kebanyakkan mereka berpendirian natural tidak menyebelahi mana-mana kaum.

6. Pasukan ini juga merupakan satu-satunya pasukan keamanan di dunia yang mempunyai kepakaran dalam pertempuran jarak dekat. – diakui oleh KOPASUS ( Tentera elite Indonesia ).

Sumber: ATM

Khamis, 14 Mei 2015

AHLI PARLIMEN MIRI CEDERA DIPUKUL DENGAN KAYU BASEBALL

AHLI PARLIMEN MIRI CEDERA DIPUKUL DENGAN KAYU BASEBALL

MIRI, 15 Mei 2015 -- YB Dr. Michael Teo Yu Keng, Ahli Parlimen Miri yang juga Pengerusi PKR Cabang Miri ditemui cedera di hadapan kliniknya di Jalan Sri Dagang sebentar tadi. Beliau dikatakan telah dipukul oleh individu yang tidak dikenali menggunakan sebatang kayu baseball pada pukul 8.15 pagi tadi.

Ahli Parlimen Miri ini dikhabarkan mengalami patah tulang, namun laporan terperinci pemeriksaan setakat ini masih belum didedahkan. Teo telah dipukul dengan sebatang kayu baseball dari arah belakang oleh suspek yang memakai helmet dan telah melarikan diri dengan sebuah kereta yang tidak mempunyai nombor pendaftaran. Suspek kini sedang dicari berdasarkan maklumat yang diberikan oleh orang awam.

Manakala Teo kini telah mendapatkan rawatan di Hospital Miri dan ditemani oleh ahli keluarga beliau.

Sumber: The Grand Old Lady

10 fakta menarik mengapa Sarawak unik dalam konteks perpaduan

10 fakta menarik mengapa Sarawak unik dalam konteks perpaduan"

1. Di Sarawak Masjid dan Gereja boleh didirikan sebelah-menyebelah.

2. Satu keluarga selalunya terdiri daripada lebih daripada satu suku kaum etnik dan pegangan agama.

3. Jika kita pergi ke pasar basah/Market/Tamu, kita akan nampak ada tempat khusus untuk peniaga bukan Islam menjual daging khinzir.

4. Orang Islam tidak takut duduk di kedai makanan orang bukan Islam dan mereka akan memesan air kotak atau air tin.

5. Semasa perayaan, semua kaum dan agama sentiasa kunjung mengunjung dan saling mengucap selamat.

6. Orang Islam tiada masalah untuk bertandang ke Gereja untuk menghadiri majlis perkahwinan atau kematian sanak-saudara mereka. Mereka akan duduk di satu tempat khas dan tidak mengikut ritual yg dilakukan.

7. Di Sarawak tiada bangsa yang dianggap elit dan tiada agama rasmi.

8.Orang Islam diterima masuk ke sekolah Mubaligh Kristian dan tiada kes yg dilaporkan yang mereka bertukar agama atau murtad

9. Kaum cina dan migrant lain tidak pernah disisihkan dan mereka diberi peluang yg adil untuk sama-sama hidup sebagai bangsa Sarawak.

10. Golongan muda Sarawak atau golongan berpendidikan selalunya mahir dan menguasai lebih daripada tiga bahasa atau dialek. -Kamek Miak Sarawak-

Misteri Hantu Janet

Bila ditanya masyarakat Sarawak (khususnya Kuching) mengenai hantu, hantu yang paling popular sekali adalah Hantu Janet. Hantu Janet adalah hantu yang kecoh menganggu penduduk Kucing (sehingga kini juga masih ada kes-kes yang direkodkan). Sungguhpun demikian, asal-usul Hantu janet ini mempunyai banyak versi. Di sini kita ceritakan versi yang pertama.

Kisah Hantu Janet mula muncul di Sarawak sekitar tahun 70an. Janet adalah seorang gadis cina yang hilang dipercayai diculik sekitar penghujung 60an atau awal 90an. Janet dipercayai bekerja sebagai jururawat di hospital umum kuching.Ada juga sumber-sumber menyatakan Janet adalah anak kepada salah seorang doktor yg bertugas di Hospital Umum. Satu Kuching heboh mengenai kes culik yg semakin berleluasa pada masa itu dipercayai ada kaitan dengan pembinaan jambatan Satok.

Kepala orang yg diculik akan dipengal utk dijadikan semah kepada penunggu yg sering menghalang pembinaan jambatan Satok.Bila kerja pembinaan tergendala disebabkan sesuatu masalah, bermakna penunggu meminta korban untuk di-semah.

Maka mereka-mereka yang terlibat mula mencari mangsa. Selalunya mereka mencari gadis perawan untuk dijadikan korban. Hanya kepala mereka sahaja yang akan digunakan (biasanya ditanam dalam tiang kongkrit)Cerita mengenai hantu Janet mulai hangat apabila penduduk kampung disekitar Bandaraya Kuching dari Bintagor ke Kudei hidup dalam ketakutan kerana mereka sering terserempak dengan seorang wanita yang berbaju merah, berkasut merah dan membawa payung berwarna merah juga.

Wanita itu sering merayau-rayau di dalam kampung untuk menarik perhatian golongan lelaki khususnya untuk diajak menonton wayang. Janet semasa hayatnya dipercayai suka menonton wayang midnight. Sering kali pekerja dipanggung wayang menerima kehadiran seorang wanita berbaju serba merah pada waktu tengah malam untuk menonton wayang.

Wang yg diberikan bertukar menjadi daun atau duit cina mati pada keesokkan harinya.Hantu Janet menjadi satu fenomena misteri yang sangat ditakuti, sehingga penduduk-penduduk Kuching sampai enggan menyebut namanya. Jika disebut, maka hantu Janet pasti akan menganggu mangsa tersebut di waktu malam

Adenan jumpa barisan kabinet sebelum serap GST atau tidak

SIBU, Selasa – Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan menemui anggota barisan kabinet negeri sebelum memutuskan sama ada kerajaan Sarawak akan menyerap semua Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya akan berbincang dengan anggota kabinet saya kemudian," katanya ketika diminta mengulas langkah beberapa kerajaan negeri menyerap GST yang dikenakan oleh PBT di negeri masing-masing. Adenan berkata, demikian selepas merasmikan Menara Rimbunan Hijau dan Kilang Penapisan Minyak Sawit Lassa milik Kumpulan Rimbunan Hijau di Pusat Suria Permata di sini sempena sambutan ulang tahun ke-40 syarikat konglomerat itu. Setakat ini, Terengganu dan Pulau Pinang mengumumkan akan mengikut jejak langkah Johor menyerapkan GST yang dikenakan oleh PBT terhadap perkhidmatan yang disediakan kepada rakyat.

Selangor pula mengumumkan akan akan membuat keputusan berhubung perkara itu setelah Unit Perancang Ekonomi Negeri selesai manjalankkan kajian mengenai implikasi kewangan. Berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 375 akaun syarikat serta individu bernilai lebih RM560 juta kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pembalakan haram di Sarawak, Adenan berkata ia menunjukkan betapa seriusnya beliau memerangi aktiviti haram itu. "Sebelum ini, saya sudah menyatakan saya ini serius dalam hal ini.

Jangan main-main dengan saya," katanya. Dalam ’Ops Gergaji’ dua hari lepas, SPRM membekukan akaun syarikat dan individu serta menyita lebih 500 batang kayu balak selepas menyerbu 27 kilang papan dan kolam balak serta 21 premis perniagaan di negeri itu.

Terdahulu dalam ucapan pada majlis sambutan itu, Adenan memuji Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rimbunan Hijau, Tan Sri Tiong Hiew King, atas usaha gigih beliau dalam membina syarikat konglomerat itu sejak 40 tahun lepas. Kumpulan itu merupakan salah satu syarikat multi industri terbesar Malaysia yang berjaya melakar nama di Australia, British Guyana, Kemboja Kanada, China, Equatorial Guinea, Gabon, Hong Kong, Indonesia, Korea Selatan, Myanmar, New Zealand, Papua New Guinea, Rusia, Singapura dan Amerika Syarikat.

Kumpulan, yang mempunyai hampir 100,000 pekerja di seluruh dunia, terlibat dalam industri perhutanan, perladangan kelapa sawit, media, teknoloji maklumat dan komunikasi serta industri hospitaliti.

Rabu, 13 Mei 2015

Akaun RM4 juta menteri muda Sarawak dibeku

Seorang menteri muda Sarawak disiasat berhubung aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak pembinaan bangunan kerajaan Baitul Makmur II bernilai lebih RM250 juta.

“Berikutan siasatan ini, beberapa akaun bank bernilai RM 4 juta milik menteri muda tersebut telah dibekukan, ” kata pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mohamad Jamidan Abdullah .

Dalam kenyataannya hari ini, Jamidan juga berkata seorang peniaga 50-an turut disiasat.

Dia merupakan pengarah syarikat yang terlibat dalam projek pembinaan bangunan 16 tingkat tersebut.

“Selain mereka, beberapa pihak lain juga akan dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

"Sejarah asal usul nama Bintulu"

Nama 'Bintulu' diambil bersempena nama sungai Mentulau - yang bererti 'kepala'(ulau) dalam dialek Melanau Bintulu. Sebagaimana yang telah kita ketahui, pada zaman dahulu, antara aktiviti yang dilakukan oleh penduduk di sini ialah memotong kepala musuh yang mengancam keselamatan diri dan keluarga mereka. Setelah dibunuh, kepala tersebut diambil, disalai (pengawetan) dan disimpan sebagai satu kemegahan dan tanda keperwiraan.

Tidak berapa jauh dari hulu Sungai Sebiew, ada dua orang bersaudara yang bernama Bernik dan Jelab, serta beberapa orang pengikutnya, membina rumah berhampiran sungai kecil yang mempunyai tebing yang rata dan luas. Pada mulanya, sungai tersebut tidak bernama. Sungai tersebut diberi nama Mentulau kerana di situlah tempat Bernik, Jelab dan pengikut-pengikut mereka menyalai kepala. Lama-kelamaan perkataan MENTULAU ini bertukar menjadi BINTULU dan bersempena nama sungai itu, daerah ini dinamakan sebagai Bintulu.

Menurut sumber lain, nama Bintulu diambil sempena perkataan 'metuk ulau' dalam dialek Melanau Bintulu yang bererti mengambil kepala yang dibuang di sungai. Begitulah serba-sedikit sejarah bagaimana Bintulu mendapat nama.

Cukupkah Gaji RM800 sebulan untuk sara keluarga di Sabah dan Sarawak?

Oleh: Edgar Ong

Sejak Perintah Gaji Minimum Malaysia 2012 berkuatkuasa pada 1 Januari 2014, gaji terendah bagi semua pekerja di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan ditetapkan pada RM800 sebulan, manakala di Semenanjung RM900 sebulan. Ini bermakna gaji minimum di Malaysia Timur adalah pada kadar RM3.85 sejam, atau jika ditukar kepada dolar Amerika hanyalah tinggi sedikit daripada US$1. Berikut adalah sedikit perbandingan gaji per jam dengan jiran-jiran kita, daripada terendah kepada tertinggi menurut Wikipedia (dalam US$): India – US$0.25; Vietnam – 0.29; Indonesia – 0.50; Filipina – 0.72; China – 1.21; Thailand – 1.22 Singapura – 3.80.

Kadar kita memang lebih tinggi berbanding 4 negara terendah, dan hampir menyamai China dan Thailand. Namun kita jauh di belakang Singapura – seperti yang dijangka. Apakah yang mampu dibeli dengan RM800 sebulan di Sabah dan Sarawak? Jika seseorang itu tinggal bersama keluarganya (iaitu masih tinggal dengan ibubapa ataupun saudara) dia tidak perlu membayar sewa atau elektrik, air atau lain-lain bil seperti telefon dan internet.

Tetapi beliau mungkin masih perlu menyumbang sedikit sebanyak – apa yang termampu. Jika dia tinggal sendiri namun bergaji sekali ganda, dan memiliki isteri yang turut berkerja dengan gaji yang sedikit lebih tinggi – maka dia adalah salah seorang yang bernasib baik. Malah individu itu mungkin memiliki sebuah kereta, menyewa sebuah rumah kecil atau memiliki keluarga. Namun, itu bermakna dia tidak mempunyai banyak lebihan gaji setiap bulan untuk dijadikan simpanan.

Mari kita lihat secara hipotesis bagi kes biasa; seseorang individu yang bergaji RM800 dan perlu menyara keluarga, di mana isterinya tidak bekerja kerana perlu menjaga sendiri anak yang masih kecil, memandangkan tiada ahli keluarga lain yang boleh membantu menjaganya. Katakanlah dia memiliki sebuah motosikal biasa yang digunakan untuk pergi bekerja, yang dibayar secara bulanan, dan tidak lupa belanja petrol.

Dia kemudian menyewa sebuah flat dua bilik, dengan bil elektrik dan air, serta perbelanjaan makanan, pakaian dan keperluan lain. Tidak banyak yang berbaki daripada gaji RM800 yang diperolehinya. Kebanyakan yang lebih berdaya usaha dan memiliki kemahiran biasanya akan cuba menambah pendapatan dengan cara tertentu – dia atau isteri barangkali pandai memasak atau membuat kuih, maka mereka akan menjual hasil itu di pasar malam.

Ada juga yang membuat kelas tuisyen matematik atau lukisan kepada anak-anak jiran mereka. Bagi yang pakar dalam bidang komputer, dia akan membaiki secara sambilan kepada kawan-kawan. Warga Malaysia biasanya akan mencari jalan untuk menambahkan pendapatan, dan rakan serta keluarga akan sentiasa membantu mereka dengan mendapatkan pelanggan atau memberi cadangan tentang peluang-peluang lain.

Namun, walau dengan ‘pendapatan tambahan’, ia juga bermakna kebanyakan yang di dalam kategori gaji minimum tidak akan mempunyai lebihan wang untuk hal-hal selain daripada keperluan asas – maka liburan seperti menonton wayang, makan di luar atau membawa anak berjalan-jalan ke taman tema pasti tidak lagi menjadi pilihan. Malaysia perlu melihat sedalam-dalamnya dan secara realistik tentang apa yang perlu diperbaiki dalam dasar gaji minima ini.

Kesatuan sekerja pernah mencadangkan agar ia dinaikkan kepada RM1,200 bagi Semenanjung, dan RM1,100 di Sabah dan Sarawak. Kerajaan tidak menerima cadangan itu, walaupun kenaikan 30 peratus itu bukanlah banyak dan belum sejajar dengan situasi sebenar. Hakikatnya kenaikan harga melanda hampir setiap barang sejak beberapa bulan lalu, dan kemungkinan besar harganya akan kekal begitu.

Kita kini berhadapan keadaan di mana golongan yang berpendapatan rendah terjejas teruk akibat dua masalah berganda, pelaksanaan GST dan kejatuhan nilai ringgit yang teruk. Ini telah memberi kesan besar kepada kehidupan mereka yang berada di dalam kategori gaji minima.

Satu per tiga, atau 33.8 peratus (daripada perangkaan 2010) daripada seluruh pekerja di Malaysia berada dalam kategori itu! Jika kita tidak melakukan sesuatu untuk menyelesaikan keadaan ini, atau membuat penilaian semula dengan segera, ditambah pula dengan isu harga barang yang masih melanda – tidak mengejutkan jika golongan satu per tiga ini akan bangkit besuara, dengan apa sahaja cara. Apabila tibanya saat itu, siapa tahu, nasi sudah menjadi bubur – dan anda rasa siapakah yang bersalah?

Selasa, 12 Mei 2015

"Asal Usul Perkataan Bidayuh"

Asal Usul Perkataan BIDAYUH

Dalam bahasa Bidayuh, ‘Bi’ bermaksud ‘orang’ dan ‘Dayuh’ bermaksud ‘Darat’. Oleh itu, Bidayuh bermaksud ‘Orang Darat’. Bidayuh dikenali sebagai Dayak Darat oleh orang Eropah pada masa dahulu untuk membezakan mereka daripada masyarakat Iban (Dayak Laut). Bagi Dayak Laut, perkataan ‘Laut’ digunakan disebabkan mereka sudah pandai menggunakan perahu walapun tinggal di pedalaman. Tidak seperti orang Bidayuh, mereka tiada kemahiran menggunakan perahu semasa kedatangan orang Eropah.

Bijagoi dan Bisingai di Daerah Bau

Bijagoi dan Bisingai ialah dua kumpulan sub etnik Bidayuh yang berbeza tetapi disatukan kerana tinggal di daerah yang sama iaitu Daerah Bau. Bijagoi berasal dari Gunung Bratak, iaitu tempat asal masyarakat Bidayuh yang bermigrasi dari Sungkung, Kalimantan Barat. Sekitar tahun 1838, Bijagoi berpindah dari Bung Bratak ke Gunung Jagoi disebabkan serangan orang Iban Skrang dari Sri Aman. Bijagoi tinggal di puncak Gunung Jagoi yang berketinggian 1,162 kaki dari aras laut. Oleh sebab itu mereka dikenali sebagai Bijagoi, yang bermaksud “orang-orang Gunung Jagoi”.

Bisingai mendapat nama dari Panglima Ma Ganai @ Rangai, iaitu Panglima (Togung) yang memimpin pengikutnya dari Sungkung ke Gunung Singai. Pada mulanya, mereka menamakan Gunung Singai sebagai ‘Dorod Gonai’. Akan tetapi mereka memanggilnya sebagai ‘Dorod Singai’ sehingga kini.

Terdapat 5 kumpulan Bidayuh Bau
1.Kumpulan Singai
2.Kumpulan Jagoi/ Bratak
3.Kumpulan Serembu (Birois)
4.Kumpulan Gumbang
5. Kumpulan Tringgus

BUKAR-SADONG

Sub-etnik Bidayuh terbesar ialah Bukar Sadong, yang tinggal di Daerah Serian. Bidayuh Bukar dan Sadong merupakan dua kumpulan yang berlainan tetapi tinggal dalam daerah yang sama, iaitu Serian. Bidayuh Bukar mendapat nama dari perkataan ‘kakar’ yang bermaksud ‘kotor dan sungai yang berlumpur’. Bukar juga nama bagi Sungai. Bibukar tinggal berhampiran dengan Batang Samaharan.Pada masa dahulu, nenek moyang mereka bermigrasi dari Sungkung/ Bugau dan seterusnya ke Tembawang Rutoi. Seterusnya, mereka berpindah ke kawasan baru yang berhampiran dengan sungai dan Gunung Sadong. Lama-kelamaan, sungai tersebut kotor disebabkan haiwan liar dari hulu sungai. Dari peristiwa inilah nama ‘bukar’ wujud.

Bidayuh Sadong mendapat nama sempena Batang Sadong dan Gunung Sadong iaitu sungai dan gunung utama di Serian. Mereka tinggal di sepanjang Batang Sadong termasuklah Batang Kayan, Sungai Kedup, Sungai Suhu dan Sungai Robin yang berhampiran dengan Gunung Sadong. Kumpulan Bidayuh Sadong terdiri daripada beberapa kumpulan kecil. Lazimnya, Bidayuh Bukar-Sadong dikenali sebagai Bidayuh Serian kerana mereka tertumpu di DaerahSerian.

Terdapat 15 kumpulan yang membentuk sub-etnik Bukar-Sadong:

1.Kumpulan Bukar
2.Kumpulan Sambat
3.Kumpulan Mentu
4.Kumpulan Sumpas
5.Kumpulan Temong
6.Kumpulan Taup.
7.Kumpulan Engkeroh.
8.Kumpulan Riih
9.Kumpulan Gahat (Semabang)
10. Kumpulan Suntas
11. Kumpulan Kujang
12. Kumpulan Prangkan
13. Kumpulan Sangai
14. Kumpulan Daha
15. Kumpulan Tepoi
**Kumpulan Tepoi bukannya berasal dari Serian, tetapi berasal dari kumpulan Biannah di Padawan.