Isnin, 20 Februari 2017

Suspek kes rogol pelajar tingkatan 4 ditahan polis di Sibu


TAHAN: Suspek (kiri) diiringi anggota polis ke balai selepas ditahan di tempat kerja tengah hari semalam.

SIBU: Polis menahan seorang pemuda bagi membantu siasatan kes rogol terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di sini.

Suspek berusia 28 tahun itu ditahan di tempat kerjanya tengah hari semalam.

Terdahulu, seorang suri rumah berusia 33 tahun tampil membuat laporan polis selepas anak perempuannya menceritakan ketelanjurannya dengan suspek.

Mangsa mendakwa telah berkenalan dengan suspek sejak Disember tahun lalu.

Sepanjang perkenalan mereka, mangsa mendakwa pernah melakukan hubungan seks dengan suspek.

Kali pertama dan kedua berlaku pada Januari tahun ini dan terbaharu awal bulan ini.

Dalam pada itu, siasatan lanjut dilakukan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -UB

2 lelaki ditangkap kerana menyamar sebagai pegawai polis di Petrajaya

KUCHING: Dua lelaki ditangkap apabila menyamar sebagai pegawai polis dan merompak dua warga Indonesia di Lorong Haji Babel, Kampung Semariang, Petrajaya semalam

Dalam insiden sekitar 11.30 pagi itu, kedua-dua warga Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan didatangi dua 'pegawai polis' menaiki motosikal di kediaman sewa mereka.

Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, dua suspek dikatakan cuba meminta duit dan pasport daripada mangsa.

Bagaimanapun apabila mangsa enggan menyerahkannya, suspek kemudian mengambil beberapa barangan seperti radio dan seutas gelang dan cuba melarikan diri.

Mereka bagaimanapun berjaya diberkas penduduk kampung apabila terdengar jeritan mangsa, dan menyerahkan suspek kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek seperti motosikal, kerambit, set radio, telefon bimbit dan alat gerudi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek juga positif dadah jenis syabu dan mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. -UB

Ahad, 19 Februari 2017

Enam sekeluarga ditawan perompak bertopeng di Serian

SERIAN: Enam sekeluarga ‘ditawan’ selepas rumah mereka di sini dimasuki sekumpulan lelaki yang dipercayai warga Indone­sia, dalam satu kejadian di Kampung Lintang Baru, di Pancor, Batu 28, Jalan Kuching-Serian awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dike­jutkan dengan kehadiran empat lelaki yang bertopeng muka.

Kumpulan itu menggele­dah rumah mangsa sebelum melarikan pelbagai barang seperti komputer riba, tel­efon bimbit, barang kemas, jam tangan, wang tunai serta sebuah kenderaan jenis pikap.

Ketua Polis Daerah (KPD) Serian DSP Aswandy Anis berkata, kejadian itu turut menyaksikan kumpulan ber­empat tersebut bersenjatakan pisau yang dipercayai diambil dari rumah mangsa.

“Dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng muka tersebut mengikat ahli keluarga seramai empat orang yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita manakala dua lagi kanak-kanak tidak diganggu,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian tersebut.

Polis telah menjalankan sia­satan di tempat kejadian dan operasi menjejaki kumpulan perompak berkenaan sedang giat dijalankan. -UB

Sabtu, 18 Februari 2017

Atas Permintaan Ramai, Nokia 3319 Bakal Kembali Dengan Versi Lebih Moden

Siapa sangka selepas 17 tahun dilancarkan, Nokia bakal melancarkan semula model ikonik mereka iaitu Nokia 3310.

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan pertama kali sebuah model dilancarkan semula setelah hampir 2 dekad mula dijual di pasaran.

Buat bekas pengguna Nokia 3310 atau yang pernah menggunakan model ini setidaknya bermain game Snake II, pastinya anda tahu betapa lasaknya telefon ini. Tidak hairanlah telefon ini mempunyai pelbagai gelaran sesuai dengan sifatnya yang tidak rapuh seperti smartphone model terkini.

Dikatakan Nokia 3310 yang bakal dilancarkan tidak lama ini bakal hadir dengan versi yang sedikit moden. Spesifikasi apa yang bakal dikemaskini masih menjadi rahsia buat Nokia sebelum mula dilancarkan kepada umum.

Memandangkan Nokia 3310 ini sudah mempunyai ‘peminat’ yang tersendiri, Nokia merancang untuk mengeluarkan model ini dengan harga yang sedikit mahal berdasarkan spesifikasi yang ditawarkan.

Harga yang diumumkan adalah sekitar€59 (~RM279.09). Sememangnya harga yang masih mampu milik buat mereka yang ingin mengembalikan nostalgia menggunakan Nokia 3310.

Sama-sama kita nantikan bagaimana Nokia bakal bawakan semula model 3310 yang dikatakan versi lebih moden yang bakal diumumkan hujung Februari ini. Kami harap Nokia masih kekalkan composer. Sebuah aplikasi untuk menggubah lagu monotone. Terubat juga rindu kami sebagai bekas pengguna. -The Vocket

Jumaat, 17 Februari 2017

Bayaran BR1M Secara Baucar Mulai Esok, Bayaran Ke Akaun Bank Pada 22 Februari

KUALA LUMPUR, 17 Feb: Pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara baucar bagi tahun ini akan dibuat mulai esok manakala pembayran secara terus ke akaun bank akan dibuat pada 22 Februari ini.

Menurut kenyataan Seksyen Komunikasi Korporat, Bahagian Strategi Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan, bagi penerima BR1M yang tidak memberi maklumat berkaitan akaun bank, baucar BR1M akan dihantar secara pos ke alamat kediaman dan baucar itu boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Menurut kenyataan itu orang ramai yang ingin bertanya atau membuat semakan berkaitan BR1M boleh menghubungi talian hotline BR1M di talian 1-800-88-2716.

Khamis, 16 Februari 2017

BR1M: Lebih 5.15 Juta Akan Terima Bayaran Pertama Sabtu Ini

Kuala Lumpur, 16 Feb - Perdana Menteri, Najib Razak berkata kerajaan menerima sebanyak 8,277,391 permohonan bagi BR1M dan 5,153,238 permohonan telah diluluskan setakat ini.

Pembayaran pertama pula akan diagihkan bermula 18 Februari ini.

"Insya-Allah, bermula 18 Februari, bayaran pertama bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M akan mula diagihkan kepada mereka yang telah memohon dan layak menerimanya.

"BR1M adalah antara mekanisme utama penyampaian bantuan subsidi bersasar yang digunapakai bagi menggantikan sistem subsidi pukal sebelum ini yang kurang berkesan dan mengalami banyak ketirisan.

Tambah Najib lagi, baki permohonan yang belum lulus (3,123,950) kini dalam proses dan keputusan akan diumum pada Mac.

"Baki permohonan yang belum lulus sebanyak 3,123,950 pula kini berada dalam pemprosesan dan keputusan kelulusan dijangka akan diumumkan pada bulan Mac 2017 kelak.

"Dari segi peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah daripada golongan 21 hingga 30 tahun serta yang berumur 61 tahun dan ke atas. Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1200, manakala 243,434 bagi bantuan RM900, dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450." kata Najib menerusi blognya.

Rabu, 15 Februari 2017

Parti Pembangkang Dari Malaya Tidak Memberi Manfaat- Lina Soo



LUNDU: Parti Reformasi Negeri (STAR) hari ini mengeluar kenyataan bahawa parti pembangkang dari Malaya tidak memperjuangkan suara rakyat Sarawak pada hakikat sebenarnya.

Presiden STAR Lina Soo, membidas kenyataan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang mengatakan BN akan menang di Tanjong Datu.

"Parti pembangkang dari Malaya ini adalah pengecut.

"Mereka tidak berani membuat keputusan untuk bertanding di sini kerana masih bergantung kepada keputusan kepimpinan pembangkang pusat," katanya kepada media.

Soo turut menegaskan supaya parti pembangkang tersebut berdiam diri kerana mereka tidak berani disebabkan takut untuk kalah.

"Pada hal mereka telah mempertikai demokrasi yang menjadi amalan rakyat.

"Inilah sebenar sikap parti pembangkang dari Malaya yang tidak memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.

Tambah Soo, parti berkenaan hanya memperjuangkan agenda kepimpinan di pusat dan bukan bersuara mewakili rakyat Sarawak. - Sarawakiana

Kerana Tekanan Perasaan Suami Tembak Isteri Sendiri Di Bintulu

Bintulu- Seorang suami yang dipercayai sedang mengalami tekanan perasaan menembak isterinya sendiri dengan senapang patah jenis Bekakok.

Kejadian berlaku jam 4.00 pagi semalam di sebuah rumah kebun di Bukit Kana Ulu, Sangan, Tatau Bintulu ketika isterinya sedang tidur bersama dua anak mereka berusia 8 thn dan 6 thn.

Akibat terkena tembakan tersebut, Meni Ak Jemat, 21 thn mengalami kecederaan pada lengan tangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superitendan Polis Dennis Bunyam, suami mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher dipercayai tindakannya mengelar leher sendiri dengan sebilah parang.

Siasatan awal polis mendapati lelaki keturunan Beketan, berusia 30 thn itu pernah mengalami tekanan perasaan berdasarkan pemeriksaan ke atas rekod perubatannya.

Sepasukan anggota yang tiba di lokasi kejadian merampas selaras senapang patah, satu kelongsong peluru, sebutir peluru hidup dan sebilah parang sebagai bahan kes.

DSP Dennis menambah motif kejadian belum diketahui. Polis meneruskan siasatan kejadian tersebut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Meni dan suaminya menerima rawatan di hospital Bintulu dan keduanya dilapurkan stabil.

Selasa, 14 Februari 2017

Burung Ungu Trash Dove Kegilaan Netizen Menjadi Viral Di Laman Sosial




BAGAIKAN satu kegilaan apabila laman sosial Facebook semalam dihujani sticker baharu seekor burung berwarna ungu menganggukkan kepalanya yang dikongsi berulang kali dalam hampir semua perkongsian.

Menurut laporan The Verge, beberapa laman Facebook rasmi untuk organisasi seperti Vox, Polygon, Business Insider malahan laman berita CNN, BBC juga dipenuhi komen yang mengandungi sticker berkenaan.

Dalam sebuah artikel milik New York Times, seorang pelayar menggunakan sticker tersebut sebanyak 92 kali!

Difahamkan, penggunaan sticker yang dikenali sebagai 'Trash Doves' tersebut mula tular di Thailand, awal bulan ini.

Walaupun sebahagian pelayar menganggap penggunaan sticker tersebut secara berlebihan adalah kelakar, ia juga dianggap biadap apabila digunakan pada berita berkenaan dengan kematian.

"Apa kena dengan semua orang yang gunakan sticker mengarut ini? Terlalu ramai yang 'spam' sticker ini tak kira pada apa jenis berita," kat Menka laman Facebook berita, Daily Mail.

"Semoga dapat hidayah," kata Pak selepas seorang pelayar menggunakan sticker tersebut pada berita mengenai kematian.-SH

Wanita Ditahan Polis Sembunyi Syabu Dalam Coli Di Miri

Miri: Seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun ditahan polis selepas dikesan menyembunyi syabu di dalam colinya ketika menerima rawatan di Hospital Miri.

Perkara itu terbongkar selepas suspek menanggalkan pakaiannya untuk menjalani pembedahan akibat kandungan luar rahim pada jam 10.44 malam. Ketika suspek menjalani rawatan, pihak hospital menemui lapan paket syabu seberat 30.6 gram di dalam coli suspek seterusnya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Suspek kini masih dirawat hospital Miri dan masih dalam siasatan pihak polis.

Isnin, 13 Februari 2017

ABANG ROGOL ADIK SENDIRI SEHINGGA MENGANDUNG DITAHAN POLIS DI BETONG

BETONG : Gara-gara melahirkan anak dalam kereta, kisah abang rogol adik di Betong terbongkar semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontingen Sarawak, SAC Dato Dev Kumar, kes ini diketahui umum apabila seorang remaja berumur 17 tahun mendapatkan rawatan selepas bersalin di hospital Sri Aman pagi semalam.

Hasil temuduga dengan mangsa mendapati, beliau telah dirogol oleh abang kandungnya sendiri sejak bulan april tahun lepas di sebuah sekolah dekat Pusa, Betong.

SAC Dato Dev yang dihubungi pemberita RTM mengesahkan kes berkenaan di Kuching.

Malah beliau turut menyembunyikan kandungan terbabit dari pihak hospital sehingga melahirkan anak lelaki di dalam kereta semalam.

Hasil laporan ini telah membawa kepada penangkapan abang kandung mangsa yang berumur 35 tahun di sebuah rumah dekat Debak pada pukul 6.40 petang semalam.

Kes disiasat dibawah seksyen 376, B kanun keseksaan, bagi sumbang mahram.

Sabtu, 11 Februari 2017

Penyokong Pulau Pinang Mengamuk Selepas Kalah kepada Sarawak



BATU KAWAN – Kekalahan pasukan Pulau Pinang pada aksi Liga Super menentang Sarawak malam tadi, menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan, di sini.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat.

Sebelum itu ketika di dalam stadium sejurus perlawanan tamat, mereka turut menjerit kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

Mereka kemudian berkumpul di luar stadium selepas pasukan RELA dan anggota polis tidak membenarkan mereka berada di perkarangan stadium, sambil bertempik kerana tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Mereka turut membaling botol air mineral dan mercun ke arah pasukan RELA dan anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk stadium.

Tindakan agresif penyokong pasukan itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Shamsuddin Mamat yang turut berada di stadium, berkata keadaan terkawal dan kesemua mereka telah diarahkan untuk bersurai.

Beliau berkata setakat ini, tidak ada tangkapan dilakukan.

Pada aksi malam ini, Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak, iaitu kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga, setakat ini. – BERNAMA

Jumaat, 10 Februari 2017

BR1M Akan Ditambah Jika Harga Minyak Naik

KERAJAAN sedia menambahkan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekiranya harga minyak petrol melebihi paras RM3 seliter.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menegaskan, kerajaan memahami tekanan kos sara hidup yang dihadapi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Golongan B40 terdiri daripada golongan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

"Kerajaan akan terus memantau harga minyak petrol di pasaran. Sekiranya harga terus meningkat dan pendapatan negara bertambah, kerajaan mungkin akan mempertimbangkan untuk terus membantu golongan yang berpendapatan rendah.

"Sekiranya harga minyak terus naik melebihi RM3 seliter, kami faham keadaan yang bakal dialami oleh golongan B40 ini. Kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme," kata Johari seperti yang dipetik dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, BR1M sebanyak RM1,200 pada masa itu tentunya tidak mencukupi lagi, oleh itu kerajaan akan meningkatkan jumlah bantuan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. Bagaimanapun, sekiranya harga minyak merosot, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. 

Johari turut berkata, kerajaan juga mengkaji pelaksanaan di beberapa negara maju dengan membiarkan harga minyak terapung dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

“Apabila kerajaan membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada penggiat industri minyak dan gas mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, itu terpulang kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti. 

"Namun sebelum melaksanakannya, kerajaan perlu mengkaji apa kesan dan akibatnya kelak,” katanya. -SH

Gerhana Bulan Penumbra pagi esok




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan sebahagian daripada fasa Gerhana Bulan Penumbra pada jam 7.25 pagi esok.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, fenomena itu dapat disaksikan di Malaysia seawal jam 6.34 pagi dan berakhir pada 10.53 pagi.

Menurut agensi itu, Gerhana Bulan Penumbra berlaku apabila bulan memasuki bayang-bayang penumbra bumi dan kelihatan sedikit gelap.

"Matahari, bumi dan bulan berada dalam kedudukan yang mana bulan membelakangi bumi dan hanya menerima sebahagian daripada bayang-bayang bumi jatuh ke atas bulan.

"Oleh itu, sukar membezakan antara bulan penuh normal dan Gerhana Bulan Penumbra.

 

"Agak sukar juga melihat perubahan di permukaan bulan ketika fenomena ini.

 

"Ia mungkin kelihatan lebih jelas dengan bantuan peralatan seperti teleskop atau binokular. Faktor cuaca turut mempengaruhi," katanya.

ANGKASA tidak mengadakan program pencerapan untuk orang awam untuk fenomena itu. -BH

Khamis, 9 Februari 2017

Keluarga mangsa dibaham buaya di Santubong mohon buaya menyerang ditangkap dengan segera

KUCHING: Keluarga mangsa serangan buaya di Sungai Santubong di sini memohon pihak bertanggungjawab agar menangkap reptilia tersebut demi keselamatan penduduk.

Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Li, 50-an, berkata populasi buaya semakin membimbangkan terutama kepada para nelayan yang menjadikan sungai tersebut sebagai sumber rezeki.

“Ini bukan kes (serangan buaya) pertama dan disebabkan itu, kita merayu kepada kerajaan serta pihak yang berkenaan untuk bertindak segera mengurangkan populasi buaya.

“Kami (nelayan) bergantung kepada sungai tersebut untuk sumber rezeki dan kami tidak mahu insiden seperti ini terus menghantui kami,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Li, buaya terbesar pernah dilihatnya di sungai tersebut dianggarkan sepanjang sehingga 15 kaki dan empat kaki lebar.

“Sebelum ini, pernah juga pihak-pihak tertentu berjaya menangkap buaya, tetapi ada lagi buaya lebih besar dan pernah juga penduduk kampung melihat sebesar sebuah van,” jelasnya.

Sekitar jam 10.30 pagi semalam, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui separuh daripada mayat dipercayai mangsa Selamat Raub, 54, yang dilaporkan hilang ketika menjala udang di tebingan sungai tersebut.

“Dia (mangsa) keluar sekitar jam 10 malam tadi (kelmarin) dan sehingga jam 5 pagi tadi (semalam) dia masih belum pulang menyebabkan ibu terus membuat laporan polis berhubung kejadian,” kata anak mangsa yang enggan meneruskan temu bual selepas itu.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan, anggota SAR menemui barang-barang milik mangsa sekitar jam 9.46 pagi.

“Operasi pencarian dilakukan di sepanjang tebingan sungai dan anggota kita berjaya menemui barang-barang mangsa seperti telefon bimbit dan bekalan  makanan.

“Pada jam 10.29 pagi, separuh mayat (dari paras pinggang ke kaki) dipercayai mangsa berjaya ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi barangan mangsa ditemui,” kata Farhan, semalam.

Difahamkan, operasi mencari sebahagian lagi badan mangsa dihentikan sekitar tengah hari semalam atas faktor keselamatan pasukan keselamatan.

“Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah dihubungi untuk tindakan selanjutnya,” kata Farhan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. -UB

Rabu, 8 Februari 2017

Empat gerai di Jeti Samarahan terbakar

Kota Samarahan - Empat buah gerai yang terletak berhampiran Jeti Feri Kota Samarahan di Jalan Muara Tuang dekat sini musnah dalam kejadian kebakaran awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu telah mengakibatkan tiga buah gerai menjual kuih dan minuman tersebut musnah terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar kira-kira 30 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Kam Liman berkata,sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.34 pagi.

Katanya, sebaik tiba, api sedang marak membakar tiga daripada lapan buah gerai yang terletak di situ.

"Kepantasan anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api berjaya menyelamatkan empat buah gerai daripada turut musnah terbakar," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.Mengulas lanjut, Kam memberitahu, punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih lagi disiasat."Operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada pukul 6.38 pagi," katanya.

Bunga Pakma Berkembang sehingga Jumaat Di Gunung Gading



Pekan Lundu yang lanskapnya berlatar belakang Gunung Gading akan menghadapi fenomena yang mungkin masyarakat luar dapat saksikan.

Walaupun sedang giat parti-parti politik melakukan kempen politik Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Gunung Gading akan menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat bunga pakma (Rafflesia) berkembang.

Bunga Pakma adalah bunga terbesar di dunia dan ia hanya terdapat di kawasan hutan hujan tropika. Selain daripada Gunung Kinabalu, Gunung Gading menjadi tempat bunga ini hidup dan membiak.

Bunga Pakma spesis 'Tuan Mudae' adalah spesis yang subur di Gunung Gading dan jangka hayat ia berkembang hanya tujuh hari.

Dalam masa berkempen ini, datanglah ke Taman Negara Gunung Gading untuk menyaksi sendiri Bunga Pakma berkembang kerana fenomena sebegini akan menjadi pengalaman yang cukup berharga kepada pengunjung.-Sarawakiana

Komet Akan Hampiri Bumi 11 Februari Ini



KUALA LUMPUR – Komet dikenali sebagai 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Bumi pada 11 Februari ini.

Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan media di sini hari ini memberitahu, komet tersebut akan berada pada jarak 12,430,000 kilometer dengan planet Bumi.

Lintasan Komet Ke-8 Paling Menghampiri Bumi 11 Februari

“Dengan kecerahan dijangka mencecah magnitud enam, ia dapat dilihat agak mudah menerusi binokular ataupun teleskop kecil,” kata kenyataan itu.

Menurut Angkasa, fenomena alamiah tersebut merupakan lintasan komet ke-8 paling dekat daripada mana-mana komet dalam era moden.

“Kini ia berada sejauh 31 kali jarak Bulan dari Bumi,” kata Angkasa.

Jelas Angkasa, masa yang paling sesuai untuk melihat komet itu pada waktu gelap sebelum matahari terbit antara 9 Februari hingga 12 Februari 2017.

“Komet akan bergerak merentasi buruj Hercules di langit timur,” jelas Angkasa. – MYNEWSHUB.CC

Selasa, 7 Februari 2017

SUPP mahu bekas perogol bersiri diharamkan masuk Sarawak

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu pihak berkuasa di Sarawak mengharamkan bekas perogol bersiri, rakyat Malaysia, S Selva Kumar daripada memasuki negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata kerajaan tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas.

“Kita berharap Jabatan Imigresen Negeri dapat melaksanakan larangan itu serta merta. Beliau (Selva) tidak dialu-alukan datang ke Sarawak dan kita tidak memerlukan individu seperti itu,” katanya di sini semalam.

Ting mengulas tindakan kerajaan Sabah yang mengharamkan bekas perogol bersiri itu memasuki Sabah.

Selva tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam (Selasa) selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan melakukan serangan seksual hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kanada mengusir pulang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu selepas dibebaskan pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP), Bruce Chai turut mengalu-alukan cadangan mengharamkan kemasukan Selva ke Sarawak.

“Kita tidak harus menghadkan kemasukan individu radikal dalam isu perkauman dan ektremis agama malah individu terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya. -UB

SUPP mahu bekas perogol bersiri diharamkan masuk Sarawak

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu pihak berkuasa di Sarawak mengharamkan bekas perogol bersiri, rakyat Malaysia, S Selva Kumar daripada memasuki negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata kerajaan tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas.

“Kita berharap Jabatan Imigresen Negeri dapat melaksanakan larangan itu serta merta. Beliau (Selva) tidak dialu-alukan datang ke Sarawak dan kita tidak memerlukan individu seperti itu,” katanya di sini semalam.

Ting mengulas tindakan kerajaan Sabah yang mengharamkan bekas perogol bersiri itu memasuki Sabah.

Selva tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam (Selasa) selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan melakukan serangan seksual hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kanada mengusir pulang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu selepas dibebaskan pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP), Bruce Chai turut mengalu-alukan cadangan mengharamkan kemasukan Selva ke Sarawak.

“Kita tidak harus menghadkan kemasukan individu radikal dalam isu perkauman dan ektremis agama malah individu terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya. -UB

Sabtu, 4 Februari 2017

Abang Johari umum bantuan RM6 juta untuk sekolah cina

Sekolah Cina di Sarawak akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM6 juta daripada kerajaan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata bantuan diberikan kerana sekolah Cina di Sarawak bukan sahaja eksklusif untuk masyarakat Cina semata-mata.

"Sekolah Cina di Sarawak merupakan sekolah pelbagai kaum yang turut terdapat pelajar bumiputera," katanya di majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri dan jawatankuasa perhubungan Parlimen Sibuti.

Sebagai contoh, katanya sebuah sekolah Cina dalam kawasan beliau iaitu Dewan Undangan Negeri Satok, di Kuching terdapat pelajar Melayu yang seorang pelajar perempuan Melayu telah lulus daripada universiti di Guangzhu, China.

"Selagi saya merupakan Ketua Menteri Sarawak, saya akan menyokong sekolah Cina di Sarawak dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC)," katanya.

Dari segi bahasa rasmi, Abang Johari berkata selain bahasa Inggeris dan Melayu, kerajaan negeri mahu rakyat turut menguasai bahasa Mandarin.

Mengenai rundingan mengenai kenaikan royalti minyak dengan Petronas, beliau berkata kerajaan negeri sedang meneroka kemungkinan situasi menang-menang.

"Sekiranya Petronas tidak boleh memberi kita royalti 20 peratus maka kita perlu menggantikannya dengan pilihan lain," katanya dan menambah perbincangan masih berjalan dan pengumumannya mengenainya akan dibuat apabila tiba masanya.

"Satu hari nanti saya akan beritahu, bukan sekarang, kita akan dapat ang pau daripada Petronas," tambahnya. -Bernama

Jumaat, 3 Februari 2017

Warga Indonesia Cedera Diserang Buaya di Sarikei

SARIKEI - Seorang warga Indonesia cedera akibat diserang seekor buaya di muara Sungai Luwau dekat Kampung Selalang pagi kelmarin.

Mangsa yang bekerja di sebuah kolam ternakan udang harimau diserang ketika hendak menurunkan perahu ke dalam air kira-kira pukul 5 pagi.

Mangsa dikatakan cedera pada bahu, tangan dan belakang pinggang.

Penghulu Kampung Selalang, Amir Hamzah Kopon berkata mangsa yang berusia 40-an yang berada di tebing sungai ketika itu akhirnya dapat melepaskan diri dan dikejarkan ke Hospital Sarikei sebelum dirujuk ke Hospital Sibu.

"Mangsa dikatakan hendak pergi ke Kampung Selalang yang jaraknya sekitar 15 minit dari tempat kejadian untuk membeli barangan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata mangsa memberitahu dia pernah diserang buaya sebelum ini.

Pihak polis belum mengesahkan kes tersebut. - Bernama

Khamis, 2 Februari 2017

3 lelaki berhadapan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki syabu 4.1 kilogram di Stampin

KUCHING: Tiga lelaki tempatan berhadapan hukuman gantung sampai mati jika didapati bersalah selepas disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, ketiga-tiga suspek ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di  Stampin Tengah, di sini sekitar jam 11 malam pada 31 Januari lepas.

Menurutnya, hasil serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak turut berjaya menemui dadah jenis syabu kira-kira seberat 4021.09 gram dianggarkan bernilai  RM1.1 juta.

Ketiga-ketiga suspek berusia lingkungan 29 hingga 46 tahun juga dikatakan memiliki rekod jenayah lampau kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UB

SUMPAH SETIA BUAYA DENGAN KAUM BIDAYUH

CERITA sang bedal iaitu buaya banyak menghiasi cerita rakyat di seluruh dunia dan ini termasuklah di Sarawak yang sememangnya terkenal dengan legenda si bujang senang.  Mungkin ramai yang sudah mengetahui mengenai perjanjian si bujang senang dengan masyarakat Iban kerana ianya banyak diwar-warkan.  Dan begitulah juga apabila berkata mengenai cerita legenda si bujang senang yang juga turut mengaitkan masyarakat Iban di Sarawak itu sendiri.
 
Untuk kali ini apa yang disajikan merupakan antara cerita rakyat di kalangan masyarakat Bidayuh Sarawak.  Ianya juga tidak kurang hebatnya yang menghiasi berdundan atau bercerita secara oral dari satu generasi ke generasi di kalangan orang tua-tua masyarakat Bidayuh.  Menurut kepercayaan orang Bidayuh sebenarnya sang buaya di Sungai Sarawak Kiri iaitu salah satu cabang Sungai Sarawak tidak pernah mencederakan mahupun membaham masyarakat Bidayuh yang mendiami penempatan di Sungai Sarawak Kiri.  Ini kerana dikatakan ada hutang yang tidak dibayar oleh buaya sehingga menyebabkan ianya berlaku sedemikian.

Al-sahibul hikayat beratus-ratus tahun dahulu diceritakan bahawa masyarakat Bidayuh yang mempunyai banyak penempatannya di Sungai Sarawak Kiri juga seperti kaum yang lain di Sarawak.  Mereka juga turut menjadikan sungai sebagai sumber rezeki mereka untuk menangkap ikan dan sebagainya.  Tidak kurang juga sungai merupakan antara tempat untuk wanita-wanita Bidayuh membasuh pakaian serta mengambil air buat keperluan keluarga mereka di rumah panjang Bidayuh. 

Hendak dijadikan cerita ada satu tragedy yang berlaku keatas seorang wanita bidayuh yang masih berdarah manis kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dengan seorang pemuda Bidayuh.  Seperti juga wanita yang sudah berkahwin, si isteri juga turut turun ke sungai untuk membasuh pakaian Cuma pada hari itu si isteri bernasib malang.  Ini kerana ketika beliau sedang asyik mencuci pakaian itulah beliau telah ditarik oleh sang buaya sehingga menemui ajalnya. 

Apabila mendengar peristiwa malang yang menimpa isterinya maka si suami dan penduduk rumah panjang Bidayuh yang berdekatan cuba mencari buaya yang membuat onar itu.  Namun hari demi hari, minggu demi minggu tiadalah berita mengenai si isteri tersebut sehingga si suami bermuram durja.  Pada masa itulah dikatakan si suami sering duduk di tepi sungai tempat dimana si isteri dikatakan dibaham oleh buaya tersebut. Kesemuanya dilakukan kerana si suami terlalu merindui isterinya yang baru dikahwininya. 

Pada suatu hari di ketika si suami sedang duduk di tepi sungai seperti kebiasaannya tiba-tiba beliau didatangi oleh seekor buaya yang besar.  Walau di dalam ketakutan namun bagi si suami harus tidak menunjukkan ketakutan pada sang bedal tersebut.  Atas sifat ingin tahunya lalu beliau bertanya kepada si buaya apakah tujuan si buaya besar menganggunya duduk di tepi sungai tersebut.

Sesuatu yang luarbiasa berlaku apabila dikatakan si buaya itu mampu berkomunikasi dengannya.  Kedatangan si buaya adalah untuk memohon bantuan daripada si suami untuk merawat isterinya iaitu si buaya betina yang menanggung kesakitan yang amat sangat kerana tertelan tulang manusia.  Dari perbualan mereka berdua maka jauh di sudut hati si suami sudah mula mempunyai firasat bahawa yang membaham isterinya mungkin si buaya betina iaitu isteri si buaya jantan tersebut.

Setelah persetujuan diambil antara si suami dengan si buaya jantan maka dijemputlah si buaya betina untuk rapat di tepi sungai.  Pada ketika itulah si suami telah mencuba mencabut tulang kaki yang menusuk di celah-celah rahang si buaya betina.  Usai membantu si buaya betina lain pula jadinya kerana dikatakan si buaya betina cuba untuk mengibas ekornya ke arah si suami.  Dikatakan ketika itu si buaya betina terlalu lapar kerana sudah beberapa minggu menahan kesakitan.  Aksi si buaya betina berjaya dihentikan oleh si buaya jantan dan terus memarahi si buaya betina tersebut.

Bagi si suami pula sudah siaga segalanya dengan parang hanya perlu menetak sahaja si buaya betina.  Lebih-lebih lagi dendam kesumatnya kerana si buaya betina telah membaham isterinya yang dicintai.  Namun mengenang perjanjian antara dirinya dengan si buaya jantan maka beliau menghentikan niatnya.  Setelah pendamaian didapati akhirnya si buaya jantan dan si buaya betina dibiarkan kembali ke lubuknya.  Dengan satu perjanjian iaitu keesokan harinya kedua-duanya harus membayar pengeras atas pertolongan si suami tersebut. 

Pengeras yang dipersetujui antara si buaya jantan dan si suami adalah 7 utas manik berawan iaitu jenis manik yang kebiasaannya digunakan untuk upacara ritual di dalam masyarakat Bidayuh.  Dikatakan bukan mudah untuk mendapatinya namun bagi si buaya jantan ianya tidak sukar baginya.  Maka pada hari yang dijanjikan bertemulah si buaya jantan dan buaya betina dengan si suami di tepi sungai. 

Menurut ceritanya di ketika si buaya jantan cuba menyerahkan 7 utas manik berawan yang diisi di dalam beg itu barulah si buaya jantan sedar bahawa begnya bocor.  Ini bermakna 7 utas manik berawan itu mungkin sudah jatuh di mana-mana di dalam sungai yang berkemungkinan besar sukar untuk si buaya jantan mendapatkannya kembali. 

Atas kelalaiannya itu menyebabkan si buaya jantan mahupun buaya betina berasa malu yang amat sangat dengan si suami.  Mereka terlalu terhutang budi dengan si suami yang sanggup menyelamatkan nyawa si buaya betina biarpun si buaya betina yang membaham si isteri.  Pengeras yang dimaksudkan pula hilang entah ke mana dan akhirnya kedua-dua buaya nekad membuat sumpah taat setia kepada seluruh masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.
 
Sumpah setia sang buaya adalah tiada mana-mana generasi buaya yang akan mencederakan mahupun membaham mana-mana masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.  Mereka akan menghindarkan diri mereka jika ada bertembung dengan masyarakat Bidayuh selamanya.  Sumpah setia sang buaya ini diterima oleh si suami demi mengenangkan kesinambungan penghidupan masyarakatnya kelak.  Bermula dari itulah dikatakan banyak buaya sudah tidak mendiami Sungai Sarawak Kiri sehingga sekarang. 

Itulah cerita rakyat di dalam masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.  Ianya satu cerita yang diperwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain secara oral.  Setakat ini tidaklah diketahui sejauhmana kebenaran sumpah setia buaya dengan masyarakat Bidayuh. 

Yang pasti di dalam penceritaan ini sahaja sudah ada maksud yang tersirat disebalik yang tersurat yang mana boleh dijadikan pedoman untuk penghidupan kita sekalian.

Sumber: Borneo Oracle

Rabu, 1 Februari 2017

Datuk Amar Jamilah Haji Anu Diumum Calon BN Tanjung Datu



KUCHING: Datuk Amar Jamilah Haji Anu diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.3 Tanjong Datu.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg membuat pengumuman itu pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dekat sini sebentar tadi.

Datuk Amar Jamilah, 62 merupakan balu kepada Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Beliau dilahirkan di Bau pada 14 Ogos 1955, berkelulusan Diploma Sains Kesetiausahaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM)Sabah.

Selain aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan, Jamilah merupakan Pengarah Yayasan Jaznan, Penaung Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM), Penaung Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akak (PERKATA), Penaung Persatuan Pengasuh & Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sarawak dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari lepas.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) tahun lalu, Adenan mempertahankan kerusi Tanjong Datu dengan kemenangan selesa, majoriti undi 6,360 mengatasi calon PKR Jazolkipli Numan yang hanya meraih 468 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRK Tanjong Datu pada 18 Februari, manakala hari penamaan calon pada 4 Februari. - Sarawakiana

Selasa, 31 Januari 2017

Pemain Lagenda Berkampung Di Sarawak



KUCHING: Tarikh 3 Februari ini pasti mengembalikan nostalgia kepada peminat bola sepak Sarawak apabila pemain Sarawak yang menjuarai Liga Perdana 1997 terlibat dengan perlawanan persahabatan menentang pilihan 'King of Croc's' di Stadium Negeri bermula jam 3 petang.

Menurut Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, perlawanan tersebut diadakan bagi memperingati kejayaan Sarawak menjuarai Liga Perdana 1997 dimana beberapa bekas bintang Sarawak turut beraksi.

Beliau berkata, antara bekas pemain yang terlibat termasuk David Evans, Alistair Edwards, Ramos Sari, Ramles Sari, Mazlan Wahed, Billy Bone, John Hunter, Jalil Ramli dan ramai lagi.

"Selain itu, pada 4 Februari kita akan mengadakan beberapa program sempena memperingati kejayaan skuad Liga Perdana 1997 di Dataran Stadium.

"Antara aktiviti yang dirancang seperti konsert mini, gerai jualan jersi, gerai GB13, penjualan cenderamata dan pameran jersi lama," katanya.

Pada sebelah petang pula menurut Razali, sesi pengenalan pemain-pemain dan pegawai Piala Presiden, Piala Belia dan skuad Kuching yang akan menyertai Liga FAM diadakan.-Sarawakiana

Harga bahan api Februari 2017 – petrol RON95 dan RON97 naik 20 sen,manakala diesel pula naik 10 sen

Bermula tengah malam ini, petrol RON95 naik 20 sen, dan akan dijual pada harga RM2.30 seliter. Sama juga dengan RON97 yang juga dinaikkan 20 sen kepada RM2.60 seliter.

Bagi bahan api diesel pula, ia tetap naik 10 sen, dan dijual pada harga RM2.15 sementara bagi diesel Euro 5 harganya ialah RM2.25 seliter. Dengan pengumuman ini, nampak gayanya harga bahan api di Malaysia meneruskan trend kenaikan harga bagi dua bulan pertama 2017 ini.

Harga terendah yang dicatatkan setakat ini ialah pada September 2016, dengan RON95 dijual pada harga RM1.70 seliter, sementara RON97 pula pada kadar RM2.05 seliter. Kali terakhir harga bahan api turun ialah padaDisember 2016, sebanyak lima sen.

Berita Harga Minyak Naik Bulan Februari Belum Sah- PDAM



PETALING JAYA: Khabar angin kenaikan harga minyak mulai 1 Februari ini belum dapat disahkan, kata Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM).

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Azizi berkata, pihaknya maklum berkaitan penyebaran maklumat mengenai kenaikan harga minyak di sosial media, bagaimanapun setakat ini ia belum dapat disahkan.

Bagaimanapun, tambah beliau, PDAM sememangnya menjangka berlaku kenaikan harga untuk bulan depan.

"Berdasarkan kiraan dan ramalan, akan berlaku kenaikan harga minyak pada Februari ini.

"Bagaimanapun, keputusan muktamad terletak pada kerajaan. Kadar sah akan hanya diketahui secara rasmi selepas pukul 8 malam nanti," katanya.

Sepanjang bulan ini, harga RON95 adalah RM2.10 setiap liter, RON97 (RM2.40) dan diesel pada harga RM2.05.

Mesej yang disebarkan mendakwa RON95 akan naik 15 sen pada Februari ini, manakala RON97 pula naik lima sen kepada RM2.45 dan diesel pula naik 20 sen.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan sistem apungan harga minyak mulai 1 Disember 2014 susulan pemotongan subsidi.-mStar

Sabtu, 28 Januari 2017

Jambatan Sadong Jaya Diberi Nama Jambatan Tan Sri Adenan Satem Sebagai Mengenang Jasa Allahyarham Tok Nan

KUCHING - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau amat bersetuju dengan cadangan supaya Jambatan Batang Sadong yang pembinaannya baru siap dinamakan sebagai Jambatan Tan Sri Adenan Satem bagi memperingati sumbangan bekas Ketua Menteri Sarawak itu kepada negeri ini.

"Saya tidak ada bantahan, bagaimanapun terserah kepada kerajaan untuk membuat keputusan. Saya akan menyokong sebab bekas Ketua Menteri kita itu juga merupakan bekas Anggota Parlimen Batang Sadong.

"Ia sebenarnya cara yang terbaik untuk memperingati seseorang tetapi saya serahkan kepada kerajaan dan bukanlah bagi saya untuk membuat keputusan," katanya dan menambah, langkah itu merupakan suatu legasi yang baik bagi Sarawak.

Ditanya sama ada terdapat tempat lain yang boleh dinamakan bersempena nama Allahyarham Adenan, Nancy yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong, menarik perhatian bahawa ada banyak tempat di Sarawak yang boleh dinamakan bersempena nama Adenan.

"Beliau (Adenan) adalah tokoh yang menggalakkan keharmonian dan perpaduan, mungkin beberapa taman di negeri ini juga boleh dinamakan sebagai memperingati legasi beliau," katanya.

Jambatan Batang Sadong sepanjang 1.48 kilometer bernilai RM231 juta dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Disember tahun lepas. -Bernama

Jumaat, 27 Januari 2017

BR1M Akan Diagihkan Bermula 18 Februari- Najib

KUALA LUMPUR : Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hari ini menerima khabar gembira apabila bantuan akan diagihkan bermula 18 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mengumumkan tarikh pengagihan BR1M berharap bantuan itu dapat membantu penerima BR1M.

"Saya lihat ramai tanya di Facebook, Twitter & Instagram mengenai BR1M.

"Sukacita saya maklumkan, Insya-Allah BR1M akan diagihkan bermula 18 Februari ini. Moga dapat membantu," katanya menerusi catatan terbaru di laman Facebook dan Twitter, malam ini.

Bagi tahun ini, bantuan yang diperkenalkan pada 2012 itu akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada Februari, Jun dan Ogos. - BERNAMA

Khamis, 26 Januari 2017

Masyarakat Cina Di Sarawak Bukan Pendatang- Abang Jo

Mengimbas kembali ungkapan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang menganggap kaum cina bukan pendatang. Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sekali lagi meneruskan ungkapan tersebut agar kaum cina tidak dianggap pendatang.

Abang Johari sendiri menegaskan akan meneruskan legasi Allahyarham bagi mengukuhkan lagi perpaduan dan kepentingan rakyat Sarawak. Mengambil kira peranan masyarakat Cina, segala kepentingan dan hak mereka perlu diambil berat bersama kerana mereka bersama membangunkan ekonomi negeri ini.

Peranan masyarakat Cina dalam perniagaan dan perindustrian membuka peluang pekerjaan yang begitu banyak untuk masyarakat lain di negeri ini. Ia menjadi sumber pendapatan masyarakat lain bagi menyara keluarga. Atas usaha masyarakat Cina, ekonomi negeri ini meningkat kerana aktiviti ekonomi domestik rancak diusahakan.

Abang Johari turut memberi jaminan kerajaan akan terus mengamalkan dasar mesra komuniti perniagaan dan pelaburan seperti yang ditetapkan pemimpin terdahulu.-Sarawakiana

Geng Main Holo Terjun Sungai Di Bako

KUCHING: Sekumpulan kaki judi  "Holo" nekad melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai dalam usaha untuk meloloskan diri daripada dicekup pihak polis disini petang semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Bako, sekumpulan tujuh lelaki yang leka berjudi terkejut dengan kehadiran anggota polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dato’ Dev Kumar berkata, kesemua kaki judi terbabit yang terkejut melihat kehadiran polis cuba untuk melarikan diri sehingga sanggup terjun ke Sungai Bako.

Kesemua tujuh suspek berumur dalam lingkungan 24 hingga 46 tahun ditahan dibawah Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Rabu, 25 Januari 2017

Lelaki Rogol Anak Tiri Dipenjara 60 Tahun Dan 30 Sebatan

KUCHING: Seorang lelaki yang juga seorang penjawat awam menerima padah apabila dihukum penjara 60 tahun dan 30 sebatan diatas kesalahan merogol anak tirinya.
  
Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Afidah Abdul Rahman memerintahkan tertuduh yang berumur 54 tahun itu dihukum secara berasingan atas tiga hukuman yang dibacakan hari ini.-RTM Sarawak

13 buah Sekolah Sarawak Ditutup Akibat Banjir



KUCHING - Sebanyak 13 buah sekolah di Sibu, Bintulu, Miri dan Padawan dekat sini ditutup akibat banjir, hari ini.

Sektretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, seramai 1,079 orang murid yang terjejas akibat penutupan kesemua sekolah itu setakat pukul 12 tengah hari.

Menurutnya, antara sekolah-sekolah terbabit ialah, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Balai, SK Kuala Sigu, SK Genaan, SK Bukit Mawang, SK Kuala Binyo, SK Long Sobeng, SK Kuala Bok, SK Long Luyang, SK Ulu Segan, SK Sg Anak, SK St Dunstan, SK St Swithun dan SK Long Jegan.

"Namun, terdapat lima buah sekolah yang terjejas akibat banjir masih meneruskan sesi pembelajaran.

"Sekolah-sekolah tersebut ialah SK Ng Penyarai,SK Sungai Bong, SK Pengarah Enteri, SK Long Teran Kanan dan SK Long Teru," katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi. - K! ONLINE

Selasa, 24 Januari 2017

Suami Isteri Dibelasah Ketika Makan Di MJC



KUCHING: Sepasang suami isteri cedera dibelasah sekumpulan lelaki ketika sedang makan malam di sebuah restoran di Bandar Baharu Batu Kawa (MJC) di sini, malam kelmarin.

Menurut sumber, insiden berlaku sekitar jam 8.30 malam apabila pasangan berkenaan yang berusia sekitar 40-an didatangi seorang wanita dan seorang lelaki dipercayai suami isteri yang kemudian bertindak menyerang mereka.

Situasi bertambah tegang apabila lebih ramai suspek menyerbu masuk ke dalam restoran tersebut dan membelasah mangsa dan isterinya yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham semasa mangsa menagih hutang.

“Terdahulu, mangsa dan isterinya dipercayai menagih hutang daripada sepasang suami isteri (suspek) sehingga menyebabkan perselisihan faham apabila isteri mangsa dikatakan bertindak menampar si isteri (suspek).

“Susulan kejadian itu, pasangan (suspek) yang tidak berpuas hati dengan insiden itu bertindak menyerang balik mangsa dan isterinya bersama sekumpulan lelaki di restoran berkenaan,” kata sumber.

Insiden itu menjadi tular apabila rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran yang berdurasi kira-kira dua minit dimuat naik ke laman sosial.

Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan semasa dihubungi mengesahkan insiden pergaduhan tersebut dan memberitahu siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

“Seorang lelaki (mangsa) berusia lingkungan 40-an telah cedera akibat dipukul oleh beberapa orang lelaki dan dia telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.

“Bagaimanapun, siasatan berhubung kejadian masih dijalankan dan punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Justeru, Aidil memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.

“Kita mohon saksi untuk tampil membantu siasatan kerana rakaman CCTV yang diperolehi agak kurang jelas dan sekarang, kita juga sedang mengesan suspek yang turut bertindak memukul mangsa,” kata Aidil.-UB

Isnin, 23 Januari 2017

Suspek Kes Bakar Dan Tetak Di Matang Direman 7 hari



KUCHING: Suspek yang dipercayai menetak seorang lelaki sebelum membakar sebuah rumah sehingga mengorbankan tiga mangsa di Kampung Tumu, Batu 10 Jalan Matang, dekat sini, direman tujuh hari sehingga 30 Januari depan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki berusia 42 tahun itu adalah rakyat tempatan berasal dari Simunjan, bukannya warga asing seperti laporan awal.

"Kami masih memeriksa rekod perubatan suspek. Sehingga kini masih belum dapat dipastikan tahap kesihatannya," katanya dalam kenyataan menerusi WhatsApp di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, suspek berkenaan menetak Mohd Joe Abdullah, 23, di leher dan pinggang sehingga mati sebelum membakar rumah itu, mengakibatkan Mohd Joe bersama dua lagi warga emas rentung.

Polis bagaimanapun dapat menahan suspek dalam kawasan hutan tidak jauh dari lokasi kejadian pada 7.30 malam dan menemui sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Motif kejadian masih disiasat.-HM

Ahad, 22 Januari 2017

3 Rentung 1 Cedera Parah Ditetak Di Batu 10

3 orang rentung manakala seorang cedera parah dalam satu kejadian kebakaran dan tetak di sebuah rumah di Taman Palma Indah, Batu 10 Jalan Matang Kuching sekitar jam 3.43 petang tadi.

Difahamkan 3 mangsa dilaporkan rentung dikenali Noraini berusia 62 Tahun, Mohd Joe 23 Tahun, Daud 64 Tahun manakala seorang lagi mangsa lelaki berumur dalam lingkungan 30an cedera ditetak telah dihantar ke Hospital berdekatan.

Setakat ini kesemua mayat telah pun dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sabtu, 21 Januari 2017

Najib Jamin UMNO Tak Akan Masuk Sarawak- Abang Jo

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan UMNO tidak akan meluaskan kuasanya di Sarawak.

Jaminan itu, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dinyatakan Najib kepada beliau ketika pertemuan mereka di Putrajaya kelmarin.

Justeru, Abang Johari sekali lagi tampil dengan pendirian tegasnya mengatakan UMNO tidak akan masuk ke Bumi Kenyalang selagi beliau bergelar pemimpin negeri.

Beliau berkata, namanya sering dikaitkan dengan UMNO, iaitu salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), malah menjadi tular di laman sosial.

“Di sini, saya ingin menegaskan bahawa UMNO tidak akan masuk ke Sarawak selagi saya menjadi Ketua Menteri walaupun nama saya dikaitkan dengan parti itu di media sosial.

“Saya telah memaklumkan kepada PM (Najib) berhubung perkara ini dan beliau menerima pendirian kita (Sarawak),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MKT) BN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya, Najib menyokong usaha keras dilakukan BN Sarawak diketuai PBB.

“Datuk Najib (Perdana Menteri) kata kamu (PBB dan komponen BN) sudah kuat di sana (Sarawak), jadi kenapa perlu UMNO hendak masuk ke sana?” jelas Abang Johari ketika diminta mengulas berkenaan reaksi Perdana Menteri.

Apa pun, katanya, Sarawak bakal menjalin terus kerjasama dengan parti komponen di Semenanjung atas dasar kepentingan dan kesejahteraan BN sahaja.

Tambah Abang Johari, pembangunan Sarawak tetap menjadi keutamaan sekali gus meneruskan legasi dan perancangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika menggalas tugas sebagai Ketua Menteri sebelum ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan parti komponen BN Sarawak akan membantu PBB pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu bulan depan.

Menurutnya, meskipun kerusi tersebut dikelaskan sebagai kawasan ‘putih,’ namun BN Sarawak tidak akan mengambil mudah perkara berkenaan sebaliknya memastikan kemenangan di konstituensi Tanjong Datu.-UB

Jumaat, 20 Januari 2017

Lelaki Ditemui Reput Di Dalam Rumah Di Taman BDC

KUCHING – Seorang lelaki yang gagal dihubungi keluarganya sejak beberapa hari lalu telah  ditemui mati di rumahnya di Taman BDC Stampin, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, mayat mangsa yang  dikenali sebagai Hadwen ak Dominic Sampar Entaban, 46 tahun, berbangsa Iban telah dijumpai dalam keadaan terlentang dan mereput di lantai rumah. 

“Setelah tidak mendapat sebarang berita daripada mangsa beberapa hari, pengadu iaitu saudara mangsa telah pergi ke rumah mangsa di Taman BDC untuk mencari mangsa.

“Sebaik sampai di rumah mangsa, beliau telah gagal bercakap dan menemui mangsa dengan bertindak memecah pintu rumah tersebut. 

"Sebaik berjaya memecah pintu dan masuk ke rumah, pengadu telah terhidu bau busuk dan setelah memeriksa di dalam rumah dia mendapati ada mayat manusia terbaring di bahagian bawah rumah dalam keadaan telah mereput,“ katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media pagi tadi,

Sejurus menerima aduan daripada pengadu, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama anggota dari Balai Polis Sekama telah ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan anggota di lokasi, mereka mendapati satu mayat seorang lelaki memakai baju T warna biru dan seluar panjang jeans warna biru dalam keadaan sudah mereput berada keadaan terlentang di celah meja dan sofa ruang rehat rumah tersebut. 

“Pemeriksaan awal JSJ di sekitar rumah juga mendapati tiada sebarang pecah masuk dan keadaan rumah tidak berselerak dan pemerhatian ke atas mayat juga tiada sebarang unsur-unsur jenayah berlaku,”ujarnya lagi.

Mayat si mati telah di hantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Khamis, 19 Januari 2017

Belum Dapat Ilham- KM Sarawak



PETRA JAYA: Kuota satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak akan diisi buat masa ini bagi memberi fokus terhadap tuntutan penurunan lebih kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, berkata jawatan berkenaan akan dibiar kosong sehingga beliau mendapat 'ilham'.

Abdul Rahman Zohari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo, menjawab spekulasi apabila tidak melakukan rombakan Kabinet negeri.

Malah, keputusan beliau sudah dijangka lebih awal sebagai menghormati Ketua Menteri kelima, Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

"Saya belum berhasrat melakukan rombakan Kabinet kerana tumpuan utama pentadbiran adalah memastikan semua dasar Ketua Menteri terdahulu diteruskan.

"Saya bernasib baik kerana turut menganggotai jawatankuasa khas menuntut semua kuasa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 untuk dikembalikan kepada negeri ini," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sebagai Ketua Menteri, beliau mengulangi dasar tidak membenarkan kemasukan UMNO ke Sarawak, seperti mana pendirian Allahyarham Adenan.

"Kita masih bekerjasama bersama UMNO atas semangat bersama dalam Barisan Nasional (BN), tapi UMNO tidak akan dibenarkan masuk," katanya.-BH

Isnin, 16 Januari 2017

Suspek Ke-6 Hina Allahyarham Tok Nan Ditahan Di Selangor



KUCHING: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 52 tahun yang merupakan suspek keenam kerana didakwa memuatnaik kenyataan berbaur hasutan dan fitnah terhadap kematian Ketua Menteri Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor mengesahkan penahanan suspek tersebut yang bekerja sebagai pemandu teksi sekitar jam 11.30 malam tadi dirumahnya di Klang, Selangor

“Turut disita telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pagi tadi.

Menurutnya, setakat hari ini sebanyak 43 laporan polis telah dibuat berkaitan penghinaan terhadap kematian ketua menteri Sarawak  Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.-Sarawakiana