Khamis, 2 Februari 2017

SUMPAH SETIA BUAYA DENGAN KAUM BIDAYUH

CERITA sang bedal iaitu buaya banyak menghiasi cerita rakyat di seluruh dunia dan ini termasuklah di Sarawak yang sememangnya terkenal dengan legenda si bujang senang.  Mungkin ramai yang sudah mengetahui mengenai perjanjian si bujang senang dengan masyarakat Iban kerana ianya banyak diwar-warkan.  Dan begitulah juga apabila berkata mengenai cerita legenda si bujang senang yang juga turut mengaitkan masyarakat Iban di Sarawak itu sendiri.
 
Untuk kali ini apa yang disajikan merupakan antara cerita rakyat di kalangan masyarakat Bidayuh Sarawak.  Ianya juga tidak kurang hebatnya yang menghiasi berdundan atau bercerita secara oral dari satu generasi ke generasi di kalangan orang tua-tua masyarakat Bidayuh.  Menurut kepercayaan orang Bidayuh sebenarnya sang buaya di Sungai Sarawak Kiri iaitu salah satu cabang Sungai Sarawak tidak pernah mencederakan mahupun membaham masyarakat Bidayuh yang mendiami penempatan di Sungai Sarawak Kiri.  Ini kerana dikatakan ada hutang yang tidak dibayar oleh buaya sehingga menyebabkan ianya berlaku sedemikian.

Al-sahibul hikayat beratus-ratus tahun dahulu diceritakan bahawa masyarakat Bidayuh yang mempunyai banyak penempatannya di Sungai Sarawak Kiri juga seperti kaum yang lain di Sarawak.  Mereka juga turut menjadikan sungai sebagai sumber rezeki mereka untuk menangkap ikan dan sebagainya.  Tidak kurang juga sungai merupakan antara tempat untuk wanita-wanita Bidayuh membasuh pakaian serta mengambil air buat keperluan keluarga mereka di rumah panjang Bidayuh. 

Hendak dijadikan cerita ada satu tragedy yang berlaku keatas seorang wanita bidayuh yang masih berdarah manis kerana baru sahaja melangsungkan perkahwinannya dengan seorang pemuda Bidayuh.  Seperti juga wanita yang sudah berkahwin, si isteri juga turut turun ke sungai untuk membasuh pakaian Cuma pada hari itu si isteri bernasib malang.  Ini kerana ketika beliau sedang asyik mencuci pakaian itulah beliau telah ditarik oleh sang buaya sehingga menemui ajalnya. 

Apabila mendengar peristiwa malang yang menimpa isterinya maka si suami dan penduduk rumah panjang Bidayuh yang berdekatan cuba mencari buaya yang membuat onar itu.  Namun hari demi hari, minggu demi minggu tiadalah berita mengenai si isteri tersebut sehingga si suami bermuram durja.  Pada masa itulah dikatakan si suami sering duduk di tepi sungai tempat dimana si isteri dikatakan dibaham oleh buaya tersebut. Kesemuanya dilakukan kerana si suami terlalu merindui isterinya yang baru dikahwininya. 

Pada suatu hari di ketika si suami sedang duduk di tepi sungai seperti kebiasaannya tiba-tiba beliau didatangi oleh seekor buaya yang besar.  Walau di dalam ketakutan namun bagi si suami harus tidak menunjukkan ketakutan pada sang bedal tersebut.  Atas sifat ingin tahunya lalu beliau bertanya kepada si buaya apakah tujuan si buaya besar menganggunya duduk di tepi sungai tersebut.

Sesuatu yang luarbiasa berlaku apabila dikatakan si buaya itu mampu berkomunikasi dengannya.  Kedatangan si buaya adalah untuk memohon bantuan daripada si suami untuk merawat isterinya iaitu si buaya betina yang menanggung kesakitan yang amat sangat kerana tertelan tulang manusia.  Dari perbualan mereka berdua maka jauh di sudut hati si suami sudah mula mempunyai firasat bahawa yang membaham isterinya mungkin si buaya betina iaitu isteri si buaya jantan tersebut.

Setelah persetujuan diambil antara si suami dengan si buaya jantan maka dijemputlah si buaya betina untuk rapat di tepi sungai.  Pada ketika itulah si suami telah mencuba mencabut tulang kaki yang menusuk di celah-celah rahang si buaya betina.  Usai membantu si buaya betina lain pula jadinya kerana dikatakan si buaya betina cuba untuk mengibas ekornya ke arah si suami.  Dikatakan ketika itu si buaya betina terlalu lapar kerana sudah beberapa minggu menahan kesakitan.  Aksi si buaya betina berjaya dihentikan oleh si buaya jantan dan terus memarahi si buaya betina tersebut.

Bagi si suami pula sudah siaga segalanya dengan parang hanya perlu menetak sahaja si buaya betina.  Lebih-lebih lagi dendam kesumatnya kerana si buaya betina telah membaham isterinya yang dicintai.  Namun mengenang perjanjian antara dirinya dengan si buaya jantan maka beliau menghentikan niatnya.  Setelah pendamaian didapati akhirnya si buaya jantan dan si buaya betina dibiarkan kembali ke lubuknya.  Dengan satu perjanjian iaitu keesokan harinya kedua-duanya harus membayar pengeras atas pertolongan si suami tersebut. 

Pengeras yang dipersetujui antara si buaya jantan dan si suami adalah 7 utas manik berawan iaitu jenis manik yang kebiasaannya digunakan untuk upacara ritual di dalam masyarakat Bidayuh.  Dikatakan bukan mudah untuk mendapatinya namun bagi si buaya jantan ianya tidak sukar baginya.  Maka pada hari yang dijanjikan bertemulah si buaya jantan dan buaya betina dengan si suami di tepi sungai. 

Menurut ceritanya di ketika si buaya jantan cuba menyerahkan 7 utas manik berawan yang diisi di dalam beg itu barulah si buaya jantan sedar bahawa begnya bocor.  Ini bermakna 7 utas manik berawan itu mungkin sudah jatuh di mana-mana di dalam sungai yang berkemungkinan besar sukar untuk si buaya jantan mendapatkannya kembali. 

Atas kelalaiannya itu menyebabkan si buaya jantan mahupun buaya betina berasa malu yang amat sangat dengan si suami.  Mereka terlalu terhutang budi dengan si suami yang sanggup menyelamatkan nyawa si buaya betina biarpun si buaya betina yang membaham si isteri.  Pengeras yang dimaksudkan pula hilang entah ke mana dan akhirnya kedua-dua buaya nekad membuat sumpah taat setia kepada seluruh masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.
 
Sumpah setia sang buaya adalah tiada mana-mana generasi buaya yang akan mencederakan mahupun membaham mana-mana masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.  Mereka akan menghindarkan diri mereka jika ada bertembung dengan masyarakat Bidayuh selamanya.  Sumpah setia sang buaya ini diterima oleh si suami demi mengenangkan kesinambungan penghidupan masyarakatnya kelak.  Bermula dari itulah dikatakan banyak buaya sudah tidak mendiami Sungai Sarawak Kiri sehingga sekarang. 

Itulah cerita rakyat di dalam masyarakat Bidayuh yang mendiami Sungai Sarawak Kiri.  Ianya satu cerita yang diperwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain secara oral.  Setakat ini tidaklah diketahui sejauhmana kebenaran sumpah setia buaya dengan masyarakat Bidayuh. 

Yang pasti di dalam penceritaan ini sahaja sudah ada maksud yang tersirat disebalik yang tersurat yang mana boleh dijadikan pedoman untuk penghidupan kita sekalian.

Sumber: Borneo Oracle

Tiada ulasan:

Catat Ulasan