Sabtu, 4 Februari 2017

Abang Johari umum bantuan RM6 juta untuk sekolah cina

Sekolah Cina di Sarawak akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM6 juta daripada kerajaan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata bantuan diberikan kerana sekolah Cina di Sarawak bukan sahaja eksklusif untuk masyarakat Cina semata-mata.

"Sekolah Cina di Sarawak merupakan sekolah pelbagai kaum yang turut terdapat pelajar bumiputera," katanya di majlis makan malam sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri dan jawatankuasa perhubungan Parlimen Sibuti.

Sebagai contoh, katanya sebuah sekolah Cina dalam kawasan beliau iaitu Dewan Undangan Negeri Satok, di Kuching terdapat pelajar Melayu yang seorang pelajar perempuan Melayu telah lulus daripada universiti di Guangzhu, China.

"Selagi saya merupakan Ketua Menteri Sarawak, saya akan menyokong sekolah Cina di Sarawak dan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC)," katanya.

Dari segi bahasa rasmi, Abang Johari berkata selain bahasa Inggeris dan Melayu, kerajaan negeri mahu rakyat turut menguasai bahasa Mandarin.

Mengenai rundingan mengenai kenaikan royalti minyak dengan Petronas, beliau berkata kerajaan negeri sedang meneroka kemungkinan situasi menang-menang.

"Sekiranya Petronas tidak boleh memberi kita royalti 20 peratus maka kita perlu menggantikannya dengan pilihan lain," katanya dan menambah perbincangan masih berjalan dan pengumumannya mengenainya akan dibuat apabila tiba masanya.

"Satu hari nanti saya akan beritahu, bukan sekarang, kita akan dapat ang pau daripada Petronas," tambahnya. -Bernama

1 ulasan: