Selasa, 7 Februari 2017

SUPP mahu bekas perogol bersiri diharamkan masuk Sarawak

MIRI: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mahu pihak berkuasa di Sarawak mengharamkan bekas perogol bersiri, rakyat Malaysia, S Selva Kumar daripada memasuki negeri ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Sebastian Ting berkata kerajaan tidak boleh mengambil risiko membiarkan individu yang berpotensi mendatangkan bahaya bergerak secara bebas.

“Kita berharap Jabatan Imigresen Negeri dapat melaksanakan larangan itu serta merta. Beliau (Selva) tidak dialu-alukan datang ke Sarawak dan kita tidak memerlukan individu seperti itu,” katanya di sini semalam.

Ting mengulas tindakan kerajaan Sabah yang mengharamkan bekas perogol bersiri itu memasuki Sabah.

Selva tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam (Selasa) selepas menjalani hukuman penjara 24 tahun di Kanada atas kesalahan rogol dan melakukan serangan seksual hampir 1,000 wanita dan kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kanada mengusir pulang lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu selepas dibebaskan pada 29 Januari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP), Bruce Chai turut mengalu-alukan cadangan mengharamkan kemasukan Selva ke Sarawak.

“Kita tidak harus menghadkan kemasukan individu radikal dalam isu perkauman dan ektremis agama malah individu terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan