Khamis, 9 Februari 2017

Keluarga mangsa dibaham buaya di Santubong mohon buaya menyerang ditangkap dengan segera

KUCHING: Keluarga mangsa serangan buaya di Sungai Santubong di sini memohon pihak bertanggungjawab agar menangkap reptilia tersebut demi keselamatan penduduk.

Seorang ahli keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Li, 50-an, berkata populasi buaya semakin membimbangkan terutama kepada para nelayan yang menjadikan sungai tersebut sebagai sumber rezeki.

“Ini bukan kes (serangan buaya) pertama dan disebabkan itu, kita merayu kepada kerajaan serta pihak yang berkenaan untuk bertindak segera mengurangkan populasi buaya.

“Kami (nelayan) bergantung kepada sungai tersebut untuk sumber rezeki dan kami tidak mahu insiden seperti ini terus menghantui kami,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Menurut Li, buaya terbesar pernah dilihatnya di sungai tersebut dianggarkan sepanjang sehingga 15 kaki dan empat kaki lebar.

“Sebelum ini, pernah juga pihak-pihak tertentu berjaya menangkap buaya, tetapi ada lagi buaya lebih besar dan pernah juga penduduk kampung melihat sebesar sebuah van,” jelasnya.

Sekitar jam 10.30 pagi semalam, anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemui separuh daripada mayat dipercayai mangsa Selamat Raub, 54, yang dilaporkan hilang ketika menjala udang di tebingan sungai tersebut.

“Dia (mangsa) keluar sekitar jam 10 malam tadi (kelmarin) dan sehingga jam 5 pagi tadi (semalam) dia masih belum pulang menyebabkan ibu terus membuat laporan polis berhubung kejadian,” kata anak mangsa yang enggan meneruskan temu bual selepas itu.

Sementara itu, menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan, anggota SAR menemui barang-barang milik mangsa sekitar jam 9.46 pagi.

“Operasi pencarian dilakukan di sepanjang tebingan sungai dan anggota kita berjaya menemui barang-barang mangsa seperti telefon bimbit dan bekalan  makanan.

“Pada jam 10.29 pagi, separuh mayat (dari paras pinggang ke kaki) dipercayai mangsa berjaya ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi barangan mangsa ditemui,” kata Farhan, semalam.

Difahamkan, operasi mencari sebahagian lagi badan mangsa dihentikan sekitar tengah hari semalam atas faktor keselamatan pasukan keselamatan.

“Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah dihubungi untuk tindakan selanjutnya,” kata Farhan.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan