Isnin, 20 Februari 2017

2 lelaki ditangkap kerana menyamar sebagai pegawai polis di Petrajaya

KUCHING: Dua lelaki ditangkap apabila menyamar sebagai pegawai polis dan merompak dua warga Indonesia di Lorong Haji Babel, Kampung Semariang, Petrajaya semalam

Dalam insiden sekitar 11.30 pagi itu, kedua-dua warga Indonesia yang bekerja di tapak pembinaan didatangi dua 'pegawai polis' menaiki motosikal di kediaman sewa mereka.

Selepas memperkenalkan diri sebagai polis, dua suspek dikatakan cuba meminta duit dan pasport daripada mangsa.

Bagaimanapun apabila mangsa enggan menyerahkannya, suspek kemudian mengambil beberapa barangan seperti radio dan seutas gelang dan cuba melarikan diri.

Mereka bagaimanapun berjaya diberkas penduduk kampung apabila terdengar jeritan mangsa, dan menyerahkan suspek kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, polis turut merampas beberapa barangan daripada suspek seperti motosikal, kerambit, set radio, telefon bimbit dan alat gerudi.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek juga positif dadah jenis syabu dan mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan