Khamis, 28 Mei 2015

Watson Nyambek The Flying Dayak

Oleh: Qadafi Johari

Sebut saja nama Watson Nyambek pasti semua orang kenal. Watson adalah lagenda dan ikon buat warga Sarawak. Diawal kemunculan beliau dalam dunia olahraga, siapa sangka anak iban kelahiran Miri ini mampu memecah rekod kebangsaan acara 100 meter pecut milik "The Flying Doctor", Dato Dr. M. Jegathesan dengan catatan masa 10.33 saat pada tahun 1998.

Rekod lama milik Dato Dr. M. Jegathesan ialah 10.38 saat yang dilakar pada tahun 1966. Selepas itu beliau terus memecah rekod-rekod milik beliau sendiri dan rekod terakhir dicipta ialah dengan catatan masa 10.30 saat. Apa yang menariknya sehingga sekarang rekod itu masih kekal sebagai rekod kebangsaan dan tidak mampu di pecah mana-mana atlet di Malaysia.

Dengan identiti tersendiri dan penuh tradisi, kehadiran insan bernama Watson Nyambek ini cukup dihormati pihak lawan dahulu dengan kejayaan demi kejayaan diperolehi beliau sepanjang penglibatan beliau sebagai atlet. Apa yang pasti, Watson berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam sukan olahraga khususnya bagi acara reben biru.

Pada pendapat penulis sewajarnya Watson mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi lagi dengan menganugerahkan darjah kebesaran seperti pangkat Datuk atau Tan Sri diatas sumbangan besar beliau ke atas negara dan seharusnya beliau juga layak mendapat pencen tiap-tiap bulan.

Selepas bersara menjadi atlet, beliau kini menjadi jurulatih di MSN bahagian Miri. Selain itu beliau juga aktif membuat bengkel sendiri@klinik olahraga untuk membantu atlet yang terpinggir di luar kawasan dan pedalaman.

Apa yang menariknya Watson adalah insan serba boleh dan mempunyai potensi untuk lebih berjaya lagi dalam hidup selepas bersara sebagai atlet. Beliau tidak hanya mengharapkan 1 medium iaitu sukan untuk mencari rezeki, sebaliknya kini beliau mengusahakan tanaman kelapa sawit di kebun beliau.

Selain itu beliau juga telah menubuhkan 1 band group yang diberi nama "The Flying Dayak Band". Menurut beliau, objektif beliau menubuhkan band adalah untuk membuktikan kita anak Sarawak boleh menceburi apa saja bidang. Apa-apa pun marilah kita semua berdoa agar Watson terus berjaya dalam hidup.

1 ulasan:

  1. Admin. Bertanya, gambar watson yang B/W ini koleksi atau milik siapa? saya mahu dapatkan sesalinan - untuk tujuan buat kompilasi bio Watson. Jika boleh membantu, mohon bantuan. Terima kasih. abahamka@gmail.com

    BalasPadam