Khamis, 21 Mei 2015

Misteri Hantu Penanggal Di Sibu

Suatu waktu dahulu di bahagian Sibu, pernah gah dengan cerita hantu penanggal yang bermaharajalela di dalam sebuah kampung melayu. Hantu penanggal ini sebenarnya adalah jenis hantu yang gemar menghisap darah wanita yang baru lepas bersalin dan sekiranya darah wanita yang selepas bersalin ini dihisap nescaya wanita itu akan mati kerana akibat tumpah darah yang banyak sangat.

Maka itulah yang terjadi di sebuah kampung di Sibu sewaktu dahulu sehingga memungkinkan seluruh penduduk telah bersatu hati menjaga siang dan malam kerana musibah yang berlaku. Dan pada waktu inilah rata-rata masyarakat melayu kampung tersebut telah mula menanam disekeliling rumah mereka dengan tanam-tanaman yang berduri. Hantu penanggal dikatakan takut untuk menghampiri rumah sebegini kerana dia sendiri risau takut akan tali perutnya yang terburai tersangkut pada duri-duri itu nanti.

Bagi yang mempunyai anak atau isteri yang sedang mengandung akan mula menggantung daun kering mengkuang yang terkenal dengan durinya bersebelahan dengan tempat anak isteri sedang tidur. Ini semua dilakukan bagi memberikan keselamatan yang tetap kepada mereka yang tersayang kerana hantu penanggal ini mampu masuk ke rumah walau hanya dengan sebesar lubang kecil yang ada di dinding rumah. Inilah kekuasaaan ilmu iblis yang seharusnya tidak diamalkan oleh manusia yang mempunyai akal fikiran yang waras.

Hendak dijadikan ceritera setelah 2 mangsa ibu yang tidak berdosa menjadi korban akhirnya manusia yang empunya angkara telah berjaya juga ditangkap. Hakikatnya dikatakan bahawa wanita kampung yang terpaksa menerima saka hantu penanggal ini diwarisinya daripada ibunya dan sekiranya ianya tidak mewarisinya maka ianya akan lebih teruk sekali.

Demi menjaga keharmonian di dalam kampung itu maka orang tua-tua di kampung tersebut telah sebulat suara untuk mengusir wanita dan keluarganya keluar daripada kampung tersebut dan sejak itu tiadalah lagi igauan ngeri ibu-ibu mengandung yang takut akan tumpah darah berlaku lagi di kampung tersebut. Ini hanyalah sebuah cerita yang diceritakan secara lisan oleh seorang tua tempatan yang pernah mengalaminya suatu waktu dahulu di kampung kelahirannya di Sibu. Ianya mungkin ada yang benar dan mungkin juga ada yang tidak termasuk dek akal kita sekarang namun begitu kita sememangnya tidak harus menidakkan bahawa fenomena hantu penanggal ini pernah wujud satu ketika dahulu di Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan