Khamis, 8 September 2016

Polis Siasat Ada Pihak Mengutip Wang Perlindungan

KUCHING: Polis akan meningkatkan pemantauan di beberapa perumahan di kawasan Tabuan bagi menyiasat dakwaan terdapat pihak yang mengutip wang perlindungan serta merosakkan harta benda awam.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tersebut yang menimbulkan kerisauan di kalangan penduduk.

Beliau berkata, selain meningkatkan kekerapan rondaan, pihaknya juga akan melakukan penyamaran untuk mengesan kumpulan suspek terbabit.

“Buat masa ini, anggota kita akan memantau kawasan tersebut dengan turut melakukan penyamaran dan sekiranya perlu, kita akan membuat beberapa tangkapan sebagai langkah pencegahan seterusnya membantu kita dalam siasatan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Sementara itu, Persatuan Kepolisan Komuniti Sarawak (PKKS) juga akan memberi kerjasama kepada pihak polis dalam menangani dakwaan tersebut.

“Pencegahan jenayah adalah tanggungjawab semua pihak yang tidak seharusnya diletakkan kepada pihak polis sahaja.

“Sehubungan itu, kita bersama-sama dengan anggota dari Balai Polis Tabuan Jaya akan melakukan rondaan di kawasan perumahan tersebut,” kata Pengerusi PKKS Datuk John Lau Phang Heng.

Difahamkan, dakwaan itu tersebar selepas seorang penduduk di kawasan perumahan tersebut yang dikenali sebagai Kapitan Chong Nan Fa membuat laporan polis berhubung kejadian.

Menurutnya, selain mengutip wang perlindungan, sering juga berlaku kes pecah rumah sehingga menyebabkan penduduk setempat tidak tenang untuk meninggalkan rumah.

“Terdapat juga penduduk yang bekerja pada siang hari mengadu mengenai kerisauan mereka terutama ketika meninggalkan ibu bapa yang sudah uzur untuk menjaga rumah termasuk harta benda mereka,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan