Khamis, 22 September 2016

Dadah: Pasangan Kekasih Dicekup

MIRI: Sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah berjaya diberkas hasil serbuan polis ke atas sebuah rumah di Pujut 9 di sini, kelmarin.

Berikutan itu, kedua-dua suspek yang berusia 42 dan 39 tahun kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri membuat serbuan ke atas sebuah rumah yang terletak di Pujut 9 di sini.

Polis yang membuat pemeriksaan lanjut di dalam bilik tidur pasangan terbabit telah menjumpai satu peket plastik lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal dipercayai dadah berbahaya jenis syabu yang disimpan di dalam sebuah laci.

Barang disyaki dadah itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan pasangan terbabit dibawa ke pejabat BSJND Miri untuk menjalani ujian saringan awal air kencing.

Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Amphetamine.

Sehubungan itu, suspek lelaki kemudian ditangkap mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana disyaki memiliki dadah.

Manakala teman wanitanya ditangkap mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana menggunakan dadah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan