Khamis, 29 September 2016

Hantu Kamba Dalam Masyarakat Iban Sarawak

Masyarakat Iban Sarawak mempunyai berbagai kisah hantu yang diceritakan secara lisan. Mungkin sudah kebiasaan masyarakat iban dahulu yang suka berkumpul di ruai-ruai rumah panjang sambil mendengar pelbagai cerita. Berbagai cerita dahulu kala disampaikan kepada penduduk rumah panjang dengan cara berkumpul ramai-ramai dan ini merapatkan lagi hubungan di antara penduduk.

Pada masa itulah peluang untuk mendengar cerita yang menarik sebagai santapan halwa telinga penduduk. Apa yang menarik terdapat cerita mengenai Hantu Kamba yang popular di kalangan masyarakat Iban.

Mengikut penceritaan lisan, Hantu Kamba ialah hantu yang suka menyembunyikan kanak-kanak yang suka bermain diwaktu petang sehingga senja berlabuh. Menurut masyarakat iban hantu kamba lebih suka bersembunyi di sebalik pokok atau belukar.

Menurut cerita dahulu kala, kanak-kanak yang disembunyikan akan hilang daripada pandangan mata kasar walaupun lokasi kanak-kanak tersebut hampir dengan manusia. Malah ada yang menyatakan kedudukan kanak-kanak yang disembunyi hanya beberapa inci sahaja daripada kawasan bermain mereka.

Begitulah Hantu Kamba menyembunyikan kanak-kanak tanpa dikesan oleh manusia dalam tempoh masa paling mininum dua jam atau seminggu paling maksimum. Hal tersebut cukup menakutkan kanak-kanak untuk bermain waktu lewat petang.

Moral sebenar ditimbulkan cerita hantu kamba adalah untuk melarang kanak-kanak bermain lewat petang disebabkan kegusaran melihat kanak-kanak akan terlalu keletihan. Perkara sebegini tidak baik untuk pertumbuhan kanak-kanak kerana mereka akan liat untuk bangun pagi dan ponteng untuk mengikuti orang tua mereka ke kebun.

Kanak-kanak iban pada masa dahulu memang sudah dilatih dari kecil lagi tentang ilmu berbudi pada tanah. Dan hari ini juga cerita Hantu Kamba masih juga disampaikan kepada kanak-kanak agar mereka tidak bermain lewat petang dan waktu tersebut digunakan untuk menyiapkan latihan kerja sekolah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan