Sabtu, 1 Oktober 2016

Buaya Jantan Berjaya Ditangkap Di Sungai Samarahan

KOTA SAMARAHAN: Pasukan Bertindak Hidupan Liar (SWAT) Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya menangkap buaya jantan besar pada hari ketujuh operasi menangkap buaya itu di Sungai Samarahan.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, operasi menangkap itu memfokuskan kawasan Sungai Samarahan ekoran serangan buaya yang berlaku pada pertengahan September di Kampung Baru dan Kampung Pinang.

“Operasi itu meliputi kawasan perairan di Kampung Pinang sehingga ke Kampung Endap di sepanjang Sungai Samarahan. Kami (SFC) memulakan operasi pada Jumaat (23 September) lalu dan meskipun sudah seekor berjaya ditangkap, operasi dan pemantauan akan diteruskan beberapa hari lagi.

“Pasukan SWAT telah memasang 14 cangkuk di sepanjang lapan kilometer berhampiran lokasi mangsa kedua diserang buaya di Kampung Pinang, di mana Ismandi Osman dilaporkan hilang.

“Buaya yang berjaya ditangkap itu sebesar 2.9 meter (9 1/2 kaki), bagaimanapun bila perutnya dibelah dan diperiksa, tiada manusia yang dijumpai,” jelas SFC menerusi kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan akhbar itu lagi, operasi tersebut akan diteruskan di sepanjang Sungai Samarahan pada hujung minggu ini dan diharap akan ada lebih banyak buaya besar yang berbahaya kepada manusia dapat ditangkap.

SFC juga menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Samarahan untuk berhati-hati terutama ketika menggunakan sungai.

Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan