Isnin, 10 Oktober 2016

Penjawat Awam Mengaku Tidak Bersalah Menerima Suapan Lebih RM200 Ribu

KUCHING - Seorang penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu pegawai keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching atas 16 pertuduhan kerana menerima suapan sebanyak kira-kira RM201,351 daripada seorang kontraktor yang merupakan pembekal pengawal keselamatan pada dua tahun lepas.

Tertuduh yang dikenali Mohamad Don Adi Morshidi, 34 tahun telah membuat pengakuan tersebut selepas mendengar pertuduhan yang telah dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Nixon Kennedy Kumbang pada pagi tadi.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, tertuduh yang pada ketika ini tidak lagi bertugas di Kuching dan telah bertugas di Pahang didakwa telah menerima rasuah menerusi cek sebanyak 16 kali daripada individu yang dikenali sebagai Kassim Rosli yang mana 15 cek beralamat di Public Bank Cawangan Stutong, Jalan Setia Raja, Kuching, manakala sekeping lagi cek di Bank Alliance, Jalan Abell, Kuching.

Beliau telah didakwa melakukan kesalahan itu semasa bertugas di Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching bermula 20 Januari hingga 16 Disember 2014 lepas.

Berikutan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana telah menerima barangan berharga daripada individu yang terlibat dalam apa-apa urusan yang dilakukan oleh penjawat awam jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Ikhwan Mohd Ibrahim telah menawarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi 16 pertuduhan tersebut di mana tertuduh yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam bela telah memohon kepada hakim agar jumlah ikat jamin berkenaan dikurangkan dengan alasan beliau mempunyai tanggungan keluarga yang banyak di samping bapa beliau yang sedang sakit pada ketika ini.

Selain itu juga beliau memberi alasan yang beliau telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 10 tahun yang mana ketika siasatan dilakukan kepadanya, beliau juga telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan memohon agar jumlah ikat jamin itu dikurangkan nilainya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Nixon Kennedy kemudian telah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan syarat tertuduh perlu membayar deposit sebanyak RM6,000 kepada mahkamah dengan dua penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan semula kes itu nanti yang mana mahkamah kemudiannya telah menetapkan tarikh 14 November akan datang untuk sebutan semula kes.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan