Sabtu, 13 Ogos 2016

"Penyanyi Iban Maut Kemalangan"

SIBU: Seorang penyanyi Iban baharu meningkat naik, Sylvester Nyawai Sain meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Deshon berhampiran lampu isyarat Jalan SESCo di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 pagi itu, Sylvester, 35, dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Batu 10, Jalan Kemuyang di sini.

Mangsa menunggang motosikal bersama seorang pembonceng dikatakan terbabas lalu melanggar penghadang jalan.

Mangsa yang tercampak ke atas jalan kemudian dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta yang melalui kawasan kejadian.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng wanita, 24, yang juga sepupu mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Sylvester pernah menjadi juara pertandingan Bintang Lagu Iban SibuFM pada bulan Disember tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi memberitahu satu laporan berhubung kejadian telah diterima pihaknya.

Kes tersebut kini dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan