Khamis, 25 Ogos 2016

POLIS RAMPAS 7 SENJATA API MILIK DATUK DI MIRI

MIRI, 25 Ogos 2016 -- Polis merampas 7 senjata api milik seorang ‘Datuk’ yang juga disyaki dalang utama pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong Jun lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata rampasan sepucuk pistol jenama Glock, sepucuk rifle jenama Ruger Ranch Rifle .223 dan 5 senapang patah dilakukan mulai 10.40 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

“Senjata api yang dirampas ini tiada kaitan dengan kes pembunuhan Bill Kayong pada 21 Jun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri.

Dev berkata rampasan senjata api berkenaan dibuat di kediaman ‘Datuk’ berusia 45 tahun itu di sini.

“Turut dirampas ialah 416 butir peluru, 206 peluru senapang patah dan sebutir peluru GFL 9MM Luger,” katanya.

Beliau berkata 2 pistol yang dirampas itu dimiliki ‘Datuk’ berkenaan untuk keselamatan diri dan lesen dikeluarkan polis manakala 5 senapang patah untuk digunakan oleh polis bantuan dengan lesen dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Miri.

“Tujuan kita merampas senjata api itu atas faktor keselamatan memandangkan suspek menghilangkan diri sejak 3 Julai 2016 dan tiada kawalan ke atas pemiliknya,” katanya sambil menambah polis masih menunggu maklumat Interpol berkaitan lokasi terkini suspek yang dipercayai masih berada di Australia.

Dev berkata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor sedang dalam proses membatalkan lesen dua senjata api yang dikeluarkan polis iaitu sepucuk pistol jenama Glock dan sepucuk rifle jenama Ruger Ranch Rifle.

“Polis akan menulis surat kepada Pejabat Daerah Miri untuk membatalkan lesen lima senapang patah,” katanya.

Mengenai senapang patah yang digunakan untuk membunuh Bill Kayong, beliau berkata polis masih menunggu keputusan Jabatan Forensik kerana ia tidak mempunyai nombor siri untuk menentukan sama ada senjata itu buatan sendiri atau senjata lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan