Rabu, 30 November 2016

Satok Uptown Civic Centre Akan Pindah Ke Jalan Main Bazaar

Kuching:  Satok Tourism Youth Uptown Market atau lebih dikenali sebagai Satok Uptown  yang dibuka pada setiap hujung minggu di Dewan Suarah Negeri di sini pada masa ini, akan dipindahkan ke Jalan Main Bazaar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pemindahan pasar malam itu ke tapak baharu adalah bagi menyediakan persekitaran yang lebih baik dan sesuai kepada para peniaga.

“Perniagaan Satok Uptown di Dewan Suarah Negeri nampaknya bagus tetapi kita tidak dapat membenarkan mereka terus berniaga di sana.

“Jadi saya telah mengenal pasti satu tempat yang tetap kepada mereka untuk berniaga iaitu di Jalan Main Bazaar di mana kita akan menutup sebahagian daripada laluan tersebut untuk dijadikan sebagai tempat para peniaga kecil ini berniaga pada setiap hujung minggu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan Tahunan (MPPT) Ke-21 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.

Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden DUBS Datu Abang Helmi Ikhwan.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambah dengan adanya tapak tetap untuk Satok Uptown tersebut, ia akan membuka peluang perniagaan kepada masyarakat di sekitar bandar raya ini.

Malah, katanya ia juga boleh menjadi lokasi untuk para busker membuat persembahan.

“Ini bermakna kita akan mempunyai sebuah pasar malam pada setiap minggu dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Satok Uptown adalah yang pertama di negeri ini, yang menjadi tempat bagi generasi muda menjalankan perniagaan dengan konsep ‘Uptown’.

Sejak dibuka pada tahun lepas, ia kini telah menjadi satu tempat yang menarik ribuan pengunjung pada setiap hujung minggu.

Pelbagai barangan dijual daripada pakaian, minyak wangi, barangan rumah, aksesori kereta dan bermacam-macam lagi yang ditawarkan pada harga berpatutan. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan