Sabtu, 12 November 2016

Lelaki mengamuk tetak tiga sekeluarga di Lawas

LAWAS: Tiga sekeluarga parah ditetak seorang lelaki yang dipercayai khayal selepas menghidu gam dalam kejadian amuk di Kampung Belangsat, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, ketiga-tiga mangsa berusia lingkungan 20-an dan 30-an sedang berehat di ruang tamu rumah sebelum didatangi suspek, yang dipercayai turut mempunyai pertalian keluarga sebelum berlaku pertengkaran.

Difahamkan, suspek kemudian mengeluarkan sebilah parang lalu menetak ketiga-tiga mangsa di leher serta beberapa bahagian badan, namun sempat menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan penduduk kampung.

Jurucakap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu dan memaklumkan semua mangsa dalam keadaan stabil serta masih menerima rawatan di Hospital Lawas.

"Seorang daripada mereka mengalami kecederaan agak serius akibat terkena libasan parang, manakala dua mangsa dirawat sebagai pesakit luar," katanya.

Berdasarkan maklumat awal, katanya, suspek dipercayai berada bawah pengaruh alkohol dan khayal akibat tabiat menghidu gam.

"Suspek melarikan diri sejurus kejadian dan usaha memburunya sudah dilancarkan," katanya.

Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan