Khamis, 17 November 2016

S4S kecewa Adenan tidak bentangkan usul tuntut semula pemulangan hak Sarawak

KUCHING: Kumpulan Sarawak 4 Sarawakians (S4S) kecewa dengan kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam bahawa beliau tidak akan membentangkan usul untuk menuntut pemulangan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula pada 21 November ini.

Justeru kumpulan terbabit yang diwakili Peter John Jaban memohon Adenan mempertimbangkan semula untuk membentangkan usul tersebut seperti yang dijanjikan beliau kepada rakyat Sarawak sebelum ini.

Menurut Peter, pembentangan usul tersebut adalah satu deklarasi hasrat oleh kerajaan negeri mencapai matlamat ini iaitu bukan sahaja sepanjang pemerintahan beliau (Adenan) tetapi juga selepas itu.

“Tanggungjawab utamanya (Adenan) adalah kepada rakyat Sarawak yang memilih beliau untuk memegang kuasa, bukannya kepada Perdana Menteri dan perkara tersebut menyebabkan ramai penduduk Sarawak kecewa, malah marah.

“Kita sedia maklum, Adenan Satem tidak akan menjadi Ketua Menteri buat selama-lamanya, kerana itu proses ini tidak boleh dijalankan secara tertutup di mana ia mesti melangkaui parti dan direkodkan secara rasmi.

“Jika ini dilakukan, seandainya Sarawak berada dalam kedudukan yang tidak ‘bertolak-ansur, proses tersebut jelas dilihat oleh semua orang dan boleh diperjuangkan para pemimpin pada masa depan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Tambahnya juga, proses tersebut masih di peringkat permulaan dan sememangnya Ketua Menteri adalah betul apabila berasakan penyelesaian diplomatik adalah wajar dan tiada sebab untuk berkonfrontasi sebelum berusaha untuk menyelesaikannya dengan cara baik.

“Ramai yang akan menyatakan Adenan sedang menyembunyikan tangannya dan itu adalah cara politik dimainkan, namun lambat-laun, kita perlu meletakkan tangan kita di atas meja, jika tidak rundingan itu akan mula kelihatan seperti omong kosong.

“Bagaimanapun, usul ini tidak harus dilihat sebagai satu konfrontasi kerana ia adalah satu deklarasi hasrat bagi matlamat terakhir,” katanya.

Peter juga berkata jika Perdana Menteri ikhlas dalam keinginannya untuk ‘melakukan perkara yang betul’, maka usul dalam DUN kita hanya akan bertindak sebagai sokongan kepadanya dan bukannya melemahkannya.

“Jika usul itu dibentangkan, maka wakil-wakil rakyat Sarawak, bukan hanya sekarang sahaja tetapi pada masa depan akan terikat untuk mengikutinya, kecualilah mereka mahu membunuh karier politik mereka dan memansuhkannya.

“Disebabkan itu Ketua Menteri (Adenan) mesti menimbang untuk mengukuhkan warisannya bagi negeri ini dalam hitam putih dan beliau (Adenan) harus mengotakan janjinya kerana rakyat sudah memberi mandat kepada beliau,” katanya.

S4S selain itu mengajak penyokong usul ini untuk bersama-sama berkumpul di Tebingan Kuching pada 21 November ini pada jam 10 pagi.

“Jika kita tidak menyokongnya, bagaimanakah beliau tahu betapa pentingnya ia bagi rakyat Sarawak? Beliau mesti melihat bahawa kita mahu tindakan rasmi, bukan hanya rundingan sulit dalam koridor kuasa.

“Kita dengar tentang autonomi pentadbiran, tetapi kita lihat kemajuan yang perlahan, walaupun autonomi pentadbiran hanya satu langkah pertama.

“Kita perlu memastikan DUN Sarawak ini terus tinggi dalam agenda wakil-wakil politik kita bagi jangka waktu yang lama pada masa depan, sehingga Sarawak memperolehi semua hak dan keistimewaan seperti yang dijanjikan di bawah Perjanjian Malaysia.” katanya. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan