Khamis, 3 November 2016

Gadis Trauma Dirogol Kekasih Nekad Kelar Diri

Kuching: Trauma selepas mendakwa dirogol rakan baik teman lelakinya, seorang wanita bertindak mengelar dirinya dalam satu insiden di Stutong Baru di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa berusia 16 tahun mendakwa dia telah diberi makan sesuatu dipercayai dadah sehingga menyebabkan dia khayal dan tidak sedarkan diri sehingga jam 3 pagi.

Difahamkan, mangsa yang menyedari dia telah dirogol oleh suspek berusia 35 tahun berasal dari Jalan Mendu di sini kemudian menjerit meminta pertolongan.

“Penduduk sekitar yang menyedari insiden tersebut segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Polis yang tiba sejurus kemudian mendapati mangsa berlumuran darah selepas dikatakan nekad mengelar leher serta pergelangan tangannya dipercayai kerana trauma dengan apa yang menimpa dirinya.

“Suspek yang juga rakan teman lelaki mangsa kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” kata sumber yang memberitahu teman lelaki mangsa juga hadir di lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: The Borneo Post
Foto: Sekadar Hiasan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan