Khamis, 17 November 2016

Kuching akan dilengkapi kemudahan Wifi percuma

KUCHING: Bandar Raya Kuching akan dilengkapi dengan kemudahan WiFi percuma dalam tempoh enam bulan akan datang untuk kegunaan orang ramai dan pelancong.

Penyediaan inisiatif WiFi Percuma Untuk Rakyat itu akan dilaksanakan bersama PP Telecommunication Sdn Bhd (PPTelecom) dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Menurut Pengarah Urusan PPTelecom Datuk Abang Jemat Abang Bujang, fasa pertama projek ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM10 juta.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan WiFi percuma di seluruh negeri tetapi buat masa sekarang, kami akan memberi tumpuan kepada kawasan di bawah DBKU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PPTelecom dan DBKU, yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di sini semalam.

MoU tersebut adalah untuk PPTelecom menjalankan projek fasa satu bagi menyediakan platform dan infrastruktur bagi pemasangan inisiatif khidmat WiFi percuma di kawasan terpilih di bawah DBKU.

Justeru, Abang Jemat menyatakan bahawa pihaknya akan menyiapkan fasa pertama projek berkenaan dalam tempoh enam bulan selepas MoU ditandatangani.

Jelas beliau, pelaksanaan fasa pertama penyediaan WiFi percuma itu akan dimulakan dari Tebingan Kuching, Hotel Merdeka Palace, Hospital Umum Sarawak, kompleks beli-belah tHe Spring dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Setiap lokasi WiFi ini mungkin disediakan dengan Internet berkelajuan antara 5 hingga 15mbps dan jika terdapat keperluan untuk kelajuan Internet ditingkatkan maka kami akan menaik taraf kepada 50 hingga 150mbps.

“Namun, kami perlu menjalankan kajian terlebih dahulu sebelum menetapkan kelajuan Internet di setiap lokasi,” katanya.

Abang Jemat juga berkata PPTelecom akan bekerjasama dengan dua rakan syarikat IT antarabangsa iaitu Foxconn dari China dan Infocus & Fuyu dari Amerika Syarikat untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek ini.

“PPTelecom memandang penting projek ini kerana ia akan memberi pelbagai faedah lain dan bukan sekadar menyediakan sambungan Internet yang lebih baik kepada masyarakat di Kuching.

“Apabila dilaksanakan nanti, projek ini akan membuka laluan untuk mengubah Kuching menjadi bandar raya ketiga di Malaysia selepas Pulau Pinang dan Johor untuk menyediakan khidmat WiFi percuma kepada penduduk dan pelancong,” katanya.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan