Sabtu, 19 November 2016

Rakyat Sarawak dipelawa mohon rumah PR1MA@Matang yang sedang dibangunkan

KUCHING: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) membuka permohonan kepada rakyat di negeri ini bagi pembangunan pertama PR1MA yang sedang dibangunkan di Matang, di sini.

ProjekPR1MA@Matang menawarkan sebanyak 912 unit rumah pangsa empat tingkat pada harga bermula RM279,000 seunit lengkap dengan kemudahan fasiliti termasuk lif.

Antara kemudahan fasiliti yang disediakan ialah tempat permainan kanak-kanak, gelanggang futsal, gelanggang tenis dan kemudahan rekreasi yang berkonsepkan komuniti berpagar dan berpengawal lengkap dengan sistem rakaman litar tertutup (CCTV).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PR1MA Dato Abdul Mutalib Alias berkata, setakat ini lebih daripada 90 peratus unit rumah yang dibangunkan secara eksklusif itu telah ditempah. Setakat ini, katanya, 17 peratus daripada kerja-kerja pembangunan telah dilaksanakan iaitu tiga peratus lebih awal dari jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada April 2019.

“Selain PR1MA@ Matang, sebanyak 10 projek lagi telah diluluskan di negeri ini merangkumi pembangunan 17,660 unit rumah dengan 4,288 unit kini dalam pelbagai peringkat pembinaan.“Kami baru-baru ini juga telah melancarkan dua lagi pembangunanPR1MA di Sarawak melibatkan kediaman jenis teres di Semengoh dan pangsapuri di Pending,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat dan Galeri Jualan PR1MA Sarawak yang terletak di Metrocity, Matang Jaya di sini semalam.

Pembukaan dan perasmian pejabat serta galeri jualan PR1MA tersebut adalah sebagai platform untuk bakal pemilik rumah di negeri ini mengetahui lebih lanjut mengenai kediaman PR1MA.

Pejabat dan galeri jualan itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi.

Dalam pada itu, 10 projek yang telah diluluskan di Sarawak ialah PR1MA@Vista Tunku, Kuching (1,832 unit),PR1MA@Matang 2, Kuching (1,360 unit),PRIMA@Semenggoh, Padawan (1,260 unit), PR1MA@Sibu Baru, Sibu(1,096 unit) dan PR1MA@Petra Jaya, Kuching (2,058 unit).

Lima lagi projek ialah PR1MA@Sungai Plan, Bintulu (1,656 unit),PR1MA@Pending (1,320 unit),PR1MA@Kuala Baram, Miri (1,896 unit),PR1MA@Kota Petra (1,350 unit) danPR1MA@Taman Malihah (746 unit).

PR1MA@Matang menawarkan kediaman jenis A1 dan A3 iaitu dua bilik dan dua bilik air dengan keluasan binaan 910 kaki persegi serta jenis B1 dan B2 iaitu tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan binaan 978 kaki persegi.

Sumber: The Borneo Post

Tiada ulasan:

Catat Ulasan