Sabtu, 5 November 2016

2 lelaki ditahan ketika leka tembak ikan

2 lelaki ditahan ketika leka "tembak ikan"
MIRI: Dua lelaki yang sedang leka ’menembak ikan’ terkejut dengan kehadiran sepasukan anggota polis yang menjalankan serbuan di sebuah premis perjudian di Jalan Haji Lampam, di sini petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah yang diketuai oleh Asisten Superintendan Unang Giang menyerbu premis berkenaan pada jam 3 petang.

“Semasa serbuan dua pelanggan lelaki berusia 40 dan 42 tahun itu sedang bermain judi dan mereka terkejut selepas menyedari kehadiran polis,” katanya di sini.

Katanya, seorang wanita warga Indonesia berusia 27 tahun yang merupakan penjaga premis berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

Khoo berkata, susulan serbuan itu, pihaknya merampas tiga unit simulator yang disyaki mengandungi unsur perjudian dan dua keping kad pengimbas kredit mesin simulator.

Menurutnya, wanita terbabit dan dua lelaki itu kemudian dibawa balik ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan itu disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001,” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan