Selasa, 8 November 2016

Geng sabung ayam dalam hutan berjaya diberkas

KUCHING: Cubaan untuk mengaburi mata pihak berkuasa dengan berselindung di sebalik kawasan hutan untuk menjalankan kegiatan judi sabung ayam tidak berjaya apabila kegiatan haram di tiga lokasi berasingan itu berjaya dihidu oleh pihak polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Dev Kumar, tiga kes sabung ayam dikesan di Padawan, Bintulu dan Kota Samarahan yang membawa kepada penahanan 45 individu.

“Serbuan ke atas aktiviti perjudian di negeri ini akan diteruskan. Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor telah mengeluarkan amaran kepada semua Ketua Polis Daerah dan JSJ untuk memastikan kegiatan judi haram di negeri ini terus dibanteras,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dev berkata, serbuan-serbuan itu merupakan sebahagian daripada 29 serbuan dijalankan di seluruh negeri pada tempoh 31 Oktober hingga 6 November lalu.

Secara keseluruhan katanya, seramai 82 individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan di mana suspek-suspek ditahan berumur dalam lingkungan 16 tahun hingga 76 tahun.

Beliau memberitahu, 29 serbuan itu membawa kepada penahanan 82 individu yang terlibat dalam mempromosikan loteri tanpa lesen, mengendalikan judi atas talian dan sabung ayam.

“Wang tunai berjumlah RM16,277 turut dirampas dalam serbuan-serbuan tersebut,” katanya.

Pasukan JSJ Sarawak menjalankan lima serbuan, JSJ Kota Samarahan (lima), Kuching (empat), Miri (empat), Padawan (tiga), Marudi (dua) dan Limbang (dua).

Manakala JSJ Bintulu, Sibu, Serian dan Saratok masing-masing menjalankan satu serbuan.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu  bahawa 17 serbuan loteri tanpa lesen itu menyaksikan penangkapan 21 individu yang terlibat aktif mempromosikan aktiviti haram itu.

Pelbagai barangan dirampas seperti mesin cetak mudah alih, telefon bimbit, kalkulator, lejar pertaruhan, slip dan wang tunai berjumlah RM13,132.

Manakala sembilan serbuan judi atas talian dibuat di Kuching, Padawan, Miri, Limbang dan Marudi membawa kepada penahanan 16 individu.

Serbuan itu turut menyaksikan wang tunai berjumlah RM3,145 dirampas, selain 72 unit komputer, tablet dan mesin ikan yang digunakan untuk berjudi.

Sumber: The Borneo Post



Tiada ulasan:

Catat Ulasan