Sabtu, 9 Julai 2016

Sarawak bukan Negeri kata SUPP

PETALING JAYA: Rakyat Sarawak digesa jangan merendahkan diri dengan menganggap Sarawak salah satu negeri Persekutuan Malaysia.

Presiden SUPP Datuk Sim Kui Hian dipetik laporan berita berkata “Sarawak patut dikenali sebagai Sarawak, bukan salah satu daripada 13 negeri dalam pembentukan Malaysia” jika mereka mahu autonomi pentadbiran yang lebih luas daripada Putrajaya.

Kenyataan itu yang terbaharu dalam pengisytiharaan demi pengisytiharaan oleh ahli politik bahawa Sarawak penandatangan dalam pembentukan Malaysia, setaraf Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo Utara (Sabah).

Kui Hian dilaporkan oleh Malay Mail Online berkata demikian di pelancaran buku ‘The Grand Design’ oleh penyelidik Zainnal Ajamain di ibu pejabat SUPP.

Beliau mendedahkan perkara ini dibawa ke perhatian Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan tidak dimarahi kerana berkata demikian.

“Itu bagi saya bermakna beliau tidak bantah,” kata Kui Hian.

Kui Hian merupakan menteri kerajaan tempatan dalam jemaah menteri Adenan.

Beliau menggesa rakyat Sarawak supaya mengkaji Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 September 1963 supaya lebih maklum akan perkara pembentukan Malaysia.

Adenan meminta autonomi pentadbiran yang lebih luas selaras terma Perjanjian Malaysia sejak menjadi Ketua Menteri pada 2014.

Beberapa hari sebelum ini, beliau mendedahkan rundingan penyerahan kuasa kepada kerajaan negeri dijangka selesai hujung tahun ini.

Sumber: FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan