Ahad, 8 Januari 2017

Sarawak diramal alami banjir antara Januari hingga Mac

 Kuching: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan Sarawak akan mengalami banjir antara bulan ini hingga Mac akan datang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sebagai persediaan, agensi kerajaan, pihak penguat kuasa, pegawai keselamatan, pemimpin masyarakat dan rakyat sendiri diingat untuk bersedia dan sentiasa memantau kemas kini laporan kaji cuaca daripada JMM.

“Kalau diarahkan berpindah, jangan tunggu kami terpaksa memaksa anda berpindah.

“Sepatutnya berpindah lebih awal supaya kami dapat menyelamatkan bukan sahaja nyawa tetapi juga harta benda.

“Untuk penduduk yang mendiami kawasan rendah, siapkan barang dokumen penting dan letakkan barangan anda di tempat yang lebih tinggi supaya bila berlaku banjir penduduk tidak mengalami kerugian yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat baharu TM Tours & Travel Sdn Bhd Cawangan Kuching di Jalan Kulas, di sini semalam.

Selain itu, jelas Ahli Parlimen Kuching itu, peringkat kepimpinan juga akan sentiasa memantau dan berkomunikasi selain memberi bantuan sebaiknya kepada rakyat mengikut keperluan.

“Bagaimanapun, saya melihat banjir yang berlaku pada tahun ini seperti di Terengganu, Kelantan dan Pahang tidaklah seteruk 2014.

“Namun dengan pengalaman yang ada, kami sudah pun bersedia khususnya di bawah menteri bertanggungjawab bencana Datuk Seri Shahidan Kassim dan dengan itu kami dapat tangani bencana banjir di Pantai Timur, khususnya dengan agak baik,” jelasnya.

Katanya lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga bersama dengan menteri bertanggungjawab turut turun padang bagi melihat sendiri dan memantau aktiviti bantuan dan keperluan rakyat yang terjejas banjir termasuk tempat tinggal sementara, pakaian, makanan dan keperluan lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan