Khamis, 19 Januari 2017

Belum Dapat Ilham- KM Sarawak



PETRA JAYA: Kuota satu lagi jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak akan diisi buat masa ini bagi memberi fokus terhadap tuntutan penurunan lebih kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg, berkata jawatan berkenaan akan dibiar kosong sehingga beliau mendapat 'ilham'.

Abdul Rahman Zohari atau lebih dikenali sebagai Abang Jo, menjawab spekulasi apabila tidak melakukan rombakan Kabinet negeri.

Malah, keputusan beliau sudah dijangka lebih awal sebagai menghormati Ketua Menteri kelima, Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

"Saya belum berhasrat melakukan rombakan Kabinet kerana tumpuan utama pentadbiran adalah memastikan semua dasar Ketua Menteri terdahulu diteruskan.

"Saya bernasib baik kerana turut menganggotai jawatankuasa khas menuntut semua kuasa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 untuk dikembalikan kepada negeri ini," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sebagai Ketua Menteri, beliau mengulangi dasar tidak membenarkan kemasukan UMNO ke Sarawak, seperti mana pendirian Allahyarham Adenan.

"Kita masih bekerjasama bersama UMNO atas semangat bersama dalam Barisan Nasional (BN), tapi UMNO tidak akan dibenarkan masuk," katanya.-BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan