Khamis, 12 Januari 2017

Pemergian Adenan amat dirasai kaum Orang Ulu

MIRI: Pemergian tidak dijangka Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak Kota Samarahan kira-kira jam 1.20 petang semalam merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata pemergian Adenan bukan sahaja berita yang mengejutkan malah dirasai  rakyat di bawah konstituensinya.

“Beliau amat disayangi dan dihormati masyarakat terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Sepanjang tempoh beliau berkhidmat untuk Sarawak banyak projek pembangunan dilakukan bukan sahaja di kawasan bandar malah menumpukan pembangunan rakyat luar bandar di Telang Usan bagi bersama menikmati pembangunan berterusan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Dennis, pemergian Adenan turut dirasai sebagai kehilangan amat besar dalam kalangan masyarakat Orang Ulu yang sentiasa mengharapkan pembangunan.

Katanya Adenan telah meluluskan projek terbesar di Telang Usan iaitu Jambatan Long Lama menelan belanja kira-kira RM70 juta.

“Ini adalah projek terbesar yang diberikan kepada Telang Usan dan kami amat berterima kasih dan berbesar hati dengan kelulusan projek yang diberikan tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, berkongsi pandangan sama ialah Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil yang turut menyifatkan pemergian Adenan sebagai satu kehilangan besar.

ADUN Marudi itu berkata, Adenan seorang pemimpin yang dihormati dan disegani atas perjuangannya mempertahankan hak-hak rakyat Sarawak.

“Beliau ibarat perjuang yang hebat kerana dalam tempoh perkhidmatan beliau yang singkat, Adenan sentiasa berusaha memastikan hak rakyat pelbagai kaum di Sarawak terjamin.

“Adenan pemimpin yang amat berjuang untuk rakyatnya tidak kira bangsa dan agama.

“Pembangunan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat luar bandar sentiasa menjadi keutamaannya,” jelasnya. -UB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan