Selasa, 31 Januari 2017

Pemain Lagenda Berkampung Di Sarawak



KUCHING: Tarikh 3 Februari ini pasti mengembalikan nostalgia kepada peminat bola sepak Sarawak apabila pemain Sarawak yang menjuarai Liga Perdana 1997 terlibat dengan perlawanan persahabatan menentang pilihan 'King of Croc's' di Stadium Negeri bermula jam 3 petang.

Menurut Naib Presiden merangkap Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Razali Dolhan, perlawanan tersebut diadakan bagi memperingati kejayaan Sarawak menjuarai Liga Perdana 1997 dimana beberapa bekas bintang Sarawak turut beraksi.

Beliau berkata, antara bekas pemain yang terlibat termasuk David Evans, Alistair Edwards, Ramos Sari, Ramles Sari, Mazlan Wahed, Billy Bone, John Hunter, Jalil Ramli dan ramai lagi.

"Selain itu, pada 4 Februari kita akan mengadakan beberapa program sempena memperingati kejayaan skuad Liga Perdana 1997 di Dataran Stadium.

"Antara aktiviti yang dirancang seperti konsert mini, gerai jualan jersi, gerai GB13, penjualan cenderamata dan pameran jersi lama," katanya.

Pada sebelah petang pula menurut Razali, sesi pengenalan pemain-pemain dan pegawai Piala Presiden, Piala Belia dan skuad Kuching yang akan menyertai Liga FAM diadakan.-Sarawakiana

Tiada ulasan:

Catat Ulasan