Sabtu, 14 Januari 2017

Pada Saat terakhir nafasnya, Adenan masih fikirkan Sarawak


KUCHING: “Dia seorang ayah sama seperti manusia biasa, melakukan kesilapan tetapi sangat sempurna di mata anak-anak.

“Berprinsip, berdikari, bertanggungjawab, jujur, baik hati, sedikit tegas namun mempunyai kelembutan dan sangat penyayang.”

Demikian luahan anak perempuan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Rafidah Adenan yang memuat naik status di laman sosial Facebooknya semalam.

Luahan panjang itu menarik minat pengguna Facebook untuk terus membacanya, baris demi baris dan ia pasti meruntun jiwa pembaca mengenang pemergian Allahyarham Adenan yang disifatkan perwira bagi semua rakyat Sarawak.

“Saya akan terus menyayangimu, Daddy, satu-satunya Daddy saya,” katanya.

Jelas Rafidah, meskipun baharu beberapa hari meninggalkan mereka, sukar baginya untuk menerima kenyataan itu.

Malah, beliau sendiri belum mempunyai kekuatan untuk masuk ke bilik tidur Allahyarham.

“Sereda-redanya saya ke atas pemergian Daddy, saya masih belum bersedia berdepan realiti. Tanpa kelibatmu berada di hadapan komputer sambil membaca atau menganalisis berita, juga tanpa kelibatmu berehat atau menonton siaran National Geographic dan History.

“Pemergianmu membawa sekali separuh jiwa saya tetapi Alhamdulillah, saya akhirnya menemui kedamaian dalam doa dan percaya suatu hari kelak kita akan bersama kembali,” luahnya.

Dalam luahan tersebut, Rafidah juga mengimbau kenangan terakhir bersama ayahnya sebelum Allahyarham pergi buat selamanya.

Katanya, ayahnya dimasukkan ke Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan pada hari Sabtu dan keesokan harinya, dia terbang balik ke Kuching dari Kuala Lumpur.

Sejurus sampai, Rafidah membina khemah di dalam bilik hospital di mana ayahnya ditempatkan dan menemani Allahyarham selama empat hari tiga malam, walaupun mengambil kesempatan keluar mengadakan perjumpaan atau pergi ke gimnasium sebentar.

“Dia kelihatan sangat lemah ketika saya sampai. Tetapi selepas beberapa hari, dia kelihatan agak sihat dan dengan diagnosis daripada doktor, kami semua menyangka dia sedang dalam proses untuk sembuh dan sihat kembali.

“Pada malam terakhir dia di dunia ini, saya berdua dengan Daddy, duduk di sampingnya di atas katil ditemani dua jururawat duduk di meja tugas mereka, hanya beberapa kaki jauh di belakang saya.

“Sudah tentu kita pada ketika itu tidak menyangka bahawa itulah malam terakhir dia. Dan jika kami tahu, sudah tentu seluruh keluarga pasti ada di sana ketika itu. Saya tidak akan melupakan malam itu. Ia satu malam sungguh sunyi.

“Hanya kedengaran bunyi nafas Daddy selain disusuli bunyi mesin diguna untuk mengempam tilam udara digunakannya. Dia kelihatan sangat tenang dan saya tidak dapat berhenti dari terus menatapi wajahnya.

“Banyak kali dia terjaga dari tidur dan menukar posisi baringnya di atas katil. Saya membantu melaraskan kesesuaian ketinggian katil dan menggosok belakangnya bagi memastikan dia berasa selesa dan tidur selesa.

“Ada juga dia meminta air bagi menghilangkan dahaga. Ada juga beberapa kali dia bergumam dalam tidur. Setiap kali apabila ia berkaitan dengan tugas, dia akan mengatakan ‘ini adalah tidak berpelembagaan’, atau ‘saya ada komitmen yang hendak dilakukan esok hari’.

“Malah di saat-saat akhir nyawanya, dia banyak memikirkan tentang negeri kesayangannya Sarawak.

“Pada keesokan paginya, dia sempat bersarapan pagi diikuti dengan sesi fisioterapi dan Puan Ah Ti, sahabat lamanya.

“Saya menyuapnya ais krim dengan roti, semestinya menjadi kegemarannya. Selepas itu beliau tidur dan saya mengambil keputusan keluar sebentar ke gimnasium.

“Namun selepas itu dia sudah tiada dan saya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Dia pergi meninggalkan kami, dua jam selepas saya menyuapkannya ais krim di atas roti.

“Itulah interaksi terakhir saya dan Daddy. Banyak kali saya berdoa agar dia menunggu saya balik dari gimnasium tetapi aturan Allah adalah yang terbaik.

“Dia hanya meminjamkan Daddy kepada kami dan sekarang dia telah pergi,” luahnya lagi.

Rafidah juga memberitahu, dedikasi Allahyarham Adenan kepada negeri ini tidak unik kerana semua rakyat menyatakan dedikasinya kepada Sarawak tetapi kedudukan kekuatan dimilikinya dalam membuat perundingan terbaik kepada Sarawak dan rakyat negeri ini adalah berdasarkan keikhlasan dan integriti.

Maka itu, Rafidah berharap dan berdoa agar Ketua Menteri baharu Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan kepimpinan masa depan akan meneruskan legasi Allahyarham Adenan berdasarkan apa yang terbaik untuk negeri dan rakyat negeri ini.

Katanya lagi, Allahyarham Adenan juga melihat latar belakang kepelbagaian budaya di Sarawak sebagai sebuah kekuataan dan peluang bukan satu halangan.

“Dia merasakan bahawa sesiapa mahu melagakan kaum dan mahu satu kaum sahaja menikmati kemakmuran tanpa mempeduli kaum lain, tidak dialu-alukan di Sarawak dan lebih baik tinggal di pulau sahaja,” jelasnya.

Rafidah dalam tulisannya turut mengambil kesempatan meminta dua jururawat bertugas pada malam terakhir ayahnya agar menghubunginya kerana beliau ingin bercakap dengan mereka. -UB

“Kepada Dr Cheong, Dr Sim, Dr Tiong, Dr Alan, Dr Song, Dr ‘Physiotherapy’ dan doktor lain serta jururawat yang menjaga Daddy, saya sangat berterima kasih atas dedikasi anda.

“Anda telah melakukan yang terbaik dan saya sangat bersyukur. Ini semua aturan Allah SWT.

“Saya juga berterima kasih kepada semua rakyat Sarawak atas kasih sayang dan penghormatan yang diberikan kepada Daddy. Saya yakin Daddy juga amat menyayangi anda semua,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan