SANTUBONG: Seorang pelajar Madrasah Darul Ulung Al-Fatah, Samariang, hilang selepas terjatuh ke laut berdekatan Damai Puri Resort and Spa di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pelajar terbabit Aslam Husaini, 19, bersama dua rakannya berjalan di kawasan berbatu di tepi pantai berkenaan.
Ketiga-tiga pelajar itu tiba-tiba terjatuh, namun dua daripada mereka iaitu Abang Muhd Shahrin Abang Moktar, 15, dari Matang, Kuching dan Muhsin Asep Jalaluddin, 17, yang berasal dari Balai Karangan, Indonesia, berjaya berenang ke tebing.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, ketika kejadian tiga pelajar terbabit bersama 43 rakan mereka serta tiga guru dari Madrasah Darul Ulung Al-Fatah, Jalan Depo, Samariang, sedang berkelah di pantai berkenaan.
Beliau berkata, lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerah ke tempat kejadian untuk melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR). "Sehingga jam 1.30 petang ini, SAR masih digerakkan untuk mengesan pelajar yang berasal dari Sibu itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan