KUCHING - Polis Sarawak menafikan dakwaan kononnya dua kanak-kanak ditemui mati dengan beberapa organnya dijual di Kampung Daun Singai, Bau di sini yang tersebar luas menerusi laman sosial, Facebook semalam.
Semalam, dua individu memuat naik status dengan mengingatkan semua ibu bapa yang mempunyai anak kecil berhati-hati berikutan penemuan dua mayat kanak-kanak yang didakwa dibunuh dan organnya diambil dan dijual oleh seseorang di kampung berkenaan.
Suspek juga dikatakan telah ditahan selepas dipercayai melarikan diri menaiki van putih dengan cermin gelap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, tiada kejadian seperti itu berlaku di daerah Bau atau mana-mana tempat di Sarawak buat masa ini.
Sehubungan itu katanya, polis meminta dua individu berkenaan untuk menyerah diri di Balai Polis Daerah Bau bagi tujuan siasatan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Polis turut mengingatkan semua agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan sebarang berita tanpa kesahihan menerusi laman sosial kerana ia boleh mengundang kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Sumber: KosmoOnline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan