KUCHING: Orang Asal Sarawak mengemukakan satu memorandum bagi menuntut hak kewarganegaraan daripada kerajaan negeri.
Memorandum tersebut diserahkan oleh wakil Orang Asal Sarawak, Mujan Jok kepada Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah.
Bercakap pada sidang media di Bilik Media, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam, Mujan berkata memorandum ini merupakan desakan daripada semua Orang Asal Sarawak agar isu hak kewarganegaraan dan proses pemberian sijil lahir serta kad pengenalan diberi perhatian serius dan serta-merta.
Menurut Mujan, selama ini Orang Asal Sarawak, khususnya Orang Asal di kawasan pedalaman menghadapi masalah mendapatkan sijil lahir serta kad pengenalan.
Masalah ini sekali gus menafikan hak kewarganegaraan mereka sedangkan mereka merupakan kaum peribumi Sarawak dan Malaysia.
“Isu ini telah mengakibatkan hak-hak mereka sebagai Orang Asal dan rakyat Malaysia tidak diendahkan.
“Mereka tidak dapat pergi ke negara luar walaupun ke Semenanjung Malaysia, terpaksa menanggung kos perubatan yang tinggi kerana status mereka setaraf status orang asing, dinafikan hak kemasukan sekolah dan tidak boleh menikmati segala hak mereka sebagai rakyat Malaysia dan Orang Asal Sarawak,” katanya.
Laporan Country Reports on Human Rights Practices-Malaysia yang dikeluarkan oleh United States Department of States bertarikh 8 April 2011 melaporkan bahawa kerajaan telah berjanji akan mempercepatkan pemberian sijil lahir dan kad pengenalan untuk orang Penan.
Akan tetapi, janji ini tidak dipegang dan sehingga hari ini, beribu-ribu orang Penan dan Orang Asal tidak dapat dokumen kewarganegaraan mereka.
Tambah Mujan yang juga aktivis isu kad pengenalan di Sarawak, anggaran kasar penduduk yang tidak mempunyai kad pengenalan di Sarawak adalah seramai 30,000 orang dan senarai nama penduduk tanpa kad pengenalan yang ada ditangannya adalah seramai 1,500 orang.
Justeru, sebagai Orang Asal dan orang Sarawak, Mujan dan yang lain menuntut supaya sijil dan kad pengenalan segera diberikan kepada Orang Asal Sarawak.
Orang Asal Sarawak juga menuntut proses pemberian sijil lahir dan kad pengenalan harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya oleh kerajaan.
Proses permohonan harus dipermudahkan kepada mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan segala birokasi dan prosedur yang tidak munasabah harus dimudahcarakan.
Keciciran dokumen dan kelewatan permohonan wajib dipertimbangkan selepas mengambil kira cara hidup Orang Asal yang berbeza dengan penduduk bandar. -UB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan