KANOWIT: Seorang pelumba bot laju maut selepas terbabit dalam kemalangan pada sesi latihan di Sungai Rajang, di sini, petang semalam.
Kejadian pada jam 5.15 petang itu berlaku ketika mangsa, Danny Jawan, 37, sedang menguji bot lajunya untuk menghadapi perlumbaan sebenar sempena Pesta Kanowit, hari ini.
Pada masa yang sama, sebuah bot laju yang dipandu pelumba dari Brunei, Maarof Mahani, 54, tiba-tiba membelok di hadapannya.
Danny dipercayai gagal mengelak lalu berlaku pelanggaran yang menyebabkan beliau pengsan dipercayai akibat kecederaan dalaman.
Bot yang dipandunya turut mengalami kerosakan teruk, bagaimanapun pelumba dari Brunei itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Daniel Benjamin berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kanowit untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 5.45 petang tadi," katanya.
Perlumbaan bot laju adalah antara acara tarikan utama Pesta Kanowit yang berlangsung sejak 6 Oktober lalu dan menutup tirainya esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan