SIBU: Misteri kehilangan pelajar perubatan tahun akhir Segi College Sarawak yang sedang menjalani latihan di Hospital Sibu sejak Sabtu lalu terjawab hari ini selepas berjaya ditemui ahli keluarganya sekitar jam tiga petang tadi.
Menurut sumber polis Sibu, mangsa ditemui dalam keadaan sugul dan menangis di dalam Masjid An Nur, dekat sini, sebelum maklumat penemuannya dipanjangkan kepada pihak polis.
" Mangsa kini telah dihantar untuk menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sibu.
" Tiada soal siasat dapat dilakukan ketika ini kerana keadaan emosi mangsa yang masih belum stabil," kata sumber itu lagi.
Mangsa dipercayai akan berkunjung ke masjid setiap kali berhadapan dengan masalah dan kekusutan.
Sedar akan tabiat mangsa, maka anggota keluarga bertindak mencari mangsa di situ, setelah mangsa gagal ditemui.
Siti Fatimatuzzahrah Bumidin, 25, dari Ipoh, Perak dilaporkan hilang selepas tidak kembali ke rumahnya sejak Sabtu lalu.
Dia dilihat kali terakhir oleh rakan-rakannya keluar dari rumah mereka di Lorong 21, Taman Permai di sini kira-kira 1 tengah hari tersebut tanpa menyatakan arah tujuannya, manakala telefon bimbitnya juga gagal dihubungi.
Fatimatuzzahrah yang memakai tudung, berketinggian 140 sentimeter dan berat 45 kilogram sepatutnya menduduki peperiksaan profesionalnya semalam, tetapi gagal menghadirkan diri.
Polis sedang menyiasat kes ini secara terperinci dan masih menunggu hasil pemeriksaan fizikal mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan