Kota Samarahan: Dua remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Samarahan, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita.
Remaja terbabit masing-masing berusia 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan mendatangkan kecederaan menggunakan barangan sebagai senjata.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 43 tahun pada 9.15 malam di Taman Desa Ilmu, di sini, 28 September lalu.
Majistret Marutin Pagan menetapkan 11 November ini untuk menjatuhkan hukuman selepas menerima laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Sementara menunggu tarikh hukuman, tertuduh akan ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Sarawak.
Prosiding pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof manakala kedua tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes berkenaan mendapat perhatian masyarakat kerana mangsa adalah ibu kepada seorang daripada tertuduh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan