KUCHING: Kesempitan hidup selain keadaan bapanya yang tidak sihat memaksa seorang pelajar tingkatan dua berhenti sekolah demi membantu menjaga orang tuanya.
Remaja tersebut, Mohammad Yusri Mohd Yusuf, 14, tinggal bersama bapanya, Mohd YusufAbdullah@Segan, 66, dan ibunya, Mariani Abdullah, 37, di rumah usang mereka yang terletak di Lorong No.1, Kampung Temedak, Jalan Matang di sini.
“Dia sudah berhenti sekolah sebulan yang lalu kerana kesempitan hidup kami tiga beranak.
“Dia terpaksa mengambil tugas saya untuk menghantar dan mengambil ibunya yang bekerja di Politeknik (Kuching), Matang.
“Ini kerana saya kerap diserang sakit kaki dan tidak mampu berdiri lama selain kos persekolahan anak yang saban tahun semakin meningkat,” kata Yusuf yang juga tergolong dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) ketika ditemui di kediamannya semalam.
Malah, lebih menyedihkan keadaan rumah yang didiami tiga beranak itu kian usang dengan lantai telah runtuh ekoran tiang rumah tersebut sudah patah.
“Apatah lagi kalau hujan turun pasti terdapat bocor sana sini,” katanya sambil memohon agar ada pihak terutama kerajaan tampil membantu membaiki rumah mereka itu.
Mengulas lanjut mengenai keperitan hidup mereka tiga beranak itu, Yusuf berkata mereka terpaksa bergantung kepada pendapatan isterinya yang hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan gaji RM900 sebulan selain bantuan bulanan sebanyak RM300 yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mohd Yusri terpaksa berhenti sekolah kerana kemiskinan
“Kalau ditolak caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perbelanjaan ulang alik pergi kerja dan hutang barang keperluan dapur di kedai, hanya sedikit sahaja yang tinggal. Jadi kami tidak mampu membaik pulih rumah ini,” katanya.
Yusuf yang kehilangan sebahagian kedua-dua tapak kaki ekoran terkena jangkitan kencing tikus lima tahun lalu, kini turut menghidap penyakit batu karang.
“Saya amat berharap bantuan daripada kerajaan untuk membaik pulih rumah kami termasuk barang keperluan lain untuk meringankan beban kami,” katanya sambil memberitahu, pihak Tabung Baitulmal Sarawak telah tampil menghulurkan bantuan kepadanya selain orang persendirian dan kenalannya baru-baru ini.
Sumber: The Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan